Nota: Artikel ini pada asalnya diterbitkan oleh Wasat, no. 5/Oktober 2015. Sumber asal di sini.
Oleh Ustaz Mustazah Bahari dan Ustaz Muhammad Haniff Hassan
Pengenalan
Hari ini, perhatian umat Islam di dunia banyak dipalingkan kepada ancaman pengganasan seperti yang dilakukan oleh ISIS di Syria dan Iraq.
ISIS dan para penyokongnya pula giat mempropagandakan bahawa jihad yang sebenar adalah terjun ke medan peperangan menentang golongan yang bukan Islam serta membangunkan negara Islam atau dengan kata lain ialah menyertai mereka.
Sebahagian anak-anak muda Muslim termakan propaganda ini sehingga meninggalkan segala-galanya untuk menyertai ISIS.
Hakikat yang perlu diketengahkan bagi memberi kefahaman kepada anak-anak muda agar tidak diperdaya oleh propaganda sebegini ialah ramai para ulama hari ini telah bersuara bahawa jihad bukanlah hanya perang dan mengangkat senjata melawan musuh agama.[1]
Jihad juga meliputi segala usaha gigih untuk aktiviti pembangunan yang memberi manfaat besar kepada alam seluruhnya dan manusia khususnya.
Inilah fahaman jihad yang bersifatwasatiyah dan di sini juga usaha mempromosi wasatiyah bertemu dengan usaha melawan radikalisasi anak-anak muda Muslim.
Dalam hal ini, satu inisiatif sekelompok Muslim dalam bidang pemeliharaan alam wajar ditonjolkan atas sebab-sebab berikut:
- ia adalah satu contoh konkrit bagi erti jihad yang lebih luas yang membawa kesejahteraan besar kepada alam dan manusia sejagat bersesuaian dengan konsep Islam sebagai rahmat bagi sekalian alam,
- ia berpotensi menarik minat anak-anak muda Muslim untuk menceburi dan menyibukkan diri dalam satu bidang yang termasuk dalam jihad yang terpuji di sisi agama sehingga dengan itu mampu memalingkan mereka dari pengaruh ISIS,
- ia memberi gambaran yang positif dan konkrit tentang anak-anak muda Muslim yang mana imej mereka dicemari sebagai golongan yang negatif – amat mudah terpengaruh oleh ISIS – dan perlu dicurigai.
Disebabkan laporan-laporan yang condong melaporkan berita-berita radikalisasi kerana elemen sensasi yang ada padanya banyak berita-berita positif mengenai inisiatif anak-anak muda Muslim tidak mendapat liputan sewajarnya.
Hal ini menjadikan imej tidak seimbang terhadap umat Islam dan anak-anak mudanya.
Kenapa jihad persekitaran?
Islam amat mengambil berat akan soal kesejahteraan persekitaran.
Hal ini dapat dilihat dari sudut misi Nabi Muhammad s.a.w untuk membawa rahmat kepada alam seluruhnya sebagimana yang disebut dalam Al-Quran (Al-Quran, 21:107), bukan hanya kepada manusia, apatah lagi untuk Muslim sahaja.
Misi ini juga menjelaskan konsep manusia sebagai khalifah dalam ayat Al-Quran, iaitu tujuan penciptaannya (Al-Quran, 2:30). .
Selain itu, Al-Quran juga mencela manusia yang mengakibatkan kemusnahan alam (Al-Quran, 60: 41)
Jihad dalam Islam adalah sesuatu yang dikaitkan dengan sesuatu yang besar dan penting.
Atas sebab inilah bukan semua perkara yang dianjurkan oleh Islam dikategorikan oleh para ulama sebagai jihad.
Hari ini, masalah sekitaran adalah satu masalah yang penting dan serius.
Lebih-lebih lagi di negara-negara yang majoriti penduduknya adalah Muslim sebagaimana yang dapat dilihat dalam laporan oleh WHO pada tahun 2014 mengenai pencemaran udara yang berlaku di seluruh dunia – 8 dari 10 negara yang mempunyai pencemaran udara yang paling buruk adalah negara yang majoriti penduduknya adalah Muslim. [2]
Besarnya masalah alam sekitar hari ini dapat dilihat dari hakikat bahawa ia membabitkan nyawa jutaan manusia berakibatkan dari kekurangan makanan, air dan tenaga dan berlarutannya kemiskinan.
