Sempena 50 tahun penubuhan Perdaus

perdaus 50 anniversary poster

 

 

Tahun ini Perdaus berusia 50 tahun, sebuah badan dakwah Singapura yang saya pernah berkhidmat di sana.

Pada tahun 2003, ketika bertugas sebagai pengurus di Perdaus, saya mengusahakan peringatan penubuhan Perdaus 40 tahun. Ia juga tahun terakhir saya berkhidmat di Perdaus kerana setelah itu saya melanjutkan pengajian ke IDSS (kini RSIS) di NTU dan kemudian bertugas di situ hingga hari ini.

Pejam celik, sudah berlalu 11 tahun. Sungguh cepat masa berlalu.

Bersempena dengan usia Perdaus 40 tahun ketika itu, Takwin, sebuah majalah terbitan Perdaus, edisi April – Julai 2003, didedikasi untuk sejarah Perdaus.

Di bawah ini, saya terbitkan semula 2 artikel yang saya tulis di majalah itu. Kededuanya belum pernah diterbitkan di halaman ini sebelum ini.

Artikel pertama saya tulis mengguna nama pena Abah Husna dan yang kedua pula sebagai editor.

Walau pun ia ditulis bagi memperingati Perdaus pada usia 40 tahun, mungkin ia masih relevan ketika ia berusia 50 tahun dan mungkin juga bermanfaat untuk yang lain.

—————————

MENJEJAKI JALAN DAKWAH PERDAUS….

perdaus coverGenerasi Pertama

Ramai sebenarnya tidak mengetahui bahawa asal nama PERDAUS adalah dari Pergerakan Dakwah Ugama Singapura. Nama tersebut dikemukakan oleh para pengasas PERDAUS kepada pihak Pendaftar Pertubuhan di Singapura untuk didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan agama.

Walau bagaimana pun nama berkenaan tidak diluluskan disebabkan persamaannya dengan pertubuhan yang telah sedia ada berdaftar di masa itu. Nama Persatuan Pelajar Agama Dewasa Singapura lalu dipilih dengan mengekalkan akronim PERDAUS.

Pada tahun 1963, terdaftarlah PERDAUS (Persatuan Pelajar Agama Dewasa Singapura) bagi menggiatkan lagi aktiviti-aktiviti dakwah.

Walau pun, cadangan nama asal telah diubah namun tujuan asal sebagai sebuah badan dakwah tetap dikekalkan. Ini tercatat dalam perlembagaan PERDAUS di bahagian Objektif;

Semangat dakwah yang dimiliki dan ditunjukkan oleh para pengasas PERDAUS dahulu dapatlah dinyatakan sebagai sesuatu yang diwarisi dari guru-guru agama yang membimbing mereka. Kebanyakan dari para pengasas PERDAUS dahulu anak-anak murid tokoh-tokoh agama Singapura di masa itu seperti al-marhum Ustaz Daud Ali, al-marhum Sheikh Balfaqeh, al-marhum Sheikh Fadlullah As-Suhaimi dan Ust Ahmad Sonhadji.

Mereka ini seringkali menghadiri kuliah-kuliah agama yang dikendalikan oleh tokoh-tokoh berkenaan secara konsisten. Semangat yang dicontohkan oleh tokoh-tokoh berkenaan yang tidak mengenal penat melaksanakan tugas dakwah dan membimbing masyarakat baik secara individu atau organisasi melalui Persatuan Guru Agama Singapura (PERGAS) telah mencetus inspirasi dan keinginan dari kalangan para pelajar dewasa berkenaan untuk turut memainkan peranan dalam bidang dakwah.

Disebabkan status para pengasas PERDAUS itu yang tidak melayakkan mereka untuk menganggotai PERGAS, mereka telah menerma nasihat tokoh-tokoh yang membimbing mereka untuk mewujudkan wadah mereka sendiri yang dikenali kemudian dengan PERDAUS.

Ringkasnya, PERDAUS lahir berteraskan dua semangat. Pertama semangat untuk memainkan peranan dakwah Islamiah dan semangat untuk melakukannya secara kolektif dan berorganisasi. Ini sejajar sekali dengan ajaran Islam bahawa dakwah adalah satu kewajiban dan berjamaah juga adalah satu kemestian.

