Pelajaran 54 – Agar Jangan Sampai Jemu

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud

“Bagi tiap-tiap amal ada masa-masa rajinnya dan bagi setiap masa rajin ada masa futur (lemah / malas). Barangsiapa yang futurnya kepada sunnahku, sesungguhnya ia telah memperoleh petunjuk dan barangsiapa yang futurnya kepada selain sunnahku, maka sesungguhnya ia telah tersesat.” (Riwayat Al-Bazzar)

Pelajaran

1. Hadits ini sekali lagi mengingatkan kita akan naluri manusia, iaitu ia akan sentiasa melalui pusingan rajin dan malas. Rasulullah s.a.w tidak menyarankan para pendakwah untuk menekan naluri semula jadi ini tetapi mengajar bagaimana menguruskannya.

2. Dalam hadits ini, Rasulullah s.a.w mengajar kita agar apabila didatangi rasa malas atau jemu dengan amal-amal tertentu, maka hendaklah menggantikannya dengan amalan lain. Inilah yang dimaksudkan dengan ‘futurnya kepada sunnahku’ – meninggalkan satu sunnah dengan melazimi sunnah yang lain.

3. Maka sebab itulah Rasulullah s.a.w sentiasa mempelbagaikan sesuatu amalan sehingga kita berjumpa dari beliau pelbagai jenis doa, pelbagai jenis solat, pelbagai jenis istighfar, zikir dan lain-lain. Dengan itu apabila seseorang itu jemu dengan sesuatu amal, dia boleh berpindah dengan amal yang baru dan lain.

4. Contoh mereka yang ‘futurnya kepada selain sunnahku’ ialah seorang yang meninggalkan amalan membaca Yasin setiap malam Jumaat atas alasan bid`ah tetapi menggantikannya dengan menonton tv. Sedangkan ia boleh menggantikannya dengan membaca surah Al-Kahfi atau surah-surah lain dari Al-Quran.

5. Hadits ini bukan hanya berguna bagi kita dalam mentarbiyah (mendidik) diri sendiri tetapi juga menjadi panduan bagaimana mentarbiyah orang lain.

6. Apabila kita diamanahkan untuk mentarbiyah dan membimbing aktivis muda, maka hendaklah mengajar mereka untuk mempelbagaikan amalan mereka bagi memastikan tahap keimanan yang tinggi dan proses pembersihan jiwa yang berterusan. Jangan biarkan mereka tenggelam dalam satu bentuk aktiviti, penglibatan atau amalan. Benarkanlah mereka untuk mempunyai kepelbagaian aktiviti, penglibatan dan amalan, selama mana dalam batas keupayaan mereka. Kesemua ini akan membantu mengurangkan rasa jemu dan malas.

7. Demikianlah juga program dakwah bagi masyarakat umum. Ia haruslah dipelbagaikan agar dapat terus menarik minat masyarakat selama mana kepelbagaian itu berada dalam rangka sunnah Rasulullah s.a.w.

Dipetik dari buku Sampaikan Daripadaku… Klik di sini untuk maklumat buku.