Pencemaran alam pula menatijahkan masalah kesihatan.
Hakikat ini dapat dilihat dalam pelbagai laporan kajian sains alam sekitar oleh pelbagai agensi.
Salah satu contoh sumber laporan ini ialah NASA yang meringkaskan kesan serius masalah alam sekitar hari ini berdasarkan Third National Climate Assesment Reportyang dikeluarkan oleh United States Global Change Research Program.[3]
Ramai sarjana juga mengaitkan masalah alam sekitar dengan peperangan.
Perang bukan hanya telah menatijahkan kerosakan pada alam sekitar tapi juga masalah alam sekitar disimpulkan sebagai penyebab peperangan yang berlaku di Timur Tengah.
Cristian Parenti di dalam bukunya Tropic of Chaos: Climate Change and the New Geography of Violence berpendapat, dengan berdasarkan hasil dari kajian ahli sains, bahawa kesan dari operasi ketenteraan di mana-mana negara membawa natijah kepada pemanasan global.[4]
Malah perubahan iklim juga mencetuskan peperangan.
Menurut CNN, yang menukil dari sebahagian ilmuwan, di antara sebab berlakunya peperangan di Syria adalah kerana perubahan iklim yang membawa kesan kepada pengurangan sumber air bersih.
Keadaan itu menyebabkan ramai penduduk keluar dari kawasan asal masing masing sehingga memenuhi bandar-bandar.[5]
Seterusnya ia mencetuskan tekanan terhadap ekonomi kerana keperluan hidup yang bertambah mahal dan akhirnya mencetuskan konflik dalam masyarakat.[6]
Pada tahun 2007, Ban Ki-moon, Setiausaha Agong PBB, menjelaskan bahawa konflik di Darfur Sudan sebagai konflik perubahan iklim yang pertama di dunia.
Ia berpandukan kepada keadaan ketiadaan sumber air akibat perubahan yang berlaku pada penurunan air hujan yang mengakibatkan perubahan iklim.
Pandangan beliau ini membayangkan bahawa konflik akan terus bertambah pada tahun-tahun mendatang jika kurang air hujan.[7]
Di dalam sebuah artikel yang diterbitkan dalam majalah The Atlantic pada tahun 2013, William Polk, seorang ahli sejarah dan juga mantan penasihat kepada Presiden Kennedy, mengaitkan perang saudara di Syria dengan keadaan kemarau yang berlaku pada tahun 2006 hingga 2011.
Beliau selanjutnya berkata, “Apabila mereka (penduduk Syria) bergerak menuju ke bandar beramai-ramai untuk mencari pekerjaan, mereka dapati bahawa mereka perlu bersaing sesama mereka untuk mendapatkan makanan, minuman dan pekerjaan. Ini akhirnya menghasilkan permusuhan antara mereka kerana keperluan dan tekanan hidup yang mereka hadapi.”[8]
Menurut Profesor Seager, dari Colombia University di New York, perubahan iklim menambahkan lagi kadar tekanan hidup sehingga membuka ruangan konflik.
Seterusnya beliau melahirkan rasa khuatir terhadap keadaan kehidupan manusia yang menetap di Timur Tengah di k awasan yang sedang bergolak untuk meneruskan kehidupan di sana.
Beliau berpendapat negara seperti Turki, Lebanon, Israel, Jordan, Iraq dan Afghanistan merupakan negara-negara yang berisiko tinggi untuk menghadapi kemarau kerana cuaca yang kering dan sejarah konflik yang berpanjangan.[9]
Ertinya, usaha memelihara alam sekitar merupakan usaha yang berat dan besar.
Memandangkan besarnya skala masalah yang sedang dialami dan usaha yang perlu dikerahkan untuk menanganinya, tidak syak lagi ia bukan hanya satu usaha yang terpuji tetapi juga termasuk jihad yang penting sesuai dengan erti jihad yang luas.
Kandungan dan tumpuan deklarasi
Satu deklarasi yang dinamakan Deklarasi Islam Mengenai Perubahan Iklim telah diumumkan.
