Islam dan amalan homoseksual

15312895-human-head-with-question-mark-symbol-on-white

Kemusykilan agama ini telah diterbitkan oleh Berita Harian [Singapura] pada 13 Disember 2013.

Versi terbitan Berita Harian boleh dibaca di sini.

Versi bahasa Inggeris boleh didapati di sini.

(Nota: Di bawah adalah versi asal oleh saya. Terdapat perbezaan isi antara versi asal dan versi terbitan Berita Harian kerana keterbatasan ruang memerlukan versi asal disunting dan dipendekkan [lihat teks bergarisbawah pada versi asal]. Oleh itu, versi Berita Harian tidak mengandungi keseluruhan pandangan saya. Hal ini adalah satu perkara yang biasa dan difahami. Saya poskan versi Berita Harian di sini dengan tujuan rekod dan dokumentasi bahan-bahan tulisan saya yang telah diterbitkan (salah satu objektif utama halaman blog saya ini). Penjelasan di atas pula adalah bagi mengelakkan kekeliruan dan salah faham pembaca, bukan tujuan prejudis terhadap mana-mana pihak. Moga bermanfaat. Terima kasih.)

Soalan

1. Apakah pandangan Islam terhadap amalan homoseksual di kalangan lelaki dan perempuan.

2. Ramai dari kalangan mereka berpendapat bahawa perasaan yang ada terhadap kaum sejenis adalah sesuatu yang semula jadi dalam diri mereka dan mereka terperangkap dengan keadaan. Bagaimanakah seseorang yang cenderung kepada kaum sejenis dapat melawan perasaan sedemikian?

3. Bagaimana pula mereka dapat berpatah balik?

Jawapan

Pada pendapat saya Islam melarang amalan homoseksual di kalangan lelaki dan perempuan.

Apa yang saya maksudkan dengan homoseksual di sini ialah hubungan seks sesama jenis, baik dalam bentuk penetrasi atau foreplay, bukan perasaan kasih atau cinta yang ada pada seorang terhadap rakan sejenis.

Perasaan sebegini bukan sesuatu yang dilarang oleh Islam sama sekali.

Islam memerintahkan kita saling mengasihi sesama manusia.

Rasulullah s.a.w bersabda, “Kasihilah apa yang ada di bumi, nescaya kamu akan dikasihi oleh yang berada di langit [Tuhan].” (Riwayat Al-Turmuzi)

Islam juga menganjurkan semua Muslim (lelaki dan perempuan) agar memberi kemuncak tertinggi kasihnya kepada Rasulullah s.a.w.

Rasulullah s.a.w bersabda, “Tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehingga aku menjadi orang yang paling dia kasihi dari ibubapa dan anak-anaknya sendiri dan manusia sekalian.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Rasulullah s.a.w dan sahabatnya amat kasih mengasihi sesama mereka sebagaimana disebutkan dalam ayat 48:29.

Hujah Agama

Mengenai larangan hubungan seks sesama lelaki, Al-Quran ada menceritakan kisah nabi Lut yang diutus oleh Allah untuk membaiki kaumnya yang mengamalkan perbuatan ini.

Kaum ini kemudiannya dimusnahkan oleh Allah taala kerana kedegilan mereka.

Walaupun tiada pernyataan secara jelas dalam Al-Quran bahawa seks sesama lelaki adalah haram sebagaimana Allah taala haramkan bangkai dalam ayat 5:3, namun terdapat logik yang jelas akan pengharamannya sebagaimana berikut:

  • Al-Quran mengharamkan apa yang ia namakan sebagai “fahisyah” (sesuatu yang keji) di dalam ayat-ayat 7:33, 16:90. Segala yang disifatkan sebagai “fahisyah” sentiasa dikaitkan dengan sesuatu yang terlarang atas dasar haram bukan makruh seperti dalam ayat-ayat 2:169, 2:268, 6:151, 7:28, 24:19, 42:37
  • Al-Quran pula mensifatkan hubungan seks sesama jenis lelaki sebagai “fahisyah” di dalam ayat 7:80, 27:54 dan 29:28.
  • Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa hubungan sesame jenis lelaki dalah terlarang.

