Sekadar Berkongsi – Cara-cara mengenalpasti taktik pengganas di laman web radikal (Berita Minggu (Singapura), 6 April 2008)

Cara-cara mengenalpasti taktik pengganas di laman web radikal

Oleh NAZRI HADI SAPARIN

TERDAPAT 23 cara bagaimana orang ramai boleh mengesan laman web radikal yang cuba mempengaruhi seseorang.Itulah antara tips yang terkandung dalam buku kecil bertajuk Jangan Melampau Dalam Beragama yang dihasilkan dua penyelidik pengganasan, Ustaz Muhammad Haniff Hassan, dan Ustaz Mohd Ali.

Buku yang tersedia dalam tiga bahasa – Inggeris, Melayu dan Tamil – ini diagihkan secara percuma di masjid-masjid dan persatuan keagamaan.

Pasangan itu, kedua-duanya penganalisis pengganasan di Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam (RSIS) di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), berkata buku tersebut disasarkan kepada golongan belia dan ibu bapa.

Selain mendekati golongan belia secara langsung menerusi buku tersebut, ia juga bertujuan menjadi bahan rujukan bagi ibu bapa mengenalpasti petanda-petanda radikal dalam diri anak mereka.“Kami mahu memperkasa masyarakat dengan buku panduan yang mengenalpasti taktik yang digunakan laman-laman sedemikian.

“Ini mahu kami sampaikan dengan cara yang jelas dan mudah difaham,” ujar Ustaz Muhammad Haniff.

Sebelum ini, Ustaz Muhammad Haniff dan Ustaz Mohd Ali juga pernah menghasilkan buku kecil mengenai pengertian sebenar jihad.Ustaz Muhammad Haniff juga mempunyai laman yang membincangkan dan menawarkan klip video serta audio mengenai isu pengganasan di http://counterideology.multiply.com 

Buku kecil terbaru itu boleh juga dimuat turun melalui laman web tersebut.Di samping itu, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) juga mengendalikan laman web bagi memerangi ideologi ekstrim.

Bagaimanapun, Ustaz Mohd Ali berkata lebih banyak wadah bagi suara Muslim sederhana perlu disediakan untuk mendekati lebih ramai belia.

“Cabarannya kini ialah bukan hanya mengenai memerangi hujah ekstremis, tapi memastikan Muslim sederhana mampu menyebarkan hujah kita kepada lebih ramai orang,” katanya.