Deklarasi ini, yang telah diedarkan lebih awal bagi mendapat maklumbalas dari kalangan Muslim, dirasmikan di Simposium Islam Antarabangsa Mengenai Perubahan Iklim yang diadakan pada 15 – 17 Ogos 2015 di Turkey yang ditaja oleh badan bantuan kemanusiaan Islam antarabangsa yang tersohor, Islamic Relief Worldwide, yang beribupejabat di United Kingdom.[10]
Draf awal deklarasi ini diusahakan oleh Islamic Foundation for Ecology and Environmental Sciences (IFEES), sebuah badan amal yang beribupejabat di United Kingdom bagi memelihara alam sekitar dan pengurusan sumber asli.[11]
Seramai 20 lebih ahli akademik Muslim dan bukan Muslim dan ulama Islam membentangkan kertas kerja serta berucap mengenai kepentingan memelihara iklim serta cabaran-cabaran yang sedia ada dan sekali gus juga menyokong deklarasi yang diumumkan.
Antara tokoh-tokoh besar ialah Prof. Din Syamsudin, Pengerusi Muhammadiyah Indonesia dan Pengerusi Majelis Ulama Indonesia, kededuanya adalah badan amat berpengaruh di negara itu dan Prof. Syed Hossein Nasr, ilmuwan mapan yang terkenal di dunia Islam dan antarabangsa.[12]
Hakikat ini memberi semacam kredibiliti bagi kepentingan usaha ini di sisi agama di mata umat Islam yang merupakan kelompok yang terjejas teruk oleh masalah alam sekitar.
Simposium ini bermatlamat untuk menyerlahkan lagi peranan dan sumbangan umat Islam kepada gerakan pemeliharaan iklim dan menggandakan aktivisme umat Islam dalam bidang ini, yang sehingga kini kurang diberi perhatian berbanding dengan anak-anak muda di negara-negara Barat yang maju.
Deklarasi dan simposium ini diadakan bagi tujuan untuk mengembalikan prinsip keadilan kepada eko-sistem dunia kerana kebanyakan kerosakan yang berlaku pada alam ini bersebabkan kerja-kerja manusia yang tidak seimbang.
Deklarasi ini menekankan lagi keperluan untuk mengamalkan apa yang telah dimeterai dalam Protokol Kyoto.[13]
Deklarasi ini mengharapkan agar langkah susulan yang strategik dapat dilaksanakan untuk usaha pemeliharaan iklim.
Ia merupakan satu usaha untuk menyampaikan mesej sokongan dan dorongan kepada Conference of the Parties (COP) bagi UN Framework Convention on Climate Change (UNFCCC) dan mesyuarat Meeting of the Parties (MOP) untuk Protokol Kyoto yang akan diadakan di Paris pada bulan Disember 2015.
Di antara suara dan harapan yang penting disebutkan di dalam deklarasi ini ialah;
- mendapatkan kata sepakat mengenai keperluan menstabilkan pengeluaran gas rumah hijau yang boleh mengancam keselamatan iklim jika tidak dibendung dengan betul dan tanpa usaha yang segera,
- berusaha mewujudkan sokongan kewangan dan teknikal yang besar bagi menghentikan pengeluaran gas rumah hijau,
- melabur dalam usaha dan promosi ekonomi hijau,
- mengurangkan penggunaan bahan-bahan semulajadi yang tidak boleh diperbaharui (non-renewable natural sources),
- mengawal cuasa agar tidak meningkat lebih dari 20 atau lebih baik lagi, tidak melebih 1.50,[14]
- meninjau semula cara meraih keuntungan secara tidak beretika sehingga menambahkan lagi kesusahan kepada golongan miskin dan melakukannya secara saksama.[15]
Walaupun tidak dinafikan, banyak pihak akan terkesan dengan usaha ini, khususnya sektor pengilangan dan perindustrian, namun ia tidak boleh diabaikan demi memastikan kesejahteraan hidup pada jangka masa panjang.
Namun yang menarik dari deklarasi ini juga ialah sifatnya yang sederhana dan saksama dalam menangani isu persekitaran, berbanding dengan sesetengah gerakan pemeliharaan alam yang condong pada pelampauan sehingga ia menjadi satu fenomena radikalisme tersendiri.
Perlu dinyatakan di sini, masalah radikalisme bukanlah khusus berlaku dikalangan Muslim yang ingin menangkat senjata bersama kumpulan-kumpulan seperti ISIS.
Sebelum muncul fenomena dan masalah jihadisme, dunia telah pun menyaksikan kewujudan kumpulan-kumpulan alam sekitar yang radikal yang sanggup melakukan pengeboman ke atas makmal-makmal sains yang menggunakan binatang-binatang untuk tujuan kajian.
