Artikel – Tuhan Kita: Maha Pengasih dan Maha Penyayang

bismillah

 

Tuhan Kita: Maha Pengasih dan Maha Penyayang

(c) Muhammad Haniff Hassan, 2013

Kepentingan Mengenali Allah

Iman kepada Allah adalah inti ajaran Islam.

Syariat Islam boleh berubah-ubah, tapi ajaran yang satu ini tidak berubah sejak dari nabi Adam hingga ke nabi Muhammad dan harus kekal sedemikian sehingga hari Kiamat.

Inti pada iman kepada Allah pula ialah mengenaliNya (makrifatullah) dengan betul.

Sebab itulah ulama berkata, dalam hal ini, “yang pertama dalam agama ialah kenal Allah”.

Manusia memang boleh mencapai iman pada Allah melalui akal fikirannya, jika digunakan dengan betul.

Namun, manusia tidak akan mampu kenal Allah dengan sempurna hanya dengan bergantung pada akalnya sahaja kerana akal manusia terbatas.

Atas sebab itulah, Allah taala tetap mengutus para nabi dan mewahyukan kitab-kitab suci bagi memandu manusia kepada iman yang tepat, iaitu mengenaliNya, walau pun Dia telah memberi akal kepada setiap manusia.

Oleh itu, cara terbaik untuk kenal Allah taala ialah melalui sumber dariNya sendiri kerana Dia lebih tahu tentang diriNya berbanding dari sumber lain atau akal manusia.

Dalam hal ini, sumbernya ialah Al-Quran, kitab yang diturunkan oleh Allah taala untuk memandu manusia hingga akhir zaman.

Bagaimanakah Allah taala memperkenalkan dirinya dalam Al-Quran?

Pengasih dan Penyayang Dahulu

Kita tidak perlu membaca Al-Quran keseluruhannya untuk mengenali Allah taala secara umum.

Bahkan kita tidak perlu membuka lembaran Al-Quran jauh-jauh untuk tujuan ini kerana Allah taala memperkenalkan Dia kepada kita di awal-awal Al-Quran lagi.

Ia terdapat di mukasurat pertama Al-Quran.

Lebih tepat lagi ialah di ayat pertama Al-Quran iaitu, “bismillahir rahmanir rahim (dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang)” dari surah Al-Fatihah yang dibaca pada setiap rakaat solat dan sepatutnya di hafal oleh setiap Muslim.

Hakikat bahawa ayat pertama dari Al-Quran menyebut nama Allah taala adalah dalil kepentingan iman padaNya mendahului segala yang lain dari ajaran Islam.

Selain itu ayat ini juga cuba memperkenalkan Allah taala secara umum kepada manusia sekalian dan pembaca Al-Quran khususnya.

Bagaimanakah Allah taala memperkenalkan dirinya dalam ayat ini?

Bagaimanakah sebenarnya Allah taala mahu dikenali oleh hamba-hambaNya?

Ayat ini memperkenalkan Allah taala sebagai Tuhan Yang Maha Pengasih dan Penyayang.

Ertinya, Allah taala lebih suka dikenali oleh hamba-hambaNya sedemikian.

Hakikat ini menjadi lebih terserlah apabila kita fikirkan bahawa Allah taala mempunyai 99 nama, yang antaranya mensifatkan Allah taala sebagai Al-Muntaqim (Maha Pembalas), Al-Jabbar (Maha Perkasa), Al-Muzil (Maha Menghinakan), Al-Mutakabbir (Maha Gemilang) dan Al-Qahhar (Maha Gagah) – sifat-sifat yang lebih menonjolkan kegagahan, kuasa dan kebesarannya – tapi Dia utamakan sifat Maha Pengasih dan Penyayang dari yang lain-lain.

Ia juga bermakna bahawa Allah taala lebih suka berhubungan dengan hambaNya atas dasar cinta dan kasih sayang, bukan atas dasar takut dan ancaman.

Allah taala lebih mahu Dia disukai dan disayangi, bukan digeruni atau ditakuti.

Kefahaman seperti dapat disokong oleh pelbagai ayat-ayat Al-Quran yang lain.

