Kemuykilan Agama – Adakah dosa saya diampunkan?

Soalan

Assalamualaikum, ustaz

Sekian lama saya fikirkan, insaf dan kesal tapi dapatkah kesalahan dan dosa besar saya boleh diampunkan Allah dengan setakat taubat nasuha?

 

Bolehkah saya terlepas dari azab seksaNya di akhirat nanti? Kerana tidak menjalani hukuman dunia (sebat, rotan, rejam dsbnya).

 

Sebenarnya saya takut hukuman akhirat tapi bagaimana untuk mengelakkannya?

Saya sangat memerlukan bantuan, panduan dan bimbingan dari orang arif seperti ustaz dan ulamak.

 

——————————————-

 

Jawaban

 

Salam

 

Allah telah berjanji untuk mengampunkan mereka yang telah bertaubat, dan dia tidak akan sama sekali memungkiri janjinya.

 

Rasululalh s.a.w dalam sebuah hadis berkata bahawa Allah akan melayan kita berdasarkan tanggapan baik kita terhadapnya. Ertinya, kalau kita meyakini Allah akan mengampunkan kita, maka dia akan melayan kita sedemikian dan sebaliknya juga. Allah pula lebih suka kalau kita berbaik sangka bahawa dia akan mengampuni kita. Ikutilah anjuran nabi ini.

 

Sila pergi ke tag dakwah@sunnah, anda akan dapati beberapa hadis dan huraiannya mengenai bagaimana menanggapi seseorang yang telah melakukan maksiat atau sering melakukan maksiat. Insyaallah, anda akan mendapat beberapa nasihat berguna di sana.

 

Tidak salah untuk kita menyesali dosa yang lama, tapi ia tidak bermakna kita meragui rahmat dan cinta Allah kepada kita.

 

Sebenarnya, mereka yang pernah buat dosa yang layak untuk dihukum, lebih utama untuk bertaubat dan merahsiakannya dari dihukum, kerana merahsiakan aib diri setelah bertaubat adalan anjuran agama.

 

Islam pula bukan agama yang pada dasarnya menggalakkan hukuman seperti sebat, rotan dan rejam kerana nabi pernah menasihatkan agar mengelakkan dari pelaksanaan hukuman sedemikian ke atas seorang mukmin selagi mampu.

 

Langkah selanjutnya ialah pertingkatkan ilmu agama dan dampingilah orang-orang yang soleh, kerana ia akan memberi nasihat yang berguna. Sibukkanlah diri dengan ibadat dan kerja kemasyarakatan, kerana ia akan menjauhkan masa kita dari tabiat dan kawan-kawan lama. Kesemua ini amat bermanfaat untuk memastikan kita tidak mengulangi kesilapan masa lalu.

 

Wallahu A`alam