Hakikat ini diterjemahkan kemudian dalam bentuk aktiviti-aktiviti yang dijalankan bagi masyarakat di masa itu. Antara aktiviti anjuran para pengasas PERDAUS ialah melakukan dakwah ke pulau-pulau selatan Singapura yang terpencil, menganjurkan kursus bimbingan rumahtangga bagi mereka yang ingin berkahwin, latihan berkhutbah, kerjasama dengan Radio Singapura dengan membekalkan penceramah bagi program-program agama, membanteras ajaran sesat, pameran-pameran mengenai Islam dan menganjurkan pementasan drama bercorak pendidikan dengan kerjasama badan seni setempat.

Dalam masa yang singkat kewibawaan PERDAUS mula mendapat perhatian. Hasilnya ialah kepercayaan terhadapnya untuk menjayakan pertandingan membaca Barzanji di peringkat nasional dengan Piala Yusuf Ishak, Presiden Singapura di masa itu. Walau pun hari ini, bacan Barzanji bukan lagi satu aktiviti yang popular, namun di masa itu ia adalah amalan yang lazim dalam masyarakat, khususnya di malam Jumaat.

Pembanteras Ajaran Sesat

PERDAUS pernah satu masa dahulu dikenali sebagai badan pembanteras ajaran sesat kerana keaktifannya dalama persoalan penyelewengan dalam agama seperti menangani ajaran Taslim dan Ilmu Bungkus.

Bermulanya usaha ini ada kaitan dengan aktiviti PERDAUS dalam aktiviti dakwah umum khususnya dalam menjalankan dakwah di pulau-pulau selatan Singapura. Dalam penjelajahannya ke kawasan-kawasan terpencil yang dihuni oleh masyarakat Islam pada tahun 1960an dan 70an, para aktivis PERDAUS telah bertemu dengan pelbagai amalan yang asing dari Islam yang sebenar.

Hal ini telah mendorong mereka untuk melakukan usaha untuk membaiki keadaan sedemikian. Mereka mengkaji amalan berkenaan, membuat aduan mengenainya kepada MUIS, berdialog dengan pihak yang menyeleweng, memberi kaunseling kepada pengikut ajaran tersebut, menerbitkan bahan-bahan bertulis, membuat pameran pendidikan mengenai ajaran sesat dan lain-lain.

Pada awalnya, usaha membanteras ajaran sesat di PERDAUS merupakan satu dari pelbagai aspek kerja dakwah yang ia lakukan. Namun kemudiannya ia menjadi satu fokus dan bidang pengkhususan. Lalu terkenallah PERDAUS di kalangan masyarakat Islam tempatan dan di luar negara sebagai badan pembanteras ajaran sesat.

Faktor utama yang menyebabkan PERDAUS ketika itu berubah dari sebuah badan dakwah yang luas aktivitnya ke satu badan yang hanya terfokus kepada isu berkaitan ajaran sesat ialah disebabkan para pengasasnya ketika itu yang disebabkan usia, sudah kurang berkemampuan untuk meneruskan tugas dakwah yang luas itu. Ada di antara mereka yang telah kembali ke rahmatullah. Manakala yang lain telah menceburi ke bidang yang lain. Oleh itu kekurangan tenaga juga menyumbang kepada keadaan sedemikian.

Tidak ramai anak muda dan orang dewasa di masa itu yang berminat untuk melibatkan diri dalam kerja-kerja kemasyarakatan dan dakwah. PERDAUS menghadapi masalah untuk mendapatkan sumber tenaga bagi meneruskan usaha dakwah yang luas.

Ustaz Embek Ali dan beberapa aktivis yang masih ada mengambil langkah praktikal dengan memberi tumpuan kepada persoalan pembanterasan ajaran sesat yang bukan hanya masih berleluasa di masa itu tetapi tiada badan yang benar-benar menanganinya.

Pengalaman in kemudiannya memberi pengajaran kepada generasi baru akan kepentingan usaha pembangunan para aktivis (tarbiyah) dan perkaderan bagi memastikan PERDAUS sentiasa mempunyai bekalan aktivis bagi menyokong kerja dakwahnya. Yang lebih penting ialah ia meletakkan sistem barisan pelapis kepimpinan bagi menjamin bekalan kepimpinan muda yang berterusan dan bergandingan dengan mereka yang terdahulu.

Usaha Yang Berterusan

Meniti sejarah PERDAUS dahulu, seseorang itu akan dapati bahawa dakwah Islamiyah sentiasa menjadi teras aktivitinya. Yang membezakan hanyalah luas atau terbatas skop dakwah berkenaan. Yang luas ialah apabila ia meliputi pelbagai aspek dakwah dan yang terbatas pula ialah apabila ia mengkhusus pada aspek pembenterasan ajaran sesat.

