Pesanan Dari Al-Quran #90 – Mencegah Kemungkaran Tidak Mesti Bersifat Personal (19 Januari 2024)

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 19 Januari 2024, di sini.

“Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di bumi (Mesir) dengan melampaui batas, serta dia menjadikan penduduknya berpuak-puak. Dia menindas sepuak di antaranya dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya adalah dia dari golongan yang membuat kerosakan.” (Al-Qasas: 4)

“Dan Firaun pula berkata: Wahai orang-orangku, aku tidak mengetahui ada bagi kamu sebarang Tuhan yang lain daripadaku; oleh itu, wahai Haman, bakarkanlah untukku batu-bata, serta binalah untukku bangunan yang tinggi, supaya aku naik melihat Tuhan Musa (yang dikatakannya itu) dan sesungguhnya aku percaya adalah Musa dari orang-orang yang berdusta.” (Al-Qasas: 38)

“Apabila orang-orang munafik datang kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata: Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau sebenar-benarnya Rasul Allah dan Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah RasulNya, serta Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta.” (Al-Munafiqun: 2)

“Mereka menjadikan sumpahnya (atau akuannya) sebagai perisai (untuk menyelamatkan dirinya dan harta bendanya daripada dibunuh atau dirampas), lalu mereka menghalang (dirinya dan orang lain) dari menurut jalan Allah. Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah kerjakan.” (Al-Munafiqun: 3)

Pelajaran

  1. Di dalam Al-Quran ada banyak figura-figura jahat. Salah satunya ialah figura Firaun (Al-Qasas: 4, 38).

    Al-Quran membicarakan tentang Firaun dengan terperinci; menyebut sifat-sifat kejinya, keyakinannya, kuasanya dll.

  2. Kejahatan Firaun dianggap kemuncak kejahatan manusia kerana dia bukan hanya mengaku sebagai tuhan tapi mencabar tuhan juga (Al-Qasas: 4, 38).

  3. Walaupun Al-Quran menerangkan dengan terperinci kekejian firaun supaya manusia faham dan kemudian menjauhiya, tapi satu perkara tidak disebut sama sekali tentang Firaun iaitu identiti sebenarnya.

    Adakah Allah taala tidak tahu, lupa, takut dll.? Tidak mungkin, kerana segala itu mustahil bagiNya.

    Adakah Firaun itu hanya satu metafora sahaja? Tidak mungkin juga, kerana jika ia satu metafora, siapakah Firaun yang dihadapi oleh Nabi Musa a.s yang tersebut dalam banyak ayat-ayat Al-Quran. Tidak mungkin juga Nabi Musa a.s hanyalah satu metafora juga kerana telah sepakat di sisi ulama bahawa beliau adalah antara anbiya’ yang wajib diimani kewujudannya.

  4. Oleh itu, pasti ada sebab dan pelajaran bagi manusia, khususnya bagi kerja dakwah, apabila Allah taala sengaja tidak mendedahkan identiti sebenar Firaun.

    Antara pelajaran penting yang dapat difikirkan ialah;

    a) dakwah hendaklah berfokus pada idea dan hujah dahulu

    b) mengajak manusia jauhi mungkar dan kejahatan (seperti perangai dan akidah Firaun) ialah dengan menerangkan apa itu kemunkaran dan mengapa ia satu kemungkaran, tanpa mesti/perlu bersifat personal.

  5. Sejarah dakwah membuktikan bahawa manusia mampu tinggalkan kemungkaran, tanpa perlu tahu siapa pelaku kemungkaran itu.

    Para sahabat dididik untuk jauhi dan cegah kemungkaran Firaun tanpa kenal siapa Firaun yang sebenar.

    Bahkan Nabi Muhammad s.a.w pun, kemungkinan besar, tidak tahu identiti Firaun yang sebenar, pada ketika menerima wahyu tentangnya.

    Al-Quran hanya mahu Nabi s.a.w dan para sahabat tahu sifat-sifat dan akidah Firaun yang salah sahaja.

  6. Perkara yang sama juga boleh dilihat tentang pemberitahuan Al-Quran tentang raja zalim yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim (a.s) yang dikatakan adalah raja Babilon yang bernama Namrud (Al-Baqarah: 258, Al-Anbiya’: 52-70).

  7. Al-Quran juga banyak bicara banyak tentang golongan munafik yang merupakan musuh dalam selimut dalam masyarakat Muslim di zaman nabi (Al-Munafiqun: 1-2).

    Bahkan Allah taala mendedikasi dua surah dalam Al-Quran untuk membicarakan tentang mereka iaitu surah Al-Munafiqun dan Al-Taubah.

  8. Namun nama Abdullah bin Ubay bin Salul tidak tersebut di dalam Al-Quran, walaupun dia dikenali sebagai ketua golongan munafik dan melakukan pelbagai tindakan jahat terhadap dakwah Nabi s.a.w yang dilaporkan oleh hadis.

    Banyak ayat-ayat Al-Quran turun mengenai beliau dan pengikut-pengikutnya. Namun, sebahagian Muslim di zaman Nabi s.a.w pun tidak tahu kalau ayat tertentu diturunkan kepada mereka atau pengikut-pengikutnya sehingga mereka perlu bertanya kepada sahabat yang lain.

  9. Adalah diakui bahawa para ulama ada berpendapat bahawa harus mendedahkan identiti pelaku maksiat untuk tujuan tertentu seperti pelihara manusia dari kejahatannya.

    Namun, ini tidak harus menafikan atau “over rule” pendekatan Al-Quran yang dinyatakan di atas sebagai pendekatan utama dan lebih disukai.

  10. Al-Quran ada menyebut nama-nama figura jahat seperti Qarun, Haman, Samiri dan Abu Lahab. Namun, antara nama-nama ini hanya Abu Lahab sahaja yang identitinya diketahui oleh Nabi s.a.w dan Muslim di zamannya. Yang lain-lain seperti Qarun, Haman dan Samiri hanyalah figura sejarah yang identiti sebenarnya tidak dikenali oleh Nabi s.a.w dan Muslim di zaman itu kerana ketiadaan akses kepada sumber-sumber sejarah di zaman itu dan ketiadaan catatan sejarah tentang sebahagian dari mereka. Identiti mereka hanya dikenalpasti melalui penemuan arkeologi di zaman moden. Maka menyebut nama-nama mereka tidak bersifat personal bagi Nabi s.a.w.

  11. Dakwah memang perlu mencegah kemungkaran, tapi ia tidak mesti bersifat personal. Utamakanlah dakwah yang dicontohkan oleh Allah taala dalam Al-Quran; memberi fokus pada idea dan hujah, bukan individu, mesti membenci maksiat, tapi tidak mesti membenci pelaku dosa.