Sememangnya Al-Quran juga tidak menggunakan perkataan jima’ dalam mensifat perbuatan kaum Lut yang tercela tapi ini tidak menafikan kesimpulan di atas kerana:

  • Perkataa “tatuuna” dalam ayat-ayat yang mensifatkan perbuatan kaum Lut itu seperti dalam ayat 7:81 walau pun pada asalnya bermakna “mendatangi” ia bukan bermaksud mendatangi sebagai satu interaksi sosial kerana dalam ayat itu Al-Quran kaitkannya dengan perbuatan bersyahwat dan “fahisyah” – sesuatu yang terlarang – sedangkan “mendatangi” dalam erti interaksi sosial sesama jenis bukan sesuatu yang dilarang sama sekali sebagaimana yang dicontohkan dalam kehidupan sosial Rasulullah s.a.w bersama para sahabat lelaki.
  • Memaknakan “mendatangi” dengan erti jima’ sebagai satu kiasan sesuai dengan cara Al-Quran dalam membicarakan persoalan ini. Ia amat konsisten dengan perkataan yang digunakan juga bagi hubungan seks antara suami isteri dalam ayat 2:223.
  • Sifat “fahisyah” dalam Al-Quran juga sering kali digunapakai sebagai kiasan bagi zina, iaitu seks yang terlarang.
  • Bahkan perkataan jima’ yang memberi makna langsung pada perbuatan seks memang tidak digunakan sama sekali dalam Al-Quran, hatta dalam mensifatkan zina sekali pun.
  • Dahsyatnya azab yang ditimpakan ke atas kaum nabi Lut juga menjadi petanda bahawa perlakuan mereka itu adalah haram danbukan hanya sesuatu yang tidak disukai sahaja (makruh).

Berdasarkan pada hujah-hujah dan logik di atas, pengharaman seks sejenis lelaki mempunyai asas yang kuat.

Al-Quran memang tidak menyentuh soal hubungan seks sejenis antara perempuan tetapi larangan ke atasnya dapat diqiyaskan pada larangan ke atas hubungan seks sesama lelaki kerana maksudnya yang sama.

Ini diperkuatkan pula oleh hadis yang melarang hubungan jenis sesama perempuan.

Dalam Islam hubungan seks hanya boleh dilakukan oleh, a) pasangan lelaki dan wanita, dan b) melalui ikatan tali perkahwinan yang sah.

Sejumlah besar ulama berpendapat bahawa Islam juga melarang hubungan seks melalui dubur, hatta oleh pasangan suami isteri.

Ini kerana Allah yang mencipta manusia tidak mencipta saluran dubur bagi tujuan seks.

Bahkan, Islam juga melarang lelaki dan wanita untuk memuaskan nafsu seks mereka sendiri.

Islam menganjurkan lelaki dan wanita untuk berkahwin bagi memenuhi naluri seksnya.

Ini adalah cara yang lebih sesuai dengan fitrah kejadian manusia dan kehidupan yang suci.

Persepsi bahawa perasaan sedemikian adalah naluri semula jadi sejak lahir adalah tidak tepat.

Islam berpendapat bahawa semua bayi lahir atas fitrah yang murni.

Iaitu bersih dari segala kecenderungan yang buruk.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud “Semua bayi dilahirkan atas fitrah. Kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Kenapa Rasulullah s.a.w tidak memasukkan menjadikannya seorang Islam juga? Kerana Islam adalah fitrah semula jadi setiap manusia. Fitrah Islam bersih dari kecenderungan sedemikian.

Hujah Sains

Hujah bahawa kecenderungan homoseksual adalah sesuatu yang tabii atau bersebabkan baka (gene) bukanlah satu dapatan saintifik yang konklusif.

Ustaz Dr. Firdaus Yahya ada menulis satu makalah bertajuk LGBT: A Critical Study yang diterbitkan oleh Pergas dalam terbitannya Jurnal Dakwah edisi Disember 2012.

Makalah ini boleh didapati melalui internet dengan membuat carian menggunakan tajuknya.

Dalam makalah ini, beliau menolak melalui kajian sains sendiri akan kelemahan hujah sedemikian.

Saya bersetuju dengan dapatan makalah ini juga bahawa kecenderungan itu adalah sesuatu yang mendatang bukan semula jadi.