Hari ini tradisi PERDAUS sebagai badan dakwah masih diteruskan. Fokus dakwah PERDAUS kini tertumpu pada penyebaran kefahaman Islam yang betul, baik kepada orang Islam atau bukan dan pembentukan individu muslim yang baik.

Jalan yang diambil untuk menjayakannya ialah penglibatan dalam bidang pendidikan masyarakat dan pembangunan sumber manusia.

Yang demikian itu pula dimanifestasikan oleh program-program berikut

1.Program pembangunan kanak-kanak IYAD. Kini terdapat 3 Pusat Pembangunan Kanak-kanak Iyad di merata Singapura.

2.Program Madrasah Separuh Masa bagi memenuhi pendidikan agama anak-anak Islam dari peringkat rendah hingga menengah. Termasuk di bawah program ini ialah pelbagai modul kefahaman Islam remaja. Program ini beroperasi di Pusat PERDAUS Bedok, Pusat PERDAUS Hong Kah dan pusat Jawatankuasa Penduduk di Sengkang. Selain itu program ini pernah dioperasikan di Masjid Al-Istighfar dan Al-Istiqamah bagi membantu kedua masjid berkenaan untuk memulakan program madrasah mereka.

3.Program Sijil dan Diploma dalam pengajian Islam bagi memenuhi pendidikan agama orang dewasa. Program yang dijalankan ialah Sijil Pengajian Islam UTM, Sijil Bahasa Arab UTM dan Diploma Pengajian Al-Quran & As-Sunnah.

4.Program Pembangunan Remaja SAFF bagi pembentukan remaja yang soleh. SAFF adalah wadah utama PERDAUS bagi memainkan peranan pembangunan sumber manusia. Ia sengaja disasarkan di peringkat remaja atas tujuan untuk memulakan usaha berkenaan seawal mungkin.

5.Program penjagaan pelajar. Program ini merupakan sokongan bagi pembangunan sumber manusia. Ia dijalankan melalui Pusat Jagaan Pelajar IYAD dan Pusat Khidmat Pelajar SAFF.

6.Program pembangunan aktivis PERDAUS. Program ini bertujuan untuk mendidik para sukarelawan di PERDAUS untuk menjadi aktivis dakwah. Ia dijalankan dalam bentuk sesi kumpulan kecil berkala mingguan, sesi kulian bulanan, bengkel latihan, perkhemahan dan lain-lain.

7.PERDAUS juga mengendalikan pelbagai program latihan kepimpinan dan organisasi bagi pelbagai pihak yang menyepadukan antara perspektif kontemporari dan prinsip Islam.

8.Program-program yang di atas juga menyaksikan PERDAUS kembali kepada asalnya iaitu sebagai pertubuhan dakwah dalam erti kata yang lebih luas. Hari ini PERDAUS tetap berusaha membanteras ajaran sesat tetapi ajaran sesat pada perspektif hari ini lebih ditujukan kepada ideologi-ideologi moden yang memesongkan manusia dari agamanya. PERDAUS menyedarai bahawa lebih ramai manusia tersesat dengan ideologi sedemikian dari yang mengikuti ajaran sesat seperti Taslim dan Ilmu Bungkus.

9.Program di atas memberi gambaran usaha PERDAUS untuk mewujudkan satu jalur pendidikan agama yang merangkumi seluruh lapisan masyarakat, dari kanak-kanak sehingga orang dewasa.

Mereka Yang Mewarisi

‘Generasi muda’ yang mengambilalih dari Ustaz Embek Ali memulakan penglibatan mereka di PERDAUS pada tahun 1992. Mereka memasuki PERDAUS atas undangan Ustaz Embek Ali setelah beberapa siri pertemuan dan perbincangan.

Generasi ini asalnya terdiri dari beberapa anak muda yang kembali dari pengajian mereka di universiti di United Kingdom. Kebanyakan dari mereka ini sudah pun terdedah dengan aktiviti dakwah semasa menuntut di politeknik dan universiti, sejajar dengan arus kebangkitan Islam yang mula melanda Singapura. Bahkan sebahagiannya adalam kepimpinan persatuan pelajar. Aktiviti berkenaan kemudiannya diteruskan semasa berada di luar negara dengan menyertai pelbagai wadah dakwah di sana.

