Artikel Panjang – Pemikiran Wasatiy Almarhum Ustaz Ahmad Sonhadji Dalam Membentuk Identiti Masyarakat Islam Singapura

Kertas kerja tulisan bersama Mustazah Bahari dibentangkan di Persidangan Antarabangsa Tokoh Ulama Nusantara Ke 3, pada 22 Oktober 2019, di Hotel Grand Blue Wave, Shah Alam, Selangor, anjuran Koleh Universiti Islam Antarabangsa Selangor.

Untuk membaca, klik di sini.

Abstrak

Sejak beberapa dekad yang lalu terdapat usaha yang aktif untuk mengkontekstualisasikan fahaman dan amalan agama dengan realiti setempat. Singapura juga tidak ketinggalan di dalam usaha sedemikian, sebagaimana yang dapat dilihat dari usaha-usaha yang dilakukan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan Persatuan Ulama & Guru-Guru Agama Singapura (PERGAS) sehingga menghasilkan beberapa buku dan manual seperti buku Kesederhanaan Dalam Islam Dalam Konteks Masyarakat Muslim Singapura, terbitan Pergas, dan Risalah Membangun Masyarakat Islam Cemerlang Singapura bersama dengan projek pembangunan Identiti Muslim Singapura oleh Muis. Bagi memastikan usaha kontekstualisasi ini berjaya, masyarakat perlu didedahkan kepada tokoh-tokoh tempatan dan idea-idea serta warisan ilmu mereka supaya masyarakat dapat menjalin hubungan emosi dan intelektual hingga dengan itu kebergantungan kepada tokoh dan idea-idea dari luar negara menjadi kurang. Oleh itu, kajian mengenai tokoh-tokoh tempatan sepanjang sejarah seperti ustaz Ahmad Sonhadji harus dikembangkan dan pemikiran-pemikiran mereka harus disebarkan. Selain kitab tafsir beliau yang menjadi bahan bacaan dan rujukan dalam sesi pengajian agama, terdapat juga koleksi khutbah-khutbah beliau yang tidak kurang pentingnya dalam mencorak pemahaman agama bagi masyarakat Islam Singapura. Kertas kerja ini bertujuan untuk menonjolkan nilai-nilai wasatiyah yang disampaikan oleh Almarhum menerusi khutbah-khutbahnya, bersesuaian dengan konteks kehidupan majmuk di Singapura.