Ia mungkin disebabkan oleh pendidikan, pengaruh sosial atau penyakit.

Hujah Golongan Gay & Jawapan

Segolongan Muslim yang bersimpati pada golongan gay Muslim berhujah bahawa hubungan seks sesama jenis adalah halal kerana yang dicela dan larang dari perbuatan seks sesama jenis ialah apabila ia dilakukan dalam bentuk perkosaan (tanpa kerelaan salah satu pihak) atau dalam bentuk seks bebas (luar ikatan perkahwinan), sebagaimana juga hubungan seks berlainan jenis dalam bentuk perkosaan dan di luar nikah juga adalah haram.

Golongan ini juga berhujah dengan ayat Al-Quran (16:72) bahawa Allah telah menjadikan dari kalangan manusia berpasang-pasang tanpa membataskan pada pasangan berlainan jantina.

Berdasarkan hujah-hujah di atas, golongan ini lalu menyimpulkan hubungan seks antara pasangan gay adalah halal jika dilakukan dalam hubungan perkahwinan di mana kededua pihak saling bersetuju untuk mengikat hubungam mereka secara serius (bukan rambang) dalam bentuk perkahwinan yang formal, sama seperti hubungan seks heteroseksual yang hanya halal jika dilakukan dalam ikatan perkahwinan.

Hujah ini, walau bagaimana pun, bermasalah kerana perkara-perkara berikut;

  • Semua ayat-ayat berkaitan perkahwinan dalam Al-Quran merujuk pada perkahwinan antara lelaki dan perempuan seperti yang dapat di lihat dalam ayat-ayat 4:3, 4:25 dan 24:26.
  • Walau pun ayat 16:72 tidak mengkhususkan makna perkataan pasangan pada pasangan lelaki-perempuan, tapi terdapat petunjuk yang jelas bahawa perkahwinan yang dimaksudkan dalam ayat ini merujuk pada perkahwinan antara lelaki dan perempuan, bukan perkahwinan pasangan sesama jenis.
    Hal ini dapat di lihat dari frasa “…menjadikan bagimu dari pasangan-pasangan kamu itu, anak anak dan cucu-cucu…”, yang memberi maksud jenis perkahwinan yang pada tabiinya boleh melahirkan zuriat atau mencapai tujuan penerusan zuriat manusia.
    Frasa ini dengan sendirinya mengecualikan perkahwinan pasangan sesama jenis kerana telah diketahui umum bahawa perkahwinan jenis ini tidak akan mampu mencapai tujuan penerusan zuriat manusia.
  • Berdasarkan ini, boleh disimpulkan bahawa perkahwinan yang diakui oleh Al-Quran hanyalah perkahwinan antara pasangan yang berlainan jenis.
  • Oleh itu, dapat disimpulkan juga bahawa seks sesama jenis tetap dilarang samada atas dasar suka sama suka dan dalam ikatan perkahwinan dan lebih terlarang lagi jika dilakukan atas dasar paksaaan atau di luar ikatan perkahwinan.

Sikap & Layanan Yang Betul

Walau pun golongan gay dan lesbian telah melakukan kemunkaran di sisi Islam tetapi menangani mereka haruslah mengikut prinsip dakwah umum iaitu dengan cara hikmah, nasihat yang baik dan perdebatan dengan cara yang terbaik (16:125).

Mencela, menyisih dan menghina mereka semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah.

Kesalahan mereka juga tidak bermakna mereka, secara dasarnya, boleh didiskriminasi dalam bidang pekerjaan atau dalam perkara-perkara lain yang tidak berkaitan langsung dengan tabiat mereka atau galakan terhadap cara hidup mereka atau diperlaku secara tidak adil, seperti dibuli.

Al-Quran anjurkan umat Islam berlaku adil hatta kepada orang yang pernah berbuat zalim atau pelaku maksiat (5:8).

Al-Quran juga menetapkan hubungan sesama manusia haruslah atas hormat dan memuliakan kerana Allah taala memuliakan semua anak Adam (17:70), baik yang taat atau yang ingkar.