Di akhir tahun 1980an beberapa di antara mereka telah kembali dan mula berbincang sesama mereka disamping menyumbang di pelbagai badan Islam yang sedia ada.

Semasa penglibatan di badan-badan Islam yang ada terjalinlah interaksi antara mereka dan aktivis dakwah tempatan yang terdiri dari anak-anak muda, mahasiswa dan bekas pemimpin pelajar di kampus. Keserasian pemikiran dan hubungan ukhuwwah telah mengumpulkan mereka sebagai satu kumpulan tidak rasmi.

Setelah melalui pelbagai pengalaman di pelbagai wadah yang ada, mereka ini kemudiannya diperkenalkan dengan PERDAUS oleh saudara Jakfar Embek, anak kepada Ustaz Embek Ali, yang turut aktif bersama mereka.

Bertolak dari sinilah terjalin pelbagai sesi pertemuan dan perbincangan antara mereka dan Ustaz Embek Ali yang kemudiannya membuka jalan penglibatan mereka di PERDAUS.

Beberapa Pengajaran

Beberapa aspek positif mengenai PERDAUS yang boleh diambil iktibar ialah elemen inovatif dan dinamik dalam menjalankan kerja dakwah. Elemen ini dapat dilihat pada generasi pengasas di tahun-tahun awal penglibatan mereka dan generasi yang mengambilalih pada tahun 1992.

Sifat inovatif ini dapat dilihat dari program-program beridea baru dan menarik bagi mengisi keperluan semasa. Bagi generasi pengasas mereka telah mempelopori kursus persiapan rumahtangga, pembanterasan ajaran sesat dan beberapa aktiviti yang lain.

Bagi generasi 1992 pula mereka mempelopori kursus-kursus sijil dan diploma dengan kerjasama universiti luar negara, suatu inisiatif yang baru dan segar dalam konteks pembelajaran agama yang formal. Ini seterusnya diikuti dengan rombakan-rombakan pada Madrasah Separuh Masa, gagasan awal SAFF dan kemudian dari itu penubuhan MERCY Relief.

Satu aspek positif generasi pengasas PERDAUS dahulu ialah hubungan ‘mesra’ yang terjalin dengan institusi ulama di masa mereka. Hubungan yang bermula antara murid dan guru diteruskan di peringkat kerja kemasyarakatan melalui hubungan sinergi. Si murid sebagai penganjur program, manakala si guru menjadi pengisinya. Hubungan berkenaan juga diteruskan dalam bentuk pertukaran pandangan dalam usaha dakwah.

Hari ini, hubungan ini sudah tidak seperti dahulu. Kemajuan yang dicapai oleh PERDAUS sebagai satu badan yang tersendiri tanpa disengaja dan disedari telah mengakibatkan semacam keterasingan dari segi hubungan dengan para ulama.

Penulisan ini tidak menyimpulkan bahawa di sana ada masalah perhubungan antara PERDAUS dan para ulama. Apa yang dirasakan hari ini ialah, walau pun tiada masalah antara PERDAUS dengan para ulama tetapi dari sgei keakraban dan kemesraan juga tidaklah terasa.

Penulisan yang terhad ini tidak berupaya untuk menganalisa punca yang menyebabkan sedemikian. Apa yang hendak disampaikan ialah keperluan untuk merubah realiti ini.

Dakwah pastinya akan bermanfaat dengan wujudnya jalinan simbiosis antara karyawan di PERDAUS dan para ulama.

Islah Yang Berterusan

Melihat kehadapan, PERDAUS harus sentiasa memperbaharui dirinya dari masa ke semasa kerana dakwah ialah usaha untuk mengislah. Tidak dinamakan satu usaha sebagai islah jika tidak membawa bersamanya perubahan.

Oleh itu, PERDAUS sebagai wadah dakwah dan islah mestilah berupaya untuk kekal baharu sejajar dengan erti yang terkandung dalam misi perubahannya.

———————————–

DULU….. KINI…. DAN SELAMANYA…

40 tahun sudah usia PERDAUS. Dalam tempoh itu, tanpa disedari sudah 10 tahun ‘generasi muda’ melibatkan diri di dalamnya dengan dokongan Ustaz Embek Ali. 10 tahun adalah satu jangka masa yang lama tetapi terasa begitu pantas ia berlalu. Sesiapa pun yang berada dalam kumpulan berkenaan, pasti masih terbayang jelas apa yang mereka telah lakukan dahulu. Walau pun ianya adalah 10 tahun yang lalu.

