Pesanan Dari Al-Quran #79 – Larangan Mengintip (18 Ogos 2023)

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 18 Ogos 2023, di sini.

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip [atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang] dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” (Al-Hujurat: 12)

Pelajaran

  1. Di dalam ayat ini terkandung larangan Allah taala akan perbuatan mengintip dan merisik (spying) hal ehwal peribadi seseorang.

  2. Yang dimaksudkan dengan perbuatan mengintip dan merisik di sini ialah mencari-cari atau mengumpul maklumat peribadi mengenai seseorang tanpa izin atau pengetahuannya. Maklumat ini tidak semestinya bersifat aib bagi orang berkenaan, tapi apa jua maklumat yang tidak mahu dikongsikan kepada orang lain atau yang disimpan ditempat yang pada kebiasaannya bersifat eksklusif bagi dirinya dan sesiapa yang dizinkannya sahaja.

  3. Termasuk dalam larangan ini juga ialah melihat atau mengintai ke dalam rumah orang sebagaimana yang disebut dalam hadis,

    “Seorang lelaki mengintip dari lobang pintu bilik Rasulullah s.a.w sedang di tangannya sikat besi untuk menggaruk kepalanya. Apabila Rasulullah shallallahu s.a.w melihat hal itu, beliau bersabda: Andai aku tahu bahwa kamu melihatku, pasti aku cucuk besi ini di kedua matamu.” Lalu Rasulullah s.a.w: Diwajibkan meminta izin sebelum memandang.” (Riwayat Al-Bukhari).

  4. Para ulama, apabila menghuraikan hadis ini, berpendapat larangan ini bersifat pencegahan, iaitu untuk mencegah perbuatan terlarang yang lain seperti melihat aurat atau aib seseorang, mendedahkan aib dan perkara peribadi seseorang, memfitnah, mengumpat dan lain-lain.

  5. Larangan dalam hadis ini boleh pula diterapkan pada segala ruang peribadi seseorang seperti ruang kerja (work cubicle), kamar tidur atau kerja peribadi, kandungan telefon bimbit, surat/nota/emel kepada/dari seseorang dan lain-lain.

  6. Dalam konteks hari ini, perbuatan mengintip yang terlarang boleh diqiyaskan dengan

    a) perbuatan “doxxing”, yang juga dikenali dalam slanga warga Internet dengan “CSI”, iaitu mencari, mendedah dan menyebarkan maklumat peribadi melalui Internet dengan tujuan untuk mendedahkan identiti seseorang. Ia diangap sebagai satu bentuk gangguan dalam talian.

    b) memasang kamera tersembunyi di ruang-ruang privet seseorang seperti di bilik mandi, bilik tidur, bilik hotel, tandas dan ruang kerja untuk apa jua tujuan

    c) skodeng (voyeurism) mengintai seseorang di ruang privetnya baik dengan mata kasar atau alat untuk memuaskan nafsu seks

    d) menggodam (hack) akaun atau peranti peribadi untuk mendapat akses pada maklumat peribadi seseorang.

    Segala yang di atas bukan hanya haram di sisi Islam, tapi juga boleh dikenakan tindakan jenayah di sisi undang-undang Singapura.

  7. Namun terdapat pengecualian bagi larangan ini, iaitu jika dilakukan bagi tujuan,

    a) melakukan siasatan terhadap aduan pelanggaran undang-undang oleh pegawai yang memang diberi kuasa atau mandat untuk melakukannya

    b) mendedahkan kejahatan/kezaliman seseorang yang telah diketahui kejahatan/kezalimannya sebagai amaran kepada orang lain, apabila saluran pihak berkuasa sudah lagi tidak berkesan.

  8. Terdapat kisah Umar r.a. berkaitan dengan topik yang dbicarakan. Ketika menjadi khalifah, Umar r.a. selalu melakukan rondaan di waktu malam bersama pembantuya untuk meninjau hal ehwal rakyat. Dalam satu rondaan malamnya, Umar r.a. dan pembantu mendengar suara seseorang membebel yang datang dari satu rumah. Beliau dan pembantunya memanjat dinding rumah itu untuk mengintai apa yang berlaku tanpa izin tuan rumah. Beliau mendapati suara itu datang dari seorang yang sedang mabuk kerana minum arak. Apabila beliau ingin menangkap orang itu, pembantunya menegur bahawa perbuatan dia memasuki kawasan rumah orang tanpa izin dan mengintip dan membaca ayat di atas. Umar r.a. pun sedar lalu beredar tanpa membuat apa-apa tindakan ke atas orang itu.

    Kisah ini dijadikan hujah oleh ulama bahawa kebenaran perlulah dibuktikan melalui proses yang benar juga. Oleh itu, tidak boleh menggunakan proses yang salah seperti mengintip atas nama menegakkan kebenaran. Ini prinsip yang mesti dijadikan panduan dalam bidang kewartawanan, akademik, keadilan dan penguatkuasaan undang-undang.

  9. Larangan mengintip dalam ayat di atas tidak diberlakukan kepada agensi risikan bagi tujuan menjaga keselamatan negara dari ancaman dalaman dan luaran dan mereka yang bertugas di bawahnya.

    Hal ini kerana terdapat banyak dalil bahawa Rasulullah s.a.w mengamalkan risikan bagi menjaga keselamatan Madinah dan umat Islam di zamannya,

    a) beliau mempunyai perisik atau pemberi maklumat di Mekah untuk membekalkan maklumat aktiviti musuhnya

    b) beliau selalu mengirim pasukan atau individu untuk membuat risikan terhadap musuh-musuhnya sebelum berperang

    c) beliau menyimpan senarai anasir-anasir jahat (golongan munafik) dan memantau mereka bagi menjaga kesejahteraan Madinah.

  10. Namun larangan merisik dalam ayat di atas boleh dijadikan pembatas bagi kuasa agensi risikan negara, iaitu merisik dan mengintip rakyat bukan tujuan keselamatan negara adalah terlarang. Contohnya,

    a) mengintip rakyat bagi tujuan menindas hak dan mengawal kebebasan asasi mereka
    b) mengintip rakyat bagi mengukuhkan pemerintahan kuku besi (authoritarian)

    Hal ini kerana Islam menolak pemerintahan kuku besi seperti figura Firaun dan Nimrod yang wujud dalam Al-Quran.

    Pastinya terdapat ruang samar-samar (grey area) dalam perkara ini. Perkara ini di atasi melalui perbincangan yang membawa kepada permuafatakan antara rakyat, penguasa dan para ilmuwan.