Pesanan Dari Al-Quran #80 – Muslim Tapi Belum Mukmin Lagi (1 September 2023)

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 1 September 2023, di sini.

“Orang-orang ‘A´raab’ (Arab nomad) berkata: Kami telah beriman. Katakanlah (wahai Muhammad): Kamu  belum beriman, (janganlah berkata demikian), tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja: Kami telah Islam dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah RasulNya (zahir dan batin), Allah tidak akan mengurangkan sedikitpun dari pahala amal-amal kamu, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Hujurat: 14)

“Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).” (Al-Hujurat: 15)”

“Katakanlah (kepada orang-orang ‘A´raab’ itu wahai Muhammad): Patutkah kamu hendak memberitahu kepada Allah tentang agama kamu (dengan berkata: Kami telah beriman)? Padahal Allah mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (Al-Hujurat: 16)

Pelajaran

  1. Ayat-ayat di atas diturunkan ke atas beberapa kabilah Arab badwi yang baru memeluk Islam. Mereka telah mendabik dada dengan status dan kekuatan yang ada di hadapan kabilah-kabilah Arab yang lain dengan dakwaan bahawa Nabi Muhammad s.a.w telah terhutang budi dengan mereka kerana kemasukan mereka ke agama Islam telah menyumbang pada kekuatan Nabi s.a.w.

    Namun apabila Nabi s.a.w memanggil mereka agar berhijrah ke Madinah supaya dapat benar-benar menyumbang kepada kekuatan Madinah dan jihad, mereka tidak mahu dan memberi alasan-alasan.

    Allah taala wahyukan ayat di atas untuk mencela sikap mereka supaya dijadikan iktibar bagi Muslim.

  2. Ayat Al-Hujurat:14 adalah dalil bagi pandangan yang membezakan antara menjadi Muslim dan Mukmin kerana Allah taala memerintahkan Nabi s.a.w untuk mengatakan kepada kabilah Arab berkenaan bahawa mereka hanyalah baru memeluk Islam, tapi belum boleh dianggap beriman.

    Dalam hal ini, status (maqam) sebagai Muslim adalah lebih rendah dari status sebagai Mukmin. Setiap Mukmin adalah Muslim, tapi bukan setiap Muslim adalah Mukmin.

    Perspektif ini disokong oleh hadis Nabi s.a.w yang membicarakan makna Islam dahulu, kemudian iman dan akhirnya ihsan. 

  3. Lalu apakah sifat-sifat seorang Mukmin yang mengangkat seseorang ke maqam yang lebih tinggi dari hanya menjadi Muslim?

    Jawapannya ada dalam Al-Hujurat: 15 yang mana Al-Quran menyenaraikan sifat-sifat berikut;

    a) beriman kepada Allah taala dan RasulNya
    b) tiada keraguan dalam beriman kepada Allah dan Rasul
    c) berjihad (berjuang) dengan harta dan jiwa di jalan Allah taala

  4. Yang dimaksudkan dengan tiada keraguan ialah tiada risiko bahawa seseorang itu akan meninggalkan agamanya sebagaimana keadaan sebahagian kabilah Arab badwi di zaman Nabi s.a.w, khususnya mereka yang memeluk Islam setelah kekuatan Quraisy sudah menjadi lemah atau telah dikalahkan setelah Mekah terlepas dari kuasa mereka.

    Mereka memeluk Islam disebabkan pertimbangan politik dan kuasa, bukan kerana keyakinan yang kukuh terhadap ajaran Islam. Hal ini dapat dilihat dalam insiden murtad beramai-ramai di kalangan kabilah-kabilah Arab setelah Nabi s.a.w wafat.

    Frasa “tiada keraguan” bukan bermaksud tidak boleh ada keraguan secara mutlak kerana kewujudan keraguan berkaitan iman boleh berlaku sepanjang hayat seseorang sebagai ujian dari Allah taala dan kerana sifat manusia yang pasti tidak sempurna.

    Maka keraguan yang tidak mengandungi risiko untuk murtad hanya petanda iman yang kurang sempurna dan perlu pembaikan terus. Ia bukan bermakna tidak tergolong dalam kalangan Mukmin. Keraguan seperti ini berlaku dikalangan orang-orang soleh sekalipun pada ketika tertentu dalam hidup mereka sebagaimana yang tercatat dalam catatan biografi mereka.

  5. “Tiada keraguan” memberi maksud bahawa iman yang betul ialah yang mantap di dada, bukan hanya setakat ucapan syahadah di lidah atau kelahiran atau status sosial. Persoalanya, bagaimana kemantapan ini tercapai?

    Dari perspektif Al-Quran, ini tercapai melalui ilmu yang dicapai melalui kajian terhadap ayat-ayat kawniyah (ciptaan Allah taala) dan ayat quraniyah (Al-Quran).

  6. Islam akui peranan positif status sosial dan kekuatan material bagi dakwah, tapi ia bukan petunjuk benar bagi kemantapan iman yang menjadi keutamaan dakwah.

  7. Perintah berjihad dalam Al-Hujurat: 15 bermaksud jihad yang luas, iaitu apa jua usaha untuk menegakkan agama Allah taala di muka bumi ini dan tidak bersifat eksklusif pada makna jihad perang semata-mata.

    Dalam hal ini, perlu diperhatikan bahawa Al-Quran menganjurkan usaha memantapkan iman dahulu sebelum berjuang di jalan Allah taala.

    Inilah prinsip dakwah yang betul, iaitu Muslim dididik dahulu dengan ilmu-ilmu asas tentang agama yang mantap dahulu sebelum diterjunkan ke medan dakwah.

  8. Ini memberi peringatan kepada badan-badan dakwah agar jangan terlalu bersemangat menyemarakkan aktivisme anak-anak muda untuk menyumbang dalam kerja dakwah tanpa usaha yang sistematik untuk mendidik mereka dengan ilmu agama dan iman yang mantap kerana dakwah yang dijalankan atas semangat aktivisme semata-mata akan bersifat pendek nafas apabila berhadapan dengan ujian dan cabaran yang berat. Ia juga boleh merosakkan usaha dakwah kerana tingkah laku aktivis yang sumbang disebabkan kejahilan mereka.

  9. Iman dan kesolehan terletak di dada yang hanya diketahui oleh Allah taala (Al-Hujurat: 16) dan perlu dibuktikan pula dalam bentuk sumbangan bagi menegakkan agama Allah taala, bukan hanya ritual semata-mata.

    Jangan mendabik dada atau merasa selesa dengan kesolehan diri kerana mungkin di mata Allah taala tidak sedemikian.

    Jangan juga mudah menghukum orang lain tidak soleh atas penampilan dirinya kerana mungkin iman di hatinya lebih mantap dan bernilai di sisi Allah taala.