Allah taala berfirman
لَقَدۡ جَآءَكُمۡ رَسُولٞ مِّنۡ أَنفُسِكُمۡ عَزِيزٌ عَلَيۡهِ مَا عَنِتُّمۡ حَرِيصٌ عَلَيۡكُم بِٱلۡمُؤۡمِنِينَ رَءُوفٞ رَّحِيمٞ ١٢٨
فَإِن تَوَلَّوۡاْ فَقُلۡ حَسۡبِيَ ٱللَّهُ لَآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَۖ عَلَيۡهِ تَوَكَّلۡتُۖ وَهُوَ رَبُّ ٱلۡعَرۡشِ ٱلۡعَظِيمِ ١٢٩
“Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselataman) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin. Jika mereka berpaling (dari keimanan) maka katakanlah ‘Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain Dia. Hanya kepadaNya aku bertawakkal dan dia adalah Tuhan yang memiliki `arsy yang agung.” (Al-Taubah: 128-129)
Pelajaran
1. Ayat ini menjelaskan sikap dan perasaan Nabi s.a.w terhadap semua umatnya yang beriman dan tidak beriman.
2. Oleh kerana Nabi s.a.w adalah contoh terbaik bagi kita, maka patutlah kita memupuk sikap yang sama dalam diri.
3. Allah taala menyenaraikan sikap dan perasaan Nabi s.a.w kepada yang umum dari umatnya dan kepada yang beriman sahaja.
4. Sikap dan perasaan Rasulullah s.a.w kepada semua umatnya ialah
– rasa berat terhadap penderitaan mereka
– saat menginginkan keimanan dan keselamatan bagi mereka
5. Sikap dan perasaan Rasulullah s.a.w kepada umatnya yang beriman ialah
– belas kasihan
– penyayang
6. Walaupun Rasulullah s.a.w merasa belas kasihan dan menyayangi orang beriman tetapi beliau tidak membenci umatnya yang kufur. Bahkan beliau sentiasa merasa kasihan atas kekufuran mereka dan mengharap hidayah untuk mereka (rujuk Yusuf : 103 dan Yunus : 99).
Hal ini walau pun, beliau sentiasa menghadapi pelbagai tentangan dari kaumnya yang kufur.
Pelbagai insiden dalam sirah beliau yang menceritakan balasan baik beliau terhadap kekasaran umatnya adalah penjelasan terhadap sikap yang diterangkan dalam ayat ini.
7. Rasulullah s.a.w bukan hanya perihatin terhadap persoalan keagamaan umatnya tetapi juga persoalan keduniaan mereka seperti makan minum, kesulitan hidup, musibah dan lain-lain.
Terdapat banyak contoh bagaimana Rasulullah s.a.w perihatin terhadap para sahabat yang miskin, belum berumahtangga dan ditimpa musibah.
8. Kita juga hendaklah mempunyai perasaan yang sensitif dan peka terhadap nasib masyarakat.
Sebagaimana Rasulullah s.a.w, kita tidak sepatutnya hanya sibuk dan menangani masalah keagamaan dalam masyarakat tetapi juga urusan kehidupan seharian.
Sebagaimana kita perihatn samada ahli masyarakat kita bersolat dan berpuasa kita harus turut perihatin atas kemiskinan, pengangguran dan sakit yang menimpa mereka.
Dalam erti kata lain, pendakwah tidak wajar mempunyai sikap ‘apathy’ dan ‘indifferent’ terhadap apa yang berlaku dalam masyarakatnya.
9. Walau pun kita sentiasa berharap agar manusia dapat bersama kita dalam usaha dakwah dan mengharapkan kebersamaan mereka dalam berjamaah, namun pergantungan kita hanyalah kepada Allah taala semata-mata.
Keengganan manusia untuk bersama kita dalam dakwah, sepatutnya sedikit pun tidak menggugat komitmen kita terhadap usaha ini.
Oleh itu, kita tidak mengeluh jika bersendiri atau merasa sepi, kerana cukup bagi kita Allah taala, sebaik-baik pembantu dan penyokong.
Dipetik dari buku Sampaikan Daripadaku… Klik di sini untuk maklumat buku.