Antaranya ialah firman Allah taala, “Kabarkanlah kepada hamba-hambaKu, bahwa sesungguhnya Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan bahwa sesungguhnya azabKu adalah azab yang sangat pedih.” (Al-Hijr:49-50)

Dalam ayat ini Allah taala menyuruh nabi s.a.w memberitahu umatNya bahawa Dia bersifat Maha Pengampun dan Pengasih sebelum berbicara tentang azabnya.

Renungkan juga bahawa Allah taala tidak mensifat dirinya sebagai pengazab, berbanding dengan sifat sebelumnya, tapi hanya memberitahu bahawa Dia mempunyai azab yang pedih.

Lihat juga firman Allah taala, “….SiksaKu akan Kutimpakan kepada siapa yang Aku kehendaki dan rahmatKu meliputi segala sesuatu… ” (Al-A`araf:156)

Walaupun ayat ini Allah taala mendahulu pernyataan tentang azabnya tapi ia tetap menonjolkan rahmat (kasih)Nya melebihi dari azab.

Apabila Allah taala berbicara tentang azab, Dia nyatakan bahawa azab hanya menimpa sesiapa yang Dia kehendaki sahaja, sedangkan rahmatNya pula dikurniakan kepada segala sesuatu.

Dalam ayat lain, Allah taala mewajibkan atas diriNya sendiri rahmat (kasih) (Al-An`am:12 dan 54) dan bukan azab, dendam, penghukum atau yang seumpamanya.

Imam Al-Tabari dan Al-Qurtubi, ketika menghuraikan ayat ini, menyebutkan salah satu tanda rahmat Allah taala kepada hamba-hambaNya ialah tidak bersegera dalam menghukum atau menurunkan azab ke atas mereka.

Sebaliknya, Allah taala sentiasa menangguhkannya bagi memberi peluang yang luas untuk kembali ke pangkuan jalan.

Sebahagian ilmuwan Islam pula berpendapat bahawa ayat dari surah Al-An`am ini menetapkan bahawa kasih bukan hanya perbuatan Tuhan tapi ia merupakan inti pati hakikat ketuhanan itu sendiri.

Ayat ini menjadikan kasih itu sesuatu yang istimewa berbanding sifat dan perbuatan Tuhan yang lain.

Terdapat pelbagai hadis yang boleh dijadikan sokongan.

Antaranya ialah:
• “Allah taala telah berfirman ‘Sesungguhnya kasih sayangKu mengatasi kemarahanKu.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

• “Akan datang di hari Kiamat nanti, manusia-manusia dengan dosa seperti gunung-gunung. Allah mengampunkannya bagi mereka.” (Riwayat Muslim)

• “Allah taala telah berfirman ‘Seorang hamba telah berdosa. Lalu dia berkata ‘Ya Allah ampunkanlah dosaku’. Lalu Allah taala berfirman, ‘HambaKu telah berdosa tapi dia tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang mengampunkan dosa.’ Kemudian dia melakukan dosa lagi, lalu berkata ‘Ya Tuhanku ampunkanlah dosaku’. Lalu Allah taala berfirman, ‘HambaKu telah berdosa tapi dia tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang mengampunkan dosa.’ Kemudian dia mengulangi melakukan dosa, lalu berkata, ‘Ya Allah ampunkanlah dosaku’. Lalu Allah taala berfirman ‘HambaKu telah berdosa tapi dia tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang mengampunkan dosa. Telah aku ampuni hambaku, maka lakukanlah apa yang dia kehendaki.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

• Allah taala mengampunkan dosa seorang yang mati walau setelah membunuh 100 nyawa kerana dia sedang dalam perjalanan untuk bertaubat. (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

• Allah taala mengampunkan dosa seorang pelacur kerana memberi seekor anjing yang kehausan (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

Fahaman seperti ini berbeza sekali dengan fahaman yang condong menganjurkan Muslim untuk berasa takut terhadap Allah taala dan yang berkaitan dengannya seperti takut pada azab nerakanya apabila berbicara tentang Tuhan dan ajaran agama.