Seorang Muslim tidak boleh mempunyai sikap ‘perasan’ diri sendiri lebih baik dan mulia, walau pun kepada pelaku maksiat, kerana ia adalah sesuatu yang dilarang dalam Al-Quran (53:32) dan merupakan sifat Iblis yang tercela (38:76).

Pendirian moral kita bahawa seks sesama jenis adalah haram tidak seharusnya menyebabkan kita menghukum bahawa pelakunya pasti ahli neraka kerana persoalan sedemikian adalah hak ketentuan Allah taala semata-mata, bukan hak manusia sebagaimana firmanNya, “Bukan urusan kamu [Muhammad] tentang [nasib] mereka itu, atau samada Allah mengazab mereka atau memberi taubat pada mereka….” (3:128).

Selain itu, Allah taala menghisab manusia secara menyeluruh, bukan hanya maksiat yang dilakukannya.

Oleh itu, walaupun pelaku seks sesama jenis telah melakukan yang haram tidak mustahil Allah taala memasukkan mereka ke syurgaNya kerana amal baiknya yang lain atau atas rahmat dariNya sebagaimana yang dapat dilihat dalam kisah pembunuh 100 nyawa di atas.

Di dalam hadis lain riwayat Al-Bukhari pula, Rasulullah s.a.w bercerita tentang seorang pelacur yang diampunkan Allah taala kerana memberi minum seekor anjing yang kehausan.

Pulang Ke Pangkal Jalan

Berkaitan dengan kembali ke pangkal jalan, berikut adalah cadangan saya.

Pertama sekali golongan berkenaan mestilah menginsafi dan menerima bahawa kecenderungan itu bukanlah satu kecenderungan yang sihat dan baik.

Ia adalah satu amalan yang buruk dari segi sosial, kesihatan dan agama.

Kedua mereka haruslah mempunyai azam untuk mengubah diri.

Jika mereka sendiri tiada kemahuan untuk mengubah diri dan tidak berusaha, tiada siapa dapat mengubah keadaan mereka.

Allah taala tidak mengubah sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri mahu mengorak langkah untuk berubah (13:11).

Ketiga setelah mempunyai azam buatlah langkah yang positif, antaranya ialah:

a. Jauhilah segala elemen dan persekitaran yang berkaitan dengan kecenderungan itu.

Tinggalkan tempat-tempat berkenaan dan jauhi teman-teman yang sedemikian.

Dalam sebuah hadits ada mengisahkan mengenai seorang yang telah membunuh nyawa kemudian ingin bertaubat.

Beliau dinasihatkan agar berpindah ke tempat yang baru untuk memulakan kehidupan yang baru.

Sesiapa pun yang mengkaji masalah sosial pasti akan mengetahui akan pengaruh persekitaran dan teman dalam tingkah laku seseorang.

Ini tidak bermakna bahawa kita mengasingkan mereka yang berkecenderungan seperti itu, tapi ia adalah langkah awal yang penting untuk satu kehidupan yang baru.

Seseorang itu boleh sahaja kembali membantu teman-temannya setelah dia berubah dan mempunyai kekuatan diri.

b. Dapatkan seorang guru agama untuk mendapat bimbingan dari segi keagamaan.

Agama adalah sumber kekuatan yang baik untuk memelihara seseorang itu.

c. Dapatkan seorang kaunselor untuk mendapat bimbingan dari segi kejiwaan.

Ini adalah kerana kebanyakan masalah ini mempunyai kaitan dengan kejiwaan.

d. Dapatkan seorang doktor untuk mendapat rawatan.

Kadangkala masalah ini boleh diatasi dengan rawatan perubatan.

Islam berpendapat setiap ‘penyakit’ ada penawarnya.

Begitulah juga dengan kecenderungan ini.

Allah taala tidak akan mengubah sesuatu kaum kecuali dia sendiri mengambil langkah untuk mengubah keadaan.

Di mana ada kehendak, di sana pasti ada jalan.

Yang penting ialah seseorang itu berusaha.

Dalam berusaha kadang kala ia gagal tetapi ia harus terus berusaha dan tidak boleh berputus asa.

Allah taala adalah Maha Pengasih dan Dia tidak akan mensia-siakan usaha hambaNya.

Wallahu A`alam

Trackbacks

  1. […] This is the translated version of the original article written in Malay. The original article can be accessed here. […]