Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 16 Jun 2023, di sini.
“Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, lawanlah puak yang zalim itu sehingga dia kembali mematuhi perintah Allah; jika dia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” (Al-Hujurat: 9)
“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Al-Hujurat: 10)
Pelajaran
- Ayat ini diturunkan kerana wujud beberapa kes perbalahan yang membabitkan individu dengan individu dan kumpulan dengan kumpulan dalam masyarakat di zaman Rasulullah s.a.w.
Ia memberi panduan kepada Rasulullah s.a.w dan Muslim sepanjang zaman tentang bagaimana tangani konflik sesama Muslim, seperti yang berlaku di zaman Rasulullah s.a.w.
Namun, para ulama kemudian mengembangkan pelajaran dari ayat ini kepada konteks perbalahan antara kumpulan Muslim (diistilahkan dalam ilmu fikih sebagai golongan bughah) dengan pemerintah. - Walaupun ayat ini bicara tentang konflik sesama Muslim, tapi ia boleh diterapkan juga dalam konteks konflik antara Muslim dan bukan Muslim atau antara sesama bukan Muslim.
- Perhatikan! Ayat ini menyebut perkara pertama apabila berhadapan dengan konflik antara dua pihak ialah untuk berusaha mendamaikan mereka, iaitu tidak menjadikan perbezaan antara mereka sebagai satu konflik yang biasanya menjejaskan ketenteraman bagi pihak lain.
- Ayat ini bukan bermaksud tidak boleh berbeza pandangan, tapi perbezaan itu jangan ditingkatkan hingga ke tahap konflik.
Islam akui perbezaan pendapat adalah sesuatu yang tidak terelak dalam kehidupan manusia. Tapi berbeza pandangan hingga berkonflik adalah tercela kerana ia memupuk permusuhan dan menjejas keharmonian sosial. - Ayat ini tidak menganjurkan Muslim yang berhadapan dengan konflik antara dua pihak untuk kenal pasti pihak mana yang benar dan terus sertai dan bantu mereka, tapi berusaha untuk “de-escalate” keadaan agar tidak menjadi konflik, walaupun jika dapat ketahui dengan jelas siapa pihak yang benar.
Hal ini adalah kerana kebenaran itu lebih sukar untuk disampaikan atau ditegakkan dalam situasi konflik kerana ia menyebabkan hubungan yang tegang dan gangguan emosi. Ini menjejas akal untuk berfikir dengan waras dan tenang.
Selain itu, konflik boleh berlaku disebabkan oleh pihak yang benar kerana satu pihak mungkin benar pada pendiriannya tetapi silap dalam cara untuk menyampaikan atau menegakkan kebenaran seperti bersikap kasar, guna kekerasan dan tidak patuhi undang-undang, hingga menyebabkan kemarahan pihak yang lain dan mencetus konflik pula. Dalam hal ini, pihak yang benar itu perlu dipersalahkan juga dan diperbetulkan kerana Islam bukan hanya anjur Muslim untuk tegakkan kebenaran tapi menegakkannya dengan cara yang betul dan bijaksana (lihat Al-Nahl: 125).
Maka langkah yang bijak ialah untuk “de-conflict” perbezaan yang ada, bukan terus mengambil sikap berpihak. - Kefahaman ini sesuai dengan sifat Islam yang sentiasa pro-keadilan dan keamanan dalam menyampaikan dakwah.
- Frasa “…jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, lawanlah puak yang zalim itu sehingga dia kembali mematuhi perintah Allah..” memberi pelajaran bahawa Islam membenarkan pihak yang berdegil untuk terus berkonflik atau melanggar perjanjian yang telah dipersetujui bersama untuk menghentikan konflik dihukum. Hukuman boleh melibatkan tindakan bersenjata jika ia membabitkan konflik atau kumpulan bersenjata.
Hukuman ini diberlakukan, walaupun jika pihak yang degil dan langgar perjanjian itu mewakili pihak yang memperjuangkan kebenaran kerana memang terdapat pihak yang benar tapi degil atau salah pada memilih cara dalam kehidupan realiti. - Walaupun teks ayat membenarkan mana-mana pihak diperangi kerana degil dan tidak mahu patuh dengan hukum Allah, namun majoriti ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah berpendapat ia tidak diberlakukan ke atas pemerintah Muslim yang zalim. Mereka amat keras melarang Muslim dari mengangkat senjata ke atas pemerintah, walaupun jika ia zalim. Hal ini kerana tindakan angkat senjata melawan pemerintah selalu menatijahkan mudarat yang besar dalam masyarakat Muslim. Ini tidak bermakna pula, Muslim harus bersikap pasif. Sebaliknya, Muslim dianjurkan untuk berusaha ubah kezaliman pemerintah itu melalui usaha dakwah yang aman dan bersabar dengannya hingga perubahan dapat tercapai seperti yang disebut dalam Al-Nahl: 125 dan dicontohkan panduan Allah taala kepada Nabi Musa dan Harun a.s. ketika diperintah berdakwah kepada Fir`aun dalam Taha: 43-4.
- Pelajaran lain dari ayat ini ialah konflik antara sesama Muslim adalah sesuatu yang boleh berlaku. Ia pernah berlaku di zaman Nabi s.a.w dan di kalangan para sahabat seperti dalam insiden Perang Siffin (perang antara Muawiyah r.a dan Ali r.a.) dan Perang Unta (perang antara Aisyah r.a. dan Ali r.a.).
Muslim hendaklah bersikap realistik dalam menanggapi hubungan antara Muslim dan tidak dibutakan oleh romantisisme. Sikap realistik ini membolehkan langkah-langkah pencegahan difikirkan dan sikap dan usaha yang betul dibuat apabila konflik berlaku dalam masyarakat Muslim.
Atas dasar ini, kemahiran menangani konflik adalah sesuatu yang patut ada bagi aktivis dan kepimpinan dakwah. - Al-Quran membahasakan pihak-pihak yang berperang sebagai orang-orang beriman. Ini bermakna seseorang itu tidak terkeluar dari agama Islam walaupun jika dia terlibat dalam konflik bersenjata ke atas Muslim yang lain. Pihak yang bersalah dihukum berdosa, tapi tidak boleh mengkafirkannya.
Jika Muslim yang saling berperang tidak boleh dihukumkan kafir, pastinya lebih utama untuk lebih berhati-hati dalam mengkafirkan Muslim kerana perbezaan pendapat dalam perkara agama atau dunia sahaja. - Al-Hujurat: 10 memberitahu kepentingan nilai persaudaraan dan takwa dalam menangani konflik dan mendamaikan pihak-pihak yang berkonflik. Ia mengandungi idea bagi langkah awal bagi mencegah dan tangani konflik iaitu tanamkan nilai persaudaraan dan takwa yang kukuh sesama anggota masyarakat. Pastinya kedua-dua nilai ini tidak boleh wujud sekelip mata. Ia perlu usaha yang lama dan berterusan. Maka, ia perlu dibuat sebelum konflik berlaku supaya nilai-nilai yang telah tertanam kuat itu dapat dipicu semula apabila konflik berlaku.
Hal ini pula mengajar Muslim akan kepentingan nilai dalam membentuk tingkah laku Muslim dan Islam adalah agama yang menganjurkan pembentukan tingkah laku individu melalui penanaman nilai-nilai yang baik, bukan hanya melalui penyesuaian sosial (social conditioning).