Pelajaran 69 – Larangan Melakukan Takfir

Abdullah b. Umar r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud

“Sesiapa yang berkata kepada saudaranya ‘Hai, kafir’ maka pasti akan menimpa pada salah satu dari  mereka.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud

“Janganlah kalian mengabaikan ayah kandungmu, maka siapa yang tidak suka kepada ayah kandungnya, maka ia adalah satu kekufuran.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

Abdullah b. Mas`ud r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud

“Memaki orang Muslim itu satu kefasikan dan memeranginya itu satu kekufuran.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim. Rujuk kitab Al-Lulu’ Wa Al-Marjan, hadits no. 39, 40 dan 43)

Pelajaran

1. Perbuatan mengkafirkan seorang Muslim adalah satu perbuatan yang serius kerana akibatnya ialah samada tuduhan itu benar atau si penuduh pula jatuh kepada kekufuran. Para ulama berpendapat bahawa perbuatan mengkufurkan orang lain secara salah boleh membatalkan dua kalimah syahadah. Paling kurang ia adalah satu dosa besar.

2. Disebabkan keseriusan mengkafirkan orang lain, para ulama sentiasa mengambil langkah berhati-hati dalam menghukum seorang Muslim sebagai seorang kafir kerana takut akan jatuh dalam kesilapan.

3. Jika kita lihat pernyataan Rasulullah s.a.w itu sendiri dalam ketiga-ketiga hadits berkenaan, beliau mengggunakan perkataan kufur bukan kafir. Ertinya beliau merujuk kepada perbuatan berkenaan bukan si pelakunya. Beliau mensifatkan perbuatan itu sebagai kufur tetapi tidak melabelkan pelakunya sebagai kafir. Fokus beliau ialah pada perbuatan, bukan orang berkenaan.

4. Sikap yang sama juga boleh diaplikasikan dalam memberi hukuman lain e.g melabelkan sesuatu sebagai kefasikan dan kejahatan dan mengelak dari melabelkan orang berkenaan kerana Allah taala melarang memberi penggilan-panggilan yang buruk dalam surah Al-Hujurat : 11.

5. Demikianlah adab dan sikap seorang Muslim. Secara dasar, dia sentiasa berusaha membenci dan menolak perbuatan yang kufur, fusuq (kefasikan) dan munkar tetapi memelihara diri dari menyerang peribadi yang melakukannya. Menta’yin (mengkhususkan) sesuatu sifat seperti kafir dan fasik kepada individu adalah sesuatu yang tidak dianjurkan oleh Islam.

4. Dalam hadits kedua dan ketiga terdapat pengajaran bahawa penggunaan lafaz kufur dalam dalil-dalil syara’ tidak memberi maksud perbuatan berkenaan mengeluarkan seseorang dari agama Islam kerana semua para ulama sepakat bahawa tidak berlaku baik terhadap orang tua, tidak menyebabkan seseorang itu terkeluar dari agama. Bahkan Allah taala sendiri masih mensifatkan dua kelompok Muslim yang saling berperang antara satu sama lain sebagai golongan yang masih beriman, sebagaimana yang dinyatakan dalam surah Al-Hujurat : 9. Ia sebagai penerangan bagi hadits yang ketiga.

5. Oleh itu juga kita perlu berhati-hati dalam mengaplikasikan dalil-dali syara’ yang merujuk sesuatu perbuatan sebagai kufur. Dalam hal ini Ibn `Abbas mengemukakan satu konsep ‘kufr duna kufrin’ – kufur yang lebih rendah dari kekufuran yang sebenar kerana tidak terkeluar dari agama.

6. Dengan ini juga mengajar kita bahawa perbuatan-perbuatan yang kufur di sisi syara’ juga bukanlah semuanya sedarjat. Sebagaimana iman mempunyai pelbagai cabang dan tingkatan, begitulah juga kekufuran. Apabila kita memahami hakikat ini, maka hendaklah dia meletakkan setiap darjat kekufuran itu pada hukum dan layanan yang sesuai, bukan semuanya disamaratakan sahaja.

Dipetik dari buku Sampaikan Daripadaku… Klik di sini untuk maklumat buku.