Mereka patut berberterima kasih kepada Ustaz Embek atas peluang yang telah diberikan. Mereka juga patut bersyukur kepada Allah taala kerana mengizinkan mereka untuk meneruskan usaha ini selama 10 tahun. Kita berdoa agar dapat terus menghidupkan usaha ini dan mewariskannya pula kepada generasi akan datang.

Generasi lalu telah berlalu dengan amal mereka. Sememangnya tiada amal manusia yang sempurna, namun mereka telah menyumbangkan sumbangan mereka. Generasi kini perlu menilai apakah sebenarnya amal mereka? Generasi hari ini telah mewarisi PERDAUS dari generasi lalu. Bagaimana pula akan mereka mewariskannya kepada generasi akan datang?

Sebagaimana generasi hari ini tidak mewarisi PERDAUS dalam keadaan yang sempurna, mereka juga tidak akan mewariskannya dengan sempurna. Namun generasi hari ini mesti berazam untuk mewariskan sesuatu yang lebih baik bagi generasi akan datang. Sesuatu yang di dalamnya terkandung legacy yang indah. Sesuatu yang mencorak sejarah. Sesuatu yang akan dikenang oleh generasi demi generasi. Sebagaimana umat hari ini mengenang Imam Al-Ghazali dan Salahudin sebagai individu yang cemerlang, Al-Azhar selaku institusi yang berwibawa dan Al-Muqaddimah sebagai sebuah karya yang berharga.

Perubahan perlu dilakukan terhadap apa yang sedia ada. Jika tidak, tidak akan berlaku pembaikan. Namun hidup ini tidak semua perkara boleh diubah. PERDAUS diasaskan sebagai sebuah badan dakwah. Ia berperanan untuk menyebarkan mesej Islam kepada manusia semuanya. Peranan ini bukan sesuatu yang dipilih berdasarkan rasional akal, keperluan masa atau pertimbangan strategik tetapi ia pada dasarnya adalah pelaksanaan satu kewajiban agama yang telah dibebankan ke atas setiap manusia.

Oleh sebab dakwah merupakan satu kewajiban agama yang tetap sepanjang zaman, maka peranan PERDAUS sebagai sebuah badan dakwah adalah satu aspek yang tetap dan kekal disebalik perubahan dan pembaikan yang hendak dilakukan terhadapnya.

Hakikat ini adalah penting kerana apa jua orgaisasi merti mempunyai sistem kepercayaan, nilai dan rujukan tersendiri. Dari kepercayaan dan nilai yang dibina di atas rujukan yang tersendirilah terhasilnya segala bentuk perancangan, aktiviti, legacy dan sejarah yang dicipta. Bagi PERDAUS, bentuk, visi, misi, perancangan dan program semua itu diharap akan berkhidmat untuk peranan yang tetap tadi – dakwah ke jalan Allah taala.

Demikianlah PERDAUS, ia ditubuhkan oleh pengasasnya bagi memenuhi misi dakwah. Kini pula ia digerakkan sebagai sebuah badan dakwah. Ia mestilah diwariskan sebagai wadah yang berkhidmat untuk dakwah. Samada sifat dakwah itu tersirat atau tersurat, bukanlah satu yang bersifat prinsip. Tetapi sifat dakwah itu harus kekal dalam setiap diri dan individu yang menggerak dan yang akan mewarisinya. Sifat dakwah itu mungkin tidak wujud di atas kertas tetapi ia mesti wujud dalam diri aktivis-aktivisnya.

PERDAUS diasaskan oleh para pendakwah dahulu kepada penggerak dakwah hari ini. Maka ia harus diwariskan juga kepada pendakwah generasi akan datang. Sebagai badan dakwah, tidak bermakna PERDAUS akan menyempitkan ruang penglibatannya kerana Islam sebagai satu cara hidup adalah luas. Medan dakwah pula ialah bumi ini keseluruhannya. Ia juga tidak semestinya menjadikan PERDAUS melihat ke dalam (introvert) atau terperangkap di dalam kepompong masyarakatnya sahaja kerana dakwah adalah seruan kepada manusia keseluruhannya.

Islam bukan agama yang disampaikan kepada penganutnya sahaja tetapi ia perlu dikongsi sama dengan umat lain. Dakwah bukan hanya bicara mengenai agama tetapi juga bicara mengenai kemanusiaan dan alam. Atas dasar itu, diharapkan kita benar-benar hidup atas nilai kita – Perjuangan rabbani, bukan yang lain.