Pelajaran 63 – Berhati-Hati Dalam Menghukum

Amir b Watsilah berkata bahawa sesungguhnya ada seorang lelaki yang lalu di hadapan satu kaum di saat Rasulullah s.a.w masih hidup. Maka orang itu mengucapkan salam kepada mereka dan mereka menjawab salam kepadanya. Ketika orang itu sudah berlalu, ada seorang di antara mereka yang berkata ‘Sesungguhnya aku benci kepada lelaki itu kerana Allah taala.’ Maka orang-orang yang berada dalam majlis itu berkata ‘Alangkah buruknya yang engkau ucapkan itu. Demi Allah. kita akan memberitahu kepadanya.’ Kemudian mereka berkata ‘Hai Fulan (kepada salah seorang di antara mereka), berangkatlah dan bertemulah dengan dia dan beritahukan apa yang dia katakan tadi.’ Maka orang yang diutus tersebut menemuinya dan memberitahu kepadanya. Kemudian orang yang dibenci itu datang kepada Rasulullah dan memberitahukan tentang apa yang dikatakan oleh orang yang membencinya.

Utusan itu bertanya kepadanya ‘Bagaimana kalau orang tersebut dipanggil sahaja.’ Maka dia memanggilnya dan bertanya mengenai perkara itu kepadanya ‘Sungguhkah kamu telah berkata demikian?’ Maka Rasulullah bertanya ‘Mengapakah kamu membencinya?’ Orang itu menjawab ‘Saya adalah tetangganya dan saya demi Allah tidak pernah melihat dia bersolat sama sekali kecuali solat wajib ini yang dilakukan oleh orang yang soleh dan yang jahat.’ Maka orang yang dituduh itu berkata ‘Tolong tanyakan kepadanya, wahai Rasulullah, apakah aku pernah mengakhirkan solat dari waktunya atau saya salah dalam melakukan wudhu’ untuk solat, atau ruku’ atau sujud dalam solat?’ Maka Nabi bertanya kepadanya. Lalu dia berkata ‘Tidak!’ Kemudian dia meneruskan tuduhannya ‘Demi Allah saya tidak pernah melihat dia berpuasa sebulan sama sekali kecuali hanya pada bulan ini yang berpuasa padanya orang yang soleh dan jahat.’ Maka orang yang dituduh itu berkata ‘Tolong tanyakan kepadanya, wahai Rasulullah, apakah dia pernah melihat aku tidak berpuasa atau saya mengurangi kewajiban berpuasa?’ Orang yang menuduh itu berkata ‘Tidak!’ Kemudian dia berkata ‘Demi Allah, saya tidak pernah melihat dia memberi peminta sedekah dan orang miskin. Saya tidak pernah melihat dia menginfakkan sesuatu dari hartanya di jalan Allah kecuali zakat yang ditunaikan oleh orang yang baik dan orang yang jahat.’ Orang yang dituduh itu berkata ‘Tolong tanyakan kepadanya, wahai Rasulullah, apakah dia pernah melihat aku mengurangi zakat atau berbuat curang?’ Maka Nabi bertanya kepadanya tentang hal itu dan dia menjawab ‘Tidak!’ Maka Rasulullah bersabda Pergilah, barangkali dia (yang kamu tuduh) itu lebih baik daripada engkau’.” (Riwayat Ahmad)

Pelajaran

1. Islam amat perihatin dan tidak menggalakkan mentakyin (mengkhususkan) hukum ke atas seseorang individu dengan hukuman-hukuman yang negatif seperti fasiq, munafiq, tercela, fajir dan yang seumpamanya.

2. Kita hendaklah tidak cepat menghukum orang lain. Apabila kita tidak mengetahui amalan seseorang, itu tidak bermakna dia tidak melakukannya. Oleh itu, ia bukan alasan untuk kita menghukumnya. Jika kita tidak mengetahui bahawa seseorang itu terlibat dalam kerja dakwah, itu tidak bermakna bahawa di tidak menyumbang kepada usaha dakwah.

3. Kita hendaklah tidak melebihi Allah taala dalam menghukum orang lain. Allah taala menerima kesolehan seseorang yang hanya melaksanakan amalan yang wajib sahaja dan tidak menguranginya. Oleh itu, tidak boleh bagi kita dan sesiapa untuk menafikan kesolehan orang yang tidak berbanyak-banyak dalam amalan sunat. Kita tidak boleh mewajibkan ke atas orang sesuatu yang Allah taala tidak mewajibkannya. Keupayaan kita untuk melakukan sesuatu amalan bukan ukur tara untuk menilai orang lain.

4. Kita tidak boleh menghukum orang lain berdasarkan apa yang kita tidak tahu. Islam menuntut seseorang untuk menilai orang lain berdasarkan bukti yang nyata bukan sangkaan.

5. Menyatakan rasa benci terhadap seseorang semata-mata kerana Allah taala tidak bermakna kebencian kita benar dan diterima. Niat seseorang mungkin ikhlas tetapi perlakuannya boleh salah.

6. Yang menghukum tidak selalunya lebih baik dari yang dihukum. Berhati-hatilah dalam menghukum dan menilai orang lain. Seseorang itu mestilah dinilai berdasarkan realiti yang ada padanya bukan berdasarkan realiti kita.

Dipetik dari buku Sampaikan Daripadaku… Klik di sini untuk maklumat buku.