Pesanan Dari Al-Quran #88 – Berhukum Dengan Sunnah Nabi s.a.w Dalam Konteks Hari Ini (22 Disember 2023)

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 22 Disember 2023, di sini.

“Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” (Al-Nisa’: 65)

Pelajaran

  1. Ayat di atas adalah dalil tentang kewajipan mentaati hukum yang ditetapkan oleh Nabi s.a.w dalam sesuatu perkara.

  2. Al-Quran menuntut dari Muslim di zaman Nabi s.a.w untuk mempunyai kepatuhan mutlak terhadap ketentuan hukum dari Nabi s.a.w, tanpa ada keberatan atau keraguan terhadapnya.

  3. Namun ayat ini dalam konteks hari ini memerlukan penjelasan lanjut. Jika tidak, ia boleh membawa kesilapan dalam memahami konsep mentaati Nabi s.a.w dan beramal dengan sunnah beliau.

  4. Terdapat perbezaan Muslim pada hari ini dan masa akan datang dengan Muslim semasa ayat ini diturunkan atau di zaman Nabi s.a.w. iaitu Muslim hari ini dan seterusnya tidak lagi berinteraksi langsung dengan Nabi s.a.w kerana beliau telah wafat sejak 1500 tahun dahulu.

    Yang ada bersama Muslim hari ini hanyalah peninggalan Nabi s.a.w yang dikenali dengan hadis dan sunnah. Maka ketaatan kepada Nabi s.a.w di sini bermaksud beriltizam untuk beramal dengan hadis dan sunnah Nabi s.a.w yang telah dikumpulkan oleh para ulama dalam kitab-kitab yang muktabar dan telah diselidiki kesahihannya.

  5. Pada prinsipnya, Muslim wajib berkeyakinan tentang kewajipan mentaati Nabi s.a.w dan ketaatan ini pula ditunjukkan dalam bentuk iltizam untuk mengamalkan sunnah-sunnah Nabi s.a.w yang terakam dalam hadis-hadis sahih.

    Ertinya juga, mengakui bahawa hadis sahih adalah salah satu sumber hukum Islam dan tidak boleh menolak hadis secara keseluruhannya seperti fahaman golongan anti-hadis.

  6. Namun dari segi amali, ketaatan kepada hadis-hadis bagi Muslim hari ini tidak boleh semutlak seperti yang terkandung dalam ayat di atas dan seperti mentaati hukum yang datang langsung dari mulut Nabi s.a.w semasa hidupnya.

  7. Hal ini kerana;

    a) sesuatu hukum atau pandangan agama yang disandarkan kepada Nabi s.a.w perlu dipastikan sahih dahulu sebelum dipatuhi.

    Dalam hal ini, para ulama boleh berbeza pendapat tentang status kesahihan sesuatu hadis dan ini pula menjadikan hukum atau pandangan agama itu menjadi zanni (tidak mutlak kebenarannya).

    b) banyak hukum yang disandarkan pada hadis yang telah disepakati sahih (hadis Mutawatir) atau yang dihukumkan sahih oleh majoriti para ulama pula bersifat zanni (tidak mutlak) dan ini bermakna ada kemungkinan ini tafsiran lain di sisi para ulama yang sama kuat atau mungkin lebih kuat

    c) hukum-hukum yang disandarkan kepada Nabi s.a.w mungkin adalah tafsiran ulama terhadap hadis yang dijadikan sandaran. Oleh itu, ia tidak sama seperti hukum yang keluar dari mulut Nabi s.a.w semasa beliau hidup. Tafsiran ulama tidak bersifat benar secara mutlak. Maka ketaatan kepadanya juga tidak mutlak seperti tuntutan dalam ayat di atas

    d) hadis Nabi s.a.w yang terkumpul dalam kita-kitab para ulama yang muktabar berjumlah puluhan ribu. Oleh itu, akan ada kemungkinan bahawa sesuatu hukum yang ditemui dalam sesuatu hadis mempunyai penjelasan lain dalam hadis lain yang tidak terjangkau kerana ilmu manusia yang pasti bersifat terbatas dan tidak komprehensif.

  8. Sikap yang betul bagi Muslim hari ini apabila berhadapan dengan dakwaan mentaati Nabi s.a.w dan beriltizam dengan sunnah beliau hendaklah bersikap kritikal dan tidak mudah menerima sahaja atas dasar ayat di atas.

    Para sahabat Nabi s.a.w semasa di zaman Nabi pun seringkali bertanya dan menyelidik dahulu sebelum menerima dakwaan tentang hukum atau sunnah Nabi s.a.w.

    Kepada Nabi s.a.w pun mereka akan bertanya dahulu samada pendapat beliau itu bersifat wahyu yang wajib ditaati secara mutlak seperti dalam soal pemilihan lokasi tentera di Badr. Inilah sikap yang lebih berhemah (prudence) bagi Muslim hari ini.

  9. Muslim juga tidak perlu bersifat tegar apabila memilih untuk beriltizam dengan hukum tertentu atas dasar ia adalah sunnah Nabi s.a.w atau ia bersandarkan hadis yang sahih hingga mencela mereka yang berbeza pendapat atas dasar telah menyalahi ayat di atas kerana sebab-sebab hukum itu menjadi zanni (tidak mutlak) adalah banyak dan kemungkinannya ada.

  10. Dalam hal ini, ketidaksetujuan pihak lain akan hukum pilihannya tidak boleh dikatakan melanggar secara mutlak prinsip mentaati Nabi s.a.w atau menolak sunnahnya kerana kemungkinan yang dikritik itu adalah sudut tafsiran pada hadis atau status hadis yang dijadikan sandaran atau kerana ada hadis-hadis lain yang membolehkan perspektif yang berbeza.

  11. Mempunyai pendirian yang kuat bahawa sesuatu hukum itu adalah sunnah Nabi s.a.w tidak mengapa asal sahaja mahu menghormati pendirian orang lain juga.