Insuran dan Dependent Protection Scheme

Soalan

 

Apakah hukumnya membeli perlindungan insurans bagi diri dan harta?

Adakah Dependents Protection Scheme yang ditawarkan oleh CPF halal dan bolehkah wang darinya difaraidkan kepada ahli waris dan digunakan?

 

Jawaban

 

Islam memerintah umatnya agar berusaha untuk mengurus kehidupan disamping bertawakal. Termasuk dalam mengurus kehidupan ialah berusaha melindungi harta dan aset yang dimiliki dari pelbagai musibah dan kehancuran. Apabila Rasulullah s.a.w  ditanya oleh seorang Badui mengenai apa yang perlu dia lakukan bagi melindungi untanya, beliau bersabda yang bermaksud, “Ikatlah ia (unta) kemudian bertawakal.”

 

Islam juga memerintahkan umatnya agar sentiasa memelihara maslahat ahli keluarga terdekat dengan memastikan mereka agar tidak dibiarkan dalam keadaan melarat dan kesusahan. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya jika kau meninggalkan keluarga kau dalam keadaan kaya, itu lebih baik dari meninggalkan mereka dalam keadaan papa meminta-minta manusia.”

 

Kesemua aspek di atas wujud dalam perlindungan insurans. Atas dasar itu, ulama membenarkan umat Islam menyertai skim perlindungan insurans dengan syarat ia menepati dengan syariat Allah taala.

 

Disebabkan keterbatasan ruang, perincian mengenai insurans Islam yang dikenali sebagai Takaful boleh diperolehi dari buku Halal dan Haram Dalam Islam oleh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi atau buku Takaful Sistem Insurans Islam oleh Mohd Fadzli Yusuf, terbitan Utusan Publications.

Hari ini terdapat pelbagai produk Takaful bagi memenuhi segala macam keperluan perlindungan asas samada dalam bentuk Takaful Keluarga (alternatif bagi polisi insurans konvensional) bagi perlindungan ketika ditimpa kemalangan, maut atau sakit dan Takaful Am bagi perlindungan harta seperti kereta, rumah dan kedai. Umat Islam hanya dibenarkan membeli insurans konvensional jika ia tidak mempunyai pilihan lain seperti untuk memenuhi keperluan undang-undang atau tiada produk Takaful bagi melindungi satu kepentingan yang besar. Dalam hal ini, Jawatankuasa Fatwa MUIS telah berfatwa “Jika sudah diperundang-undangkan dan tidak dapat dielakkan maka hukumnya harus kerana darurat. Sebagai mengikut kaedah Usul Fiqh yang bermaksud Keadaan darurat mengharuskan yang terlarang.”

Menyertai Dependents Protection Scheme termasuklah dalam usaha melindungi kepentingan ahli keluarga. Hukum DPS telah difatwakan oleh Mufti Singapura sebagai berikut “Jawatankuasa Fatwa memutuskan bahawa Skim DPIS yang dikelolakan oleh pihak CPF ini adalah merupakan kooperatif bantu membantu antara ahli-ahli CPF. Ia hampir merupai kumpulan kumpulan khairat kematian. Oleh itu, hasilnya halal dan menjadi pusaka si pencarum maka dihukumkan seperti hukum faraid. Pembahagiannya mestilah menurut hukum faraid.”

 

Fatwa Jawatankuasa Fatwa MUIS berkaitan insurans boleh dirujuk di halaman web MUIS.

 

Wallahu A`alam

Trackbacks

  1. […] “Hari ini terdapat pelbagai produk Takaful bagi memenuhi segala macam keperluan perlindungan asas samada dalam bentuk Takaful Keluarga (alternatif bagi polisi insurans konvensional) bagi perlindungan ketika ditimpa kemalangan, maut atau sakit dan Takaful Am bagi perlindungan harta seperti kereta, rumah dan kedai. Umat Islam hanya dibenarkan membeli insurans konvensional jika ia tidak mempunyai pilihan lain seperti untuk memenuhi keperluan undang-undang atau tiada produk Takaful bagi melindungi satu kepentingan yang besar. Dalam hal ini, Jawatankuasa Fatwa MUIS telah berfatwa “Jika sudah diperundang-undangkan dan tidak dapat dielakkan maka hukumnya harus kerana darurat. Sebagai mengikut kaedah Usul Fiqh yang bermaksud Keadaan darurat mengharuskan yang terlarang.”” |Source: http://haniff.sg/kemusykilan-agama/insuran-dan-dependent-protection-scheme/| […]