Sebagai contoh kumpulan pelampau Earth Liberation Front dan Animal Liberation Front telah melakukan serangan bom ke atas makmal-makmal yang melakukan ujikaji menggunakan binatang dan projek-projek yang dianggap menjejas alam sekitar.
Menurut kajian National Consortium for the Study of Terrorism and Responses to Terrorism, sebanyak 239 serangan bom telah dilancarkan antara tahun 1995 hingga 2010 di Amerika.[16]
Bahkan, sebelum ISIS, kumpulan radikal alam sekitar dianggap sebagai sumber ancaman keselamatan yang utama oleh banyak negara-negara Eropah.[17]
Antara sifat-sifat wasatiyah pula yang dapat ditonjolkan dari deklarasi ini ialah ia tidak bertujuan untuk menghalang penggunaan bahan bakar asli atau aktiviti sektor pengilangan.
Apa yang ia anjurkan ialah sikap melakukan aktiviti sedemikian secara saksama dan adil.
Mungkin ada pihak-pihak yang bersikap sinis terhadap deklarasi sebegini yang dinilai hanya bagus di atas kertas sahaja dan tidak semestinya menyumbang kepada sesuatu yang positif dalam bentuk yang konkrit.
Sememangnya deklarasi sahaja tidak memadai.
Tapi ini bukanlah sebab untuk ia terus ditolak dan dipandang sinis kerana banyak juga usaha yang baik sebelum ini bermula melalui deklarasi sebegini.
Bahkan apa jua inisiatif yang penting dan bertaraf antarabangsa seperti usaha menggembeleng tenaga untuk menangani isu alam sekitar memerlukan langkah permulaan sebegini – penggembelengan para pakar dari segi idea, pernyataan yang menyatukan semua pihak dan meletakkan arah tuju.
Dengan ini, tindakan lanjut dapat dibuat secara terarah dan tersusun.
Sering kali terdengar keluhan dari masyarakat antarabangsa akan apakah inisiatif dan suara umat Islam dalam menangani sesuatu masalah.
Sebagai contoh hingga hari ini masih lagi kedengaran suara-suara yang bertanya akan sikap umat Islam dalam mengutuk pengganasan dan ISIS.
Sedangkan telah banyak pernyataan yang telah dibuat, tetapi sering kali tidak mendapat tempat di media-media utama.
Oleh itu, inisiatif dan deklarasi ini harus diberi pengiktirafan positif dan pendedahan luas bahawa umat Islam ada melakukan sesuatu dan anak-anak muda Muslim pula tertarik untuk mencontohinya setelah mengetahui tentang inisiatif ini.
Di Singapura, deklarasi ini telah memberi perangsang kepada sekumpulan anak-anak muda Muslim untuk terus dalam aktivisme alam sekitar.
Mereka ini telah menubuhkan satu badan yang dinamakan FiTree pada tahun 2013 yang mempunyai matlamat dan tujuan yang identikal dengan deklarasi ini.[18]
Melalu mereka ini, anak-anak muda Muslim di masjid-masjid dan madrasah-madrasah didekati untuk bersama menyumbang dalam usaha melestari alam.
Nur Khairiana binte Mohd Malek, pengasas bersama FiTree, berkata badan ini berasa amat gembira dengan deklarasi ini.
Bukan hanya banyak dari isi deklarasi ini secocok dengan misi dan pesanan utama badan ini, ia jua mengukuhkan keyakinan dan semangat mereka untuk terus beriltizam dengan kerja-kerja yang dilakukan dan mengesahkan bahawa ia berada di atas landasan yang betul.
Apabila ditanya adakah usaha-usaha pemeliharaan alam sekitar ini dianggap satu jihad juga, Nur Khariana menjawab “Ya, tidak selalu berlaku dalam sejarah masalah berskala besar seperti masalah alam sekitar hari ini yang mengancam seluruh penduduk dunia, tanpa kira bangsa, agama atau status. Islam menyediakan satu rangka kerja yang praktikal sebagai huraian dan usaha untuk menjadikan huraian ini satu realiti adalah satu jihad.”[19]
Hal ini pastinya mempunyai signifikan dari sudut outreach dan community engagementbagi menyebarkan wasatiyah dan mencegah radikalisasi.
