Ibn Abbas r.a berkata “Ada dua wanita yang bekerja menjahit kulit di satu rumah. Salah seorang dari mereka keluar setelah mencucuk jarum di tapak tangan yang satu lagi. Lalu membuat dakwaan ke atas wanita berkenaan (yang mencucuk). Perkara itu dibawa kepada Ibn Abbas. Ibn Abbas berkata ‘Rasulullah s.a.w bersabada ‘Jika semua aduan orang diterima begitu sahaja, pasti akan hilang harta dan darah orang lain’.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
Umm Salamah, isteri Nabi s.a.w berkata Rasulullah s.a.w mendengar suara pertengkaran di muka pintu biliknya lalu beliau keluar kepada mereka dan bersabda ‘Sesungguhnya aku seorang manusia, dan kadangkala dua orang yang berbalah datang kepadaku, mungkin yang satu lebih petah dari lawannya dalam berhujah, sehingga saya kira dialah yang benar dan aku memenangkannya. Maka siapa yang aku menangkan dengan mengambil hak seorang Muslim, maka itu bagaikan mendapat potongan api neraka yang aku berikan kepadanya, terserah kepadanya samada hendak mengambil atau menolaknya.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim. Rujuk kitab Al-Lu’lu’ Wa Al-Marjan, hadits 1113 dan 1114.)
Pelajaran
1. Sering kali kita akan berhadapan dengan perbalahan atau aduan seorang terhadap seorang yang lain antara manusia dalam berurusan dengan masyarakat. Dalam hal ini, hadits ini mengajar prinsip mendengar hujah kedua belah pihak sebelum membuat apa-apa keputusan atau kesimpulan dalam sesuatu isu atau perkara.
2. Membuat hukum atau kesimpulan dalam sesuatu perkara tanpa mendengar penjelasan dari pihak yang lain atau memberi pelung untuk yang lain berhujah adalah satu kesalahan dan kezaliman. Kita hendaklah menjauhi tabiat dan sikap sedemikian.
3. Dalam hadits kedua, Rasulullah s.a.w mengajar kita agar berhukum berdasarkan hujah yang zahir atau bukti yang ada. Kita tidak boleh berhukum atau membuat kesimpulan berdasarkan spekulasi atau andaian. Rasulullah tetap berhukum dengan cara sedemikian, walaupun kemungkinan hukum atau kesimpulan yang dibuat itu salah kerana pihak yang dimenangkan adalah seorang yang pandai berhujah dan berdebat.
4. Bukan satu kecelaan ke atas kita yang silap dalam berhukum atau membuat kesimpulan kerana berpegang dengan hujah yang zahir atau bukti yang ada. Jangan sekali-kali kebimbangan untuk melakukan kesilapan menyebabkan kita menggunakan cara-cara yang tidak benar dalam menentukan kebenaran.
5. Berdebat dan berhujah adalah sebahagian dari asam garam tugas dakwah. Hak yang diperolehi kerana petah berhujah dan berdebat, bukan kerana kebenaran, akan merupakan azab kerana dia sebenarnya telah diberikan sebahagian dari api neraka. Jangan terlalu berbangga dan bergembira apabila menang dalam berhujah dan berdebat kerana ia tidak bermakna seseorang itu benar atau mulia di sisi Allah taala.
6. Kita hendaklah beringat bahawa manusia boleh diperdaya dengan kepetahan lidah tetapi Allah taala maha mengetahui dan Dia adalah sebaik-baik hakim.
Dipetik dari buku Sampaikan Daripadaku… Klik di sini untuk maklumat buku.