8 – Berdakwah Dengan Pembesar

Dari Ibn Abbas r.a bahawa Rasulullah s.a.w telah menghantar surat kepada Raja Rom yang bermaksud “Dari Muhammad Rasulullah s.a.w kepada Hercules, Raja Agung Rom. Salam sejahtera atas sesiapa yang mengikut petunjuk. Maka saya mengajak tuan untuk memeluk Islam. Islamlah nescaya tuan akan selamat. Islamlah nescaya Allah akan memberi tuan pahala dua kali ganda. Jika tuan berpaling, tuan akan menanggung dosa orang-orang Eropa. “Hai Ahli Kitab! Marilah kembali kepada satu kalimat yang tidak ada perbezaan antara kami dengan kamu, iaitu tidak menyembah kecuali kepada Allah dan tidak menyengutukan Allah suatu apa pun dan tidak menjadikan setengah kami dari setengah yang lain sebagai Tuhan selain dari Allah. Jika mereka berpaling, maka katakanlah ‘Saksikanlah olehmu bahawa kami adalah orang-orang Muslim’. (Ali Imran : 64)” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

 

Petunjuk-petunjuk

 

1. Hadits ini mengajar kita bahawa apabila berdakwah dengan pembesar hendaklah kita menunjukkan rasa hormat kepada kedudukan dan status pembesar berkenaan. Rasulullah s.a.w sebagai seorang nabi yang mulia di sisi Allah taala memanggil Raja Rom dengan gelaran kemuliaannya. Kekufuran Raja Rom tidak dijadikan alasan untuk memaparkan sikap yang merendahkan dirinya atau menafikan status kedudukannya. Ini adalah penampilan adab yang baik oleh kita dan termasuk dalam berhikmah ketika berdakwah.

 

2. Dalam suratnya, Rasulullah s.a.w hanya mengajak Raja Rom untuk memeluk Islam sahaja. Jika dia enggan memeluk Islam, maka perhitungannya diserahkan kepada Allah taala semata-mata. Rasulullah s.a.w tidak memberi ultimatum kepada Raja Rom bahawa jika dia tidak memeluk Islam, dia mesti bayar jizyah, jika tidak, dia akan diperangi.

 

3. Hadits ini mengajar kita bahawa pendekatan memberi ultimatum kepada para pembesar negara bukanlah persoalan prinsip dalam dakwah tetapi ia adalah persoalan pilihan dan kebijaksanaan penguasa Islam.

 

4. Sesiapa yang mengkaji sejarah dengan lebih mendalam akan memahami bahawa tiga ultimatum yang diberikan kepada raja-raja adalah amalan yang berlaku kemudian setelah pengiriman surat-surat Rasulullah s.a.w kepada para pembesar. Perbuatan itu pula dilakukan kepada raja-raja yang bersikap memerangi atau telah melakukan tindakan perang ke atas penguasa Islam. Oleh itu, ia adalah satu tindakan untuk konteks tertentu bukan untuk semua keadaan.

 

5. Apabila Rasulullah s.a.w menyerahkan urusan Raja Rom kepada perhitungan Allah taala jika dia tidak memeluk Islam, ini bermakna dia bebas untuk terus kekal dengan kedudukannya dan Rasulullah s.a.w bersedia untuk menerima kewujudan bersama dua entiti – negara Islam dan negara Kristian – asal sahaja ia diasaskan atas dasar keamanan dan saling hormat menghormati tanpa kewujudan tindakan perang dari mereka. Ini adalah dasar dalam menentukan asas hubungan politik antara masyarakat Muslim dan bukan Muslim. Ia bukan bermula dengan pendekatan ‘tiga ultimatum’ tetapi pendekatan ‘kesedian untuk wujud bersama secara aman’.

 

6. Dalam melakukan dialog antara agama atau kebudayaan, adalah penting untuk menjelaskan prinsip pegangan kita tetapi sama penting untuk menumpukan aspek persamaan antara kita dan  kelompok yang dihadapi.