Memastikan deklarasi sebagai satu tindakan yang lebih konkrit memang penting, namun ia adalah isu lain dan tidak perlu menidakkan merit dari simposium dan deklarasi ini sendiri.
Kesimpulan
Ketika dunia dipaparkan dengan penyertaan para belia ke dalam kumpulan kumpulan militan, inisiatif anak-anak muda Muslim melalui deklarasi dan sumbangan positif yang konkrit dalam isu alam sekitar perlu ditonjolkan kerana ia memberi gambaran yang berbeza mengenai anak-anak muda Muslim yang seolah-olah tiada sesuatu yang positif yang dapat disumbang kecuali masalah radikalisme sahaja.
Apa yang lebih unik lagi ialah usaha-usaha ini bukan bersifat eksklusif, malah merentasi bangsa dan agama.
Ini pastinya lebih dekat pada usaha merapatkan jurang antara pelbagai bangsa, penganut agama dan tamadun.[20]
Melalui isu alam sekitar juga ia menunjukkan contoh konkrit dan signifikan erti jihad yang lebih luas yang tidak kurang bermakna bagi maslahat manusia umumnya.
Melaluinya juga dapat secara tidak langsung menonjolkan bahawa ISIS adalah sebahagian dari masalah bagi umat Islam, bukan huraian, kerana peperangan yang berlaku hari ini di Syria, Iraq, Somalia, Nigeria, Yaman, Libya dan banyak negara-negara lain hanya mencetuskan kesengsaraan kepada jutaan manusia.
Manifestasi terkini yang dapat dilihat ialah krisis pelarian yang melarikan diri dari negara-negara ini ke Eropah hingga menjadikan mereka mangsa kumpulan sindiket, mengorbankan nyawa dan hilangnya kehormatan diri kerana harus merempat di bumi orang dan mengemis ihsan orang lain sedangkan asalnya mereka ini hidup dalam keadaan sejahtera.
Hasil dari peperangan, banyak harta benda dan prasarana bumi musnah serta nyawa terkorban.
Bidang pemeliharaan alam sekitar adalah bidang yang berpotensi untuk menjadi wadah penyebaran nilai-nilai positif di kalangan belia yang bakal menjadi penampan yang baik dari elemen-elemen negatif yang ingin disebarkan oleh ISIS dan kelompok-kelompok radikal Muslim.
Oleh itu, ia adalah satu bidang yang sepatutnya dikembangkan sebagai sebahagian dari usaha menyebarkan wasatiyah dan mencegah pelampauan.
Hal ini dipersetujui oleh Nur Khairiana juga dari FiTree.[21]
Pernyataan ini bukan satu dakwaan bahawa memalingkan perhatian anak-anak muda Muslim ke arena aktivisme pemeliharaan alam sekitar adalah huraian unggul bagi masalah radikalisme.
Jawapan yang jujur pastinya tidak.
Tapi segala wasilah harus digunakan bagi membantu menangani masalah radikalisme dan mengetengahkan konsep wasatiyah dalam Islam.
Dalam hal ini, aktivisme dalam bidang pemeliharaan alam sekitar boleh memainkan dua peranan; a) menarik anak-anak muda Muslim yang inginkan ruang aktivisme bagi menyalurkan idealisme dan semangat mereka ke bidang yang positif dan mencabar, dan 2) memberi keyakinan kepada anak-anak muda Muslim yang telah pun terlibat, faham dan tertarik dalam aktivisme pemeliharaan alam sekitar bahawa penglibatan mereka ini amat bernilai oleh Islam kerana termasuk dalam jihad yang penting.
Oleh itu, mereka harus teruskan dalam aktivisme ini dan merasa bangga dengannya.
———————-
[1]Lihat Open Letter to Al-Baghdadi, poin 8, di http://www.lettertobaghdadi.com/
[2]Lapan Negara Islam tersebut, menurut urutan yang terburuk adalah: Pakistan, Qatar, Afghanistan, Bangladesh, Iran, Mesir, Emiriah Arab Bersatu dan Bahrain. Lihat Rowena Ryan, “Countries with the worst air pollution ranked by World Health Organisation”, news.com.au, 28 Ogos 2014 di http://www.news.com.au/travel/world-travel/countries-with-the-worst-air-pollution-ranked-by-world-health-organisation/story-e6frfqai-1227040198863
[3]NASA, The current and future consequences of global change, di http://climate.nasa.gov/effects/
[4]Cristian Parenti: Tropic of Chaos: Climate Change and the New Geography of Violence.Nation books, 2012.
