Soalan
Sahabat saya berhutang dengan saya sebanyak $10,000 tetapi mengerjakan haji dan umrah berkali-kali. Saya merasa kurang senang tetapi sukar untuk menyatakan kepadanya kerana dia adalah kawan karib. Saya memohon pandangan ustaz mengenai tingkah laku kawan saya ini.
Jawaban
Menunaikan haji itu wajib bagi mereka yang telah mampu. Seorang yang berhutang dengan orang lain boleh menunaikan haji dengan syarat dia tidak menyebabkan hak si pemberi hutang itu terjejas seperti menjejas pembayaran hutangnya mengikut waktu yang dijanjikan kecuali jika telah diberi keizinan. Hatta untuk pergi berjihad sekali pun, satu ibadah yang agung, tidak boleh dilakukan kecuali setelah mendapat izin si pemberi hutang. Di dalam sebuah hadits, seorang sahabat bertanya Rasulullah s.a.w “Apakah pendapatmu jika aku dibunuh di jalan Allah, adakah dosaku akan dihapuskan? Rasulullah s.a.w bersabda “Ya. Jika anda sabar dan mengharap ganjaran Allah, maju ke hadapan dan tidak mundur kecuali (jika) berhutang. Sesungguhnya Jibril berkata kepadaku sedemikian.” (Riwayat Ahmad)
Dalam hal ini, menunaikan hak manusia (membayar hutang) harus diutamakan dari menunaikan hak Allah taala (menunaikan haji). Apatah lagi menunai haji hanya wajib bagi yang berkemampuan. Orang yang hartanya terikat kerana membayar hutang boleh dikategorikan sebagai belum berkemampuan. Seorang sahabat bertanya Rasulullah s.a.w mengenai seorang lelaki yang belum berhaji adakah ia berhutang untuk berhaji. Rasulullah s.a.w bersabda “Tidak boleh.” (Riwayat Al-Baihaqi)
Jika seorang itu telah menunaikan haji, maka tidak wajib lagi baginya menunaikan haji untuk kali kedua. Rasulullah s.a.w bersaabda yang bermaksud “Haji itu sekali sahaja. Sesiapa yang menambah, maka itu hanyalah sunat.” (Riwayat Abu Daud dan Al-Hakim). Dalam keadaan sedemikian, kewajiban utamanya ialah untuk menyelesaikan hutang dari menunaikan haji atau umrah yang sunat.
Adalah diingatkan bahawa menunaikan haji dan umrah sehingga menyebabkan hak si pemberi hutang itu terjejas dan menyebabkan ia tidak merasa redha boleh menjatuhkan seseorang ke dalam apa yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w yang bermaksud “Penangguhan (membayar hutang) bagi orang yang kaya (berkemampuan) adalah satu kezaliman.” (Riwayat Abu Daud). Perbuatan zalim adalah berdosa di sisi Allah taala.
Disebabkan cara hidup hari ini banyak dipengaruhi oleh sistem ekonomi kapitalis dan kemudahan membuat pinjaman wang, ramai dari antara umat Islam menjadi mengambil ringan terhadap pembayaran hutang.
Sedangkah Islam sebenarnya, walau pun mengharuskan berhutang, tetapi tidak menggalakkannya. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud “Adapun hutang itu, demi jiwaku yang berada ditanganNya (Allah), jika ada seorang lelaki dibunuh di jalan Allah kemudian dia hidup semula lalu dia dibunuh lagi di jalan Allah kemudian dia hidup semula lalu dia dibunuh lagi, dia tidak akan masuk syurga sehingga hutang itu dibayar.” (Riwayat Ahmad).
Dalam sebuh hadits lain pula beliau bersabda yang bermaksud “Sesiapa yang mengambil harta manusia dengan berniat untuk mengembalikannya, maka Allah akan membantu dia untuk mengembalikannya dan sesiapa pula yang mengambil dengan berniat untuk merosakkannya, maka Allah akan merosak diri dia.” (Riwayat Al-Bukhari)
Oleh itu, hendaklah umat Islam sentiasa peka terhadap amanah berhutang dan tidak berhutang kecuali atas keperluan.
Wallahu A`alam
berat sungguh hukum menanggung hutang nie pada seseorang, berat lagi lah ustaz kalau yang memberi hutang tu tak halalkan dunia akhirat sebab masa nak minta hutang bukan kerana dia dalam kesusahan tapi menipu kerana dapat tahu orang tu baru jual rumah dan dalam proses perceraian ambil kesempatan menolong konon nya, sampai sekarang hutang tak berbayar lagi dan dengar si pemiutang nak kerjakan haji – bagaimana ya?
Bagi embun, bila orang minta diberikan hutang, embun beri dengan ingatan pada diri bahawa duit yang embun beri sebagai hutang itu ada kemungkinan jadi 'duit hangus'.
Memang susah nak mengikhlaskan hutang, apatah lagi bila kita sendiri ada waktu-waktu sesak.
Tapi tulah, kalau kita tak ikhlaskan hutang orang, orang ikhlaskan ke hutang-hutang kita?
Embun sebak bila di depan jenazah, ada Ustaz atau ahli saudara yang mengatakan sekiranya almarhum ada berhutang dengan sesiapa, silalah jumpa dengan ahli keluarganya untuk dilangsaikan…
salam
kalau sesiapa nak berhutang, saya selalu cadangkan pergi berhutang kat institusi konvensional je. mmg, institusi ni kebanyakannya beriba', tapi masalah yg lebih besar, orang kita ni, bila berhutang dengan member2 atau sanak saudara, selalu take for granted… tu yg jadi sampai tak terbayar-bayar. akhirnya, menjadi anyiaya kat sedara sendiri.. nak tuntut secara undang-undang, takde hitam putih.. mintak secara baik-baik, sampai berbuih mulut 🙂
salam
ustaz,
kalau berhutang dgn institusi konvensional, ada kah kita digalakkan menyelesaikan hutang ini dulu sebelum pergi haji?
atau mungkin, kalau pembayaran bulanan pada institusi tu tak terjejas, maka orang tu boleh pergi tunaikan haji?
jika hak si pemberi hutang tak terjejas, bolehlah pergi haji i.e. macam hutang ngan hdb.
salam