Islam Melarang Pelampauan 1

(Nota: Artikel ini dipetik dari buku Kesederhanaan Dalam Islam Mengikut Konteks Masyarakat Islam Singapura, terbitan Pergas, 2004)

 

Intipati ajaran Islam mengajar kepada kesederhanaan dan jauh dari pelampauan. Ini dapat dilihat dari dalil-dalil berikut:

 

1.  Allah taala memerintahkan umat Islam agar sentiasa memohon agar ditunjukkan jalan yang lurus.

 

Allah taala berfirman yang bermaksud:

 

“Tunjukkanlah kami jalan yang lurus, jalan orang-orang yang kau beri nikmat ke atas mereka, bukan jalan orang-orang yang dimurkai ke atas mereka dan bukan jalan orang-orang yang sesat.” (Al-Fatihah : 6 – 7)

 

Ayat ini berkehendak agar umat Islam menjauhi dua kelompok dari dua ekstrem yang berbeza. Iaitu kelompok ekstrem yang mencuaikan perintah agama dan kelompok ekstrem yang melampau dalam menunaikan perintah agama. Ayat ini dibaca oleh umat Islam dalam setiap rakaat solat dan ini menunjukkan betapa Islam sentiasa mengingatkan umatnya agar jauh dari pelampauan.

 

2.   Islam melarang umatnya dari melampau.

 

Allah taala berfirman yang bermaksud:

 

“Dan itu adalah batas-batas Allah, maka janganlah kamu melampauinya dan barangsiapa yang melampau batas-batas Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim.” (Al-Baqarah: 229)

 

Ayat ini secara jelas melarang umat Islam dari melampau. Ayat ini juga memberi gambaran erti pelampauan dalam Islam iaitu melanggar ajaran Islam.

 

Allah taala berfirman yang bermaksud:

 

“Janganlah kamu melampau dalam agama kamu.” (An-Nisa’: 171, Al-Maidah:77)

 

Walau pun ayat ini asalnya ditujukan kepada Ahli Kitab tetapi ia menjadi pengajaran kepada umat Islam agar tidak mengikut jejak Ahli Kitab yang membawa kepada pelampauan.

 

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

 

“Jauhilah kamu dari melampau dalam agama.” (Riwayat Ahmad, Ibn Khuzaimah, An-Nasa`ii, Ibn Majah dan Al-Hakim)

 

Hadits ini mengajar umat Islam agar menjauhi sifat melampau dengan menyatakannya sebagai satu larangan.

 

3.   Perintah agar umat Islam beristiqamah.

 

Allah taala berfirman yang bermaksud:

 

“Dan beristiqamahlah sebagaimana yang diperintahkan kepada kau dan (juga) orang yang bertaubat bersama kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan” (Hud: 112)

 

Ayat ini memerintahkan umat Islam agar beristiqamah. Istiqamah pula diertikan dengan larangan agar tidak melampau.

 

4.         Islam menerangkan akibat buruk sifat melampau.

 

Allah taala berfirman yang bermaksud:

 

“Dan itu adalah batas-batas Allah, maka janganlah kamu melampauinya dan barangsiapa yang melampau batas-batas Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim.” (Al-Baqarah : 229)

 

Ayat ini menunjukkan bahawa pelampauan menyebabkan kezaliman.

 

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

 

“Sesungguhnya yang menghancurkan umat sebelum kamu ialah sifat melampau dalam agama.” (Riwayat Ahmad, Ibn Khuzaimah, An-Nasa`ii, Ibn Majah dan Al-Hakim)

 

“Musnahlah mereka yang melampau.” (Riwayat Muslim, Abu Daud dan Ahmad)

 

Kedua hadits ini menerangkan akibat buruk pelampauan ialah kehancuran.

 

Rasulullah s.a.w bersabda:

 

“Janganlah kamu memberatkan atas diri kamu, nescaya Allah akan memberatkan atas kamu. Sesungguhnya satu kaum telah memberatkan diri mereka, maka Allah memberatkan ke atas mereka. Itulah saki baki mereka di biara-biara. Kependitaan yang mereka cipta yang tidak kami wajibkan ke atas mereka.” (Riwayat Abu Daud)

 

Hadits ini mengajar bahawa melampau akan menyebabkan kesulitan dalam hidup.