Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 4 Ogos 2023, di sini.
“…..dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” (Al-Hujurat: 12)
Pelajaran
- Di dalam ayat ini terkandung larangan Allah taala akan perbuatan mengumpat. Mengumpat bermaksud membicarakan aib dan keburukan seseorang di belakangnya atau tanpa pengetahuannya sebagaimana yang disebut dalam hadis,
“Nabi s.a.w bersabda: Adakah kamu tahu apakah itu mengumpat? Para sahabat berkata: Hanya Allah dan RasulNya yang mengetahuinya. Nabi s.a.w bersabda: Kamu menyebut perihal saudaramu yang tidak disukainya.” (Riwayat Muslim) - Para ulama berpendapat larangan ini memberi hukum haram kerana Allah taala mengumpamakannya dengan satu perbuatan keji yang terlarang, iaitu memakan daging manusia dan disebut bersama perbuatan dosa yang lain (berburuk sangka dan mengintip) dan pelakunya pula dianjurkan bertaubat sebagaimana yang dapat difahami dari hujung ayat.
Kaitannya dengan memakan daging manusia memberi petunjuk bahawa mengumpat adalah kesalahan yang serius. Oleh itu, sebahagian ulama berpendapat ia adalah antara dosa besar. - Al-Quran menyebut perbuatan mengumpat setelah berburuk sangka dan mengintip-intip hal ehwal peribadi seseorang. Hal ini menunjukan kaitan antara ketiga-tiga perkara ini, iaitu umpatan bermula apabila mempunyai buruk sangka terhadap seorang yang lain. Jika buruk sangka itu tidak diatasi dengan atau dilayan ia akan mendorong kepada perbuatan mengintip-intip rahsia diri seseorang. Setelah rahsia itu diketahui, orang berkenaan akan terdorong pula untuk mengongsinya kepada yang lain maka berlakulah umpatan. Kadangkala perbuatan “mengorek” rahsia orang tidak berhasil, tapi umpatan tetap berlaku kerana melayan nafsu dan bisikan syaitan.
- Oleh itu, penting bagi Muslim menjauhi buruk sangka dan khabar angin (Al-Hujurat: 6) kerana ia membuka jalan ke maksiat serius yang lain iaitu mengintip dan mengumpat.
- Terkandung dalam ayat ini juga satu pelajaran iaitu satu perbuatan maksiat bakal membuahkan perbuatan maksiat yang lain (sin begets sin). Sebab itu seorang Muslim harus berusaha untuk menjauhi apa jua maksiat semampu mungkin dan segera bertaubat apabila melakukannya. Jika tidak, bukan hanya maksiat itu akan menjadi kebiasaan dalam dirinya ia juga akan menatijahkan maksiat yang lain dan seterusnya, hinggalah dia sendiri mengubah dirinya.
- Larangan mengumpat dalam ayat di atas bersifat umum. Oleh itu, ia berlaku kepada semua golongan, baik Muslim atau bukan Muslim.
Mengumpat ibarat makan daging manusia. Kesemuanya adalah haram, tidak kira samada daging itu “beracun” (orang-orang soleh) atau tidak.
Ertinya, seorang ahli maksiat pun tidak boleh diumpat kecuali jika ada alasan yang dibenarkan oleh syarak sebagaimana yang dinyatakan di poin seterusnya. - Namun larangan mengumpat ada pengecualiannya. Para ulama berpendapat mengumpat dibenarkan dalam situasi-situasi berikut;
a) ketika membuat aduan kepada pihak berkuasa akan kesalahan atau jenayah yang dibuat oleh seseorang
b) ketika seseorang yang merasa dizalimi oleh seorang yang lain membuat aduan ke pihak berukuasa untuk menuntut keadilan bagi dirinya
c) ketika meminta fatwa dari mufti tentang perbuatan seseorang
e) ketika berusaha mencegah orang ramai dari tertipu atau jatuh dalam kejahatan seseorang yang diumpat.