Takwa Bukan Takut

Lihat sahaja pada tafsiran takwa yang amat popular di kalangan ramai, iaitu takut kepada Allah taala.

Sedangkan hakikat makna takwa dalam bahasa Arab amat jauh kaitannya dengan makna takut.

Analisa dari sudut bahasa memberitahu bahawa perkataan takwa dalam bahasa Arab di ambil dari perkataan “waqa” yang antara maknanya ialah memelihara, melindungi dan membaiki.

Apakah yang perlu dipelihara, lindung dan baiki?

Dari apa?

Bagaimana melakukannya?

Jawapannya ialah perlindungan bagi diri kita sendiri dari kegagalan untuk mencapai kesejahteraan hidup di dunia dan syurga Allah taala di akhirat kelak dengan cara melaksanakan segala perintah Allah taala dan menjauhi laranganNya.

Makna takwa sebenarnya mempunyai kaitan yang amat sedikit sekali dengan rasa takut.

motivation-hierarchy3Dahulukan Motivasi Positif

Menunaikan tuntutan takwa kerana sayangkan Tuhan adalah motivasi positif, sedangkan melakukannya keranan takut azabNya adalah motivasi negatif.

Walaupun kedua-duanya mungkin menatijah tingkah laku yang sama, tetapi ia mempunyai kesan psikologi yang berbeza pada manusia.

Ia mencorak sikap kita dalam berhubungan dengan Allah taala.

Ia juga mempengaruhi bagaimana kita mengajak manusia untuk mentaati Allah taala.

Contoh yang mudah untuk memahami perkara ini ialah dalam soal pendidikan anak-anak.

Amat berbeza jika kita mendorong mereka untuk rajin belajar atas dasar suka pada ilmu dan cinta ibubapanya berbanding jika motivasi itu atas dasar takut pada hukuman dan gerun pada orang tua.

Jika dalam soal keduniaan kita mengajar anak-anak kita untuk melakukannya atas dasar suka dan positif, mengapakah dalam soal ibadah dan hubungan dengan Tuhan ia dilakukan atas dasar takut dan negatif?

Keutamaan kasih sayang di sisi Allah taala, berbanding sifat kerasNya, dapat juga dilihat bagaimana Allah taala mengajar para anbiya’ agar mendahulukan sifat basyir (pembawa berita gembira i.e. kasih sayang, syurga dan pahala) dahulu, sebelum nazir (pemberi amaran i.e. hukuman, kemurkaan, neraka dan dosa), sebagaimana yang boleh didapat banyak dalam Al-Quran.

Fungsi Takut & Azab

Apa yang dihuraikan di atas bukan sama sekali menafikan kewujudan konsep takut pada Allah taala dalam Islam.

Ia sememangnya ada dan boleh dijumpai dalam Al-Quran.

Ia jua dibincangkan olehpara ulama dalam tradisi ilmu Islam.

Dua perkataan dalam Al-Quran yang sering dikaitkan dengan dan memberi makna takut ialah khauf (3:175, 5:94, 16:50, dan khasyah (13:21, 36:11, 50:33, 98:9), bukan taqwa.

Al-Quran juga banyak menyebut tentang azab, dosa dan neraka yang mana ia menjadi sebahagian dari akidah kita.

Ayat Al-Hijr:49-50 yang dinyatakan di atas adalah satu contoh yang jelas.

Namun kewujudan perkara-perkara ini tidak sama sekali menjejas huraian di atas tentang mengenali Allah taala iaitu Dia lebih suka dikenali dan memperkenalkan diriNya sebagai Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Azab, dosa dan neraka dikemukakan sebagai satu pendekatan yang seimbang agar manusia tidak mengambil mudah pula akan sifat pengasih Tuhan hingga bersifat sambil lewa.

Ia ini juga adalah kerana Islam adalah agama yang seimbang (wasatiyah) yang sifatnya bukan hanya kasih sayang tapi juga adil.

Allah taala pula bukan hanya bersifat Maha Pengasih dan Penyayang tetapi Dia juga adalah Maha Adil.

