Dakwah@Quran – Memilih Perkataan dan Ekspresi Yang Baik Dalam Berdakwah

blank
قُلْ مَن يَرْزُقُكُم مِّنَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ قُلِ ٱللَّهُ وَإِنَّآ أَوْ إِيَّاكُمْ لَعَلَىٰ هُدًى أَوْ فِى ضَلَـٰلٍ مُّبِينٍ
قُل لَّا تُسْـَٔلُونَ عَمَّآ أَجْرَمْنَا وَلَا نُسْـَٔلُ عَمَّا تَعْمَلُونَ

“Bertanyalah (wahai Muhammad kepada orang-orang musyrik itu): Siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Terangkanlah jawabnya: Ialah Allah; dan sesungguhnya (tiap-tiap satu golongan), sama ada golongan kami ahli tauhid atau golongan kamu ahli syirik – (tidak sunyi daripada salah satu dari dua keadaan): keadaan tetapnya di atas hidayah petunjuk atau tenggelamnya dalam kesesatan yang jelas nyata.” (Saba’, 34:24)

“(Oleh itu) katakanlah (wahyu Muhammad): Kamu tidak akan bertanggungjawab tentang kesalahan yang kami lakukan, dan kami pula tidak akan bertanggungjawab tentang apa yang kamu kerjakan.” (Saba’, 34:25)

————————————-

Walaupun wahyu yang disampaikan Nabi s.a.w pasti benar dan kaum Quraisy bersikap keras menolaknya, Al-Quran memerintahkan beliau s.a.w untuk berbicara dengan andaian beliau s.a.w dan kaum Quraisy masing-masing boleh benar atau salah (34:24) sebagai satu pilihan.

Bahkan dalam firman Allah taala seterusnya (34:25 ), Allah taala memerintah Nabi s.a.w untuk melafazkan kata-kata “ajramna” (melakukan kesalahan) untuk merujuk pada tingkah lakunya, manakala tingkah laku kaum Quraisy pula disebutkan sebagai “ta`malun” (perbuatan kamu), sedangkan pada logik agama sepatutnya kata perbuatan “ajrama” lebih sesuai digunakan untuk kaum Quraisy dan kata perbuatan “ya`malu” (melakukan sesuatu) digunakan bagi Nabi s.a.w kerana mustahil Nabi s.a.w melakukan dosa dan kaum Quraisy telah jelas sebagai golongan “mujrimun” (pelaku dosa) kerana mengingkari kebenaran wahyu Allah taala.

Pelajaran

1. Dakwah tidak mesti disampaikan melalui kedudukan moral yang tinggi (moral high ground). Adakala pendakwah perlu atau harus berbicara dari kedudukan “kita sama-sama boleh betul atau salah”, untuk memujuk pendengar berfikir dan menilai hujah masing-masing pihak (34:24).

2. Memberi perhatian pada pemilihan kata-kata dan gaya ekspresi bagi memenangi hati subjek dakwah dalam menyampaikan idea adalah anjuran Al-Quran sebagaimana yang dapat difahami dari kededua ayat di atas.

3. Selain sifat lunak, Al-Quran memberi nilai pada perkataan dan ekspresi yang tidak bersifat “judgmental” sebagai satu pilihan dalam berdakwah (34:25) dan ia termasuk dalam erti hikmah (kebijaksanaan).

4. Tidak syak akan wujudnya ayat-ayat yang bersifat keras, tegas, “judging”, dan jelas pada pendirian moral, tapi ia tidak menafikan pelajaran dari ayat-ayat di atas sebagai satu pilihan i.e. tidak mesti memangggil seorang itu kafir, atau jahil, atau sesat, atau musyrik, atau ahli maksiat walaupun dari segi hukum ia adalah benar.

5. Kebijaksanaan terletak pada meletakkan setiap sesuatu di tempatnya. Namun tradisi Islam juga memberi tahu bahawa kelembutan dan bersikap sopan adalah pilihan yang didahulukan, walaupun kepada musuh tegar Islam. Hal ini jelas dari perintah Allah taala kepada Nabi Musa a.s. dan Nabi Harun a.s. apabila berdakwah kepada Firaun (20:44) sebagai satu contoh.

6. Lunak, sopan dan tidak merasa diri sendiri benar, lebih utama apabila berbicara kepada sesama Muslim dalam perkara-perkara khilafiyah (perbezaan pendapat ulama).

7. Tidak bersifat “absolutist” dalam menyampaikan kebenaran ada sandaran dalam Al-Quran.

8. Rendah diri adalah sifat mulia, walaupun ketika yakin berada dalam kebenaran (34:24).

Scroll to Top