[5]Colin P. Kelley et. al., “Climate change in the Fertile Crescent and implications
of the recent Syrian drought”, Proceedings of the National Academy of Science of the United States of America, jld. 112, no. 11, 17 Mac 2015, ms. 3241-6, dihttp://www.pnas.org/content/112/11/3241.full.pdf
[6]Elizabeth Landau, “Climate change may increase violence, study shows”, CNN, 2 Ogos 2013, di http://edition.cnn.com/2013/08/01/us/climate-change-violence/index.html
[7]Mark Notaras, “Does Climate Change Cause Conflict?”, United Nations University, 27 November 2009, di http://ourworld.unu.edu/en/does-climate-change-cause-conflict
[8]William R. Polk, “Understanding Syria: From Pre Civil War to Post Assad”, The Atlantic, 10 Disember 2013, dihttp://www.theatlantic.com/international/archive/2013/12/understanding-syria-from-pre-civil-war-to-post-assad/281989/
[9]Tom Bawden, “Climate change key in Syrian conflict – and it will trigger more war in future”, The Independent, 2 Mac 2015, dihttp://www.independent.co.uk/news/world/middle-east/climate-change-key-in-syrian-conflict–and-it-will-trigger-more-war-in-future-10081163.html
[10]Lihat Islamic Declaration of Climate Change, dihttp://islamicclimatedeclaration.org/#home
[11]Kieran Cook, “Muslim scholars say climate change poses dire threat”, Climate News Network, 15 Julai 2015, di http://www.climatenewsnetwork.net/muslim-scholars-say-climate-change-poses-dire-threat/
[12]Islamic Declaration of Climate Change, dihttp://islamicclimatedeclaration.org/#home
[13]Protokol Kyoto telah dirundingkan pada Disember 1997 di Kyoto, Jepun dan mula berkuatkuasa pada 16 Februari 2005. Ia adalah perjanjian yang mengikat dari segi undang-undang yang mana negara-negara perindustrian akan mengurangkan penghasilan gas rumah hijau secara bersama pada kadar 5.2% berbanding pada tahun 1990 (nota: sasaran ini merupakan potongan sebanyak 29% jika dibandingkan dengan jangkaan pengeluaran gas rumah hijau tanpa protokol ini pada tahun 2010). Sasarannya ialah untuk mengurangkan pengeluaran keseluruhan gas rumah hijau – karbon dioksida, metana, nitrus oksida, sulfur heksaflorida, HFCs dan PFCs – dikira sebagai jumlah purata pada tempoh 5 tahun 2008-2012. Sasaran peringkal nasional ialah pengurangan kadar 8% bagi Kesatuan Eropah, 7% bagi Amerika Syarikat dan 6% bagi Jepun. Manakala penambahan 8% bagi Autralia dan 10 % bagi Iceland dibenarkan. Lihat http://www.kyotoprotocol.com/
[14]Saintis berpendapat bahawa peningkatan suhu kepada 1.5-2 darjah centigrade akan mendedahkan manusia kepada kemarau, kekurangan bahan makan dan banjir. Lihat di http://islamicclimatedeclaration.org/islamic-declaration-on-global-climate-change/
[15]Islamic Declaration of Climate Change, dihttp://islamicclimatedeclaration.org/#home
[16]National Consortium for the Study of Terrorism and Responses to Terrorism, An Overview of Bombing and Arson Attacks by Environmental and Animal Rights Extremists in the United States, 1995-2010, Mei 2013, dihttp://www.start.umd.edu/sites/default/files/files/publications/START_BombingAndArsonAttacksByEnvironmentalAndAnimalRightsExtremists_May2013.pdf
[17]Tamás Berecz and Kristóf Domina, Domestic Extremism in Europe Threat Landscape: A Report, Athena Institute, November 2012, dihttp://athenainstitute.eu/pdf/EUR_MAP_STUDY_ENG_closed.pdf
[18]Lihat About FiTree, di https://greenfitree.wordpress.com/about/
[19]Wawancara melalui emel dengan Nur Khairiana binte Mohd Malek pada 15 September 2015.
[20]Ibid.
[21]Ibid.