Adil bermakna bukan hanya kebaikan yang perlu diberi perakuan dengan ganjaran yang wajar, tetapi kejahatan juga.

Terutama jika kejahatan itu dilakukan setelah diberi pelbagai peringatan untuk meninggalkannya dan peluang untuk membaikinya.

Melaksanakan keadilan dengan menghukum meraka yang bermaksiat adalah pilihan yang memang ada di tangan Allah taala, tapi terdapat banyak dalil-dalil syarak yang menunjukkan bahawa Dia lebih suka dan lebih mengutamakan sifat pengasih dan penyayangNya.

Pada apa jua kesempatan yang ada, Dia akan memaafkan hamba-hambaNya dan sangat mudah melakukannya sebagai manifestasi sifat pengasih dan penyayangNya.

Hadis-hadis yang dinyatakan berkaitan layananNya terhadap para pelaku maksiat jelas menunjukkan hakikat ini.

Namun yang lebih jelas lagi ialah hadis yang bermaksud, “Apabila Allah taala selesai mencipta alam ini, Dia menulis di atas arasyNya ‘Sesungguhnya rahmatKu sentiasa mendahului kemurkaanKu’.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Mengapakah Allah taala memilih rahmat, berbanding sifat atau nama-namaNya yang lain, untuk menghiasa arasyNya?

Tidak lain kerana Dia mendahulukannya dari yang lain, terutama dari murka dan segala yang berkaitan dengannya.

Kefahaman seperti ini juga bukan sesuatu yang asing di sisi para ulama Islam sejak zaman dahulu.

Mengajar kepada masyarakat tentang azab, dosa dan neraka adalah sebahagian dari agama, tapi menjadikannya sebagai dasar ubudiyah dan hubungan kita dengan Tuhan adalah sesuatu yang bermasalah.

Aplikasi Dalam Kehidupan

Kepentingan mengenali Allah taala sebagai Tuhan Yang Pengasih bukan hanya kerana keperluan untuk mempunyai ilmu yang betul terhadap Allah taala tetapi kerana ilmu sedemikian mempunyai tuntutan yang perlu ditunaikan dalam bentuk tingkah laku seperti bagaimana kita sampaikan Islam kepada manusia, bagaimana mengamalkan Islam di kalangan manusia dan bagaimana kita berurusan semasa manusia.

Oleh itu, yang sepatutnya ialah, setelah kita kenali Allah taala sebagai Tuhan Yang Maha Pengasih, hendaklah kita perkenalkan Dia juga sedemikian kepada manusia lain, bukan sebagai Tuhan yang bengis dan suka mengazab.

Apabila melakukan kewajiban kepada Tuhan pula, kita lakukannya dan ajak manusia melakukannya yang terutama atas dasar kasih padaNya dan kerana ingin meraih kasih sayangNya, bukan kerana takut akan azabnya lebih dahulu atau semata-mata.

Pada dasarnya pula, Islam disampaikan sebagai pesanan kasih lebih dahulu, bukan pesanan ancaman.

Sikap Allah taala yang mengutamakan sifat pengasih dan penyayang dalam berurusan dengan hamba-hambaNya menjadi contoh pula bagi kita dalam berurusan sesama manusia, iaitu berhubungan dengan cara lembut (bukan kasar/ganas), penuh ihsan (bukan keras) dan sentiasa bersedia memaafkan (bukan berdendam).

Dengan itu pula, imej kita baik sebagai Muslim / ibubapa / guru / pemimpin adalah seorang yang pengasih.

Kita dihormati kerana sifat pengasih, bukan kuasa yang kita ada.

Kita ditaati kerana kasih orang pada kita, bukan kerana gerun.

Akhir sekali, perlu dipertegaskan di sini bahawa apabila sesuatu diutamakan, ia tidak sama sekali bermaksud melupakan atau mengabaikan satu sudut yang lain.

Tidak seharusnya pula keinginan untuk memberi peringatan kepada manusia agar kembali ke jalan yang benar mengelabui hakikat keutamaan sesuatu yang Allah taala sendiri telah pilih bagi diriNya.