Pesanan Dari Al-Quran #63 – Berfikiran Jauh Yang Menjangkau Beberapa Generasi Akan Datang (16 Disember 2022)

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 16 Disember 2022, di sini.

“Ya Tuhan kami, jadikanlah kami berdua [Ibrahim dan Ismail a.s.] orang yang tunduk patuh kepada Engkau dan (jadikanlah) di antara anak cucu kami umat yang tunduk patuh kepada Engkau dan tunjukkanlah kepada kami cara-cara dan tempat-tempat ibadah haji kami, dan terimalah taubat kami. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.” (Al-Baqarah: 128)

“Ya Tuhan kami, utuslah untuk mereka seorang Rasul dari kalangan mereka, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat Engkau, dan mengajarkan kepada mereka Al-Kitab (Al-Qur’an) dan kebijaksanaan serta menyucikan mereka. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Al-Baqarah: 129)

Pelajaran

1.    Kededua ayat di atas adalah doa Nabi Ibrahim a.s. untuk dirinya dan anaknya Ismail a.s. setelah menyempurnakan pembinaan Kaabah atas perintah dari Allah taala.

2.    Ayat ini memberi gambaran sikap Nabi Ibrahim a.s. yang patut diambil pelajaran bagi Muslim sepanjang zaman, iaitu keperihatinan terhadap bukan hanya kesolehan ahli keluarganya yang terdekat atau generasi sezamannya, tapi juga generasi akan datang.

Hal ini dapat dilihat pada doa Nabi Ibrahim yang memohon kesolehan untuk anak-anaknya dan kesolehan generasi seterusnya. Beliau berdoa agar Allah taala tidak membiarkan mereka tanpa bimbingan, tapi mengutus nabi-nabi lain seperti dia yang akan melakukan tugas bimbingan itu.

3.    Maka Muslim yang baik dan cemerlang juga harus mempunyai keperihatinan yang sama yang menjangkau generasi semasa hidupnya.

4.    Demikian juga usaha dakwah yang baik bukan hanya perihatin untuk mensolehkan masyarakat semasa tapi juga terhadap beberapa generasi akan datang.

Pastinya Al-Quran juga bermaksud agar keperihatinan ini dimanifestasikan juga dalam bentuk tindakan, iaitu melakar perancangan jangka panjang.

Bagi melakarkan pula perancangan yang baik bagi mensolehkan masyarakat di masa hadapan pula, pasti memerlukan pengetahuan akan apa yang akan berlaku dan cabaran-cabaran yang bakal dihadapi dan ini memerlukan pula kajian-kajian akan tren-tren masa hadapan yang baik kerana tanpa maklumat dan pengetahuan sedemikian, masa hadapan tidak akan dapat dijangka bagi melakarkan perancangan persediaan. Tanpa kajian-kajian yang baik tentang masa hadapan juga apa jua usaha untuk mengahadapinya hanya akan berdasarkan andaian-andaian lemah. Hasilnya ialah usaha yang sia-sia dan pembaziran banyak sumber.

5.    Masyarakat Barat (bukan Muslim) sudah ke hadapan dalam bidang pemikiran futuristik sebagai asas bagi perancangan masa depan.

Masyarakat Muslim dan organisasi dakwah seharusnya mengambil langkah yang sama kerana ia adalah sesuatu yang mempunyai sandaran yang kuat dalam Al-Quran.


Satu ayat Al-Quran yang juga memberi pelajaran yang sama ialah, “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya) dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang dia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat) dan (sekali lagi diingatkan): Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.” (Al-Hashr: 18)

Walaupun ayat ini menganjurkan Muslim untuk sentiasa bersiap dan beringat akan hari Akhirat tapi ia juga bermaksud anjuran untuk berfikiran dan berperancangan jauh dalam perkara-perkara keduniaan yang pastinya akan memberi kesan juga pada kehidupan di Akhirat kelak.

6.    Doa Nabi Ibrahim a.s. agar Allah taala mengutus nabi-nabi lain untuk membimbing generasi masa depan boleh juga difahami sebagai anjuran kepada Muslim dan organisasi dakwah untuk memikirkan barisan pelapis bagi kepimpinan dan aktivis dakwah yang akan meneruskan perjuangan di masa hadapan.

Hal ini kerana doa dalam Islam bukan hanya sesuatu yang difahami sebagai permintaan kepada Tuhan tetapi juga sesuatu yang diusahakan oleh manusia yang memohon doa itu kerana Allah taala tidak mengkabulkan doa kecuali jika hambaNya sendiri berusaha untuk memenuhi hukum sebab dan musabab bagi hajatnya.

Hal ini juga sesuatu yang perlu diberi perhatian oleh organisasi dakwah hari ini. Organisasi dakwah tidak harus sibuk melakukan kerja-kerja dakwah untuk mensolehkan masyarakat sahaja tapi juga mempersiapkan barisan dan aktivis-aktivis dakwah secara berterusan kerana dakwah perlu dijayakan oleh barisan aktivis dan kepimpinan yang terlatih secara sistematik, bukan “by chance”.

7.    Pelajaran yang dirumuskan di atas juga dapat dipanjangkan dalam kehidupan seharian seorang Muslim untuk mencapai kecemerlangan, iaitu
– berfikiran jauh
– peka akan perkembangan masa hadapan
– mempunyai perancangan masa panjang i.e. lima, sepuluh atau dua puluh tahun akan datang.
– sentiasa membuat persiapan bagi masa depan.