Rasulullah s.a.w bersabda kepada Umar apabila melihatnya membaca kitab Injil
“Adakah kau termasuk orang-orang yang bingung dan ragu-ragu wahai anak Al-Khattab?Demi Tuhan yang diriku berada di tangannya. Sesungguhnya aku datang kepada kamu dengannya dalam keadaan putih bersih. Janganlah kamu tanya mereka tentang sesuatu pun. Ditakuti mereka itu menceritakan perkara yang hak tetapi kamu menuduhnya dusta atau pun mereka bercerita dengan cerita batil maka engkau membenarkan kata-katanya. Demi Tuhan yang mana diriku berada di dalam kekuasaanNya, sekiranya Nabi Musa masih hidup, pasti dia juga harus mengikutiku.” (Riwayat Ahmad)
“Sampaikanlah dariku walau satu ayat, dan ceritakanlah tentang Bani Israil, tidak mengapa dan barangsiapa mendustakan terhadap diriku secara sengaja maka hendaklah dia sediakan tempat duduknya di dalam neraka.” (Riwayat Al-Bukhari)
Pelajaran
1. Walau pun media dakwah telah berkembang dengan pesat, namun sehingga kini cerita masih lagi mempunyai tarikan bagi masyarakat, baik di kalangan orang muda atau tua. Sebab itulah juga kita dapati Al-Quran menggunakan pelbagai cerita bagi menyampaikan pengajaran kepada manusia.
2. Dalam keghairahan aktivis dakwah untuk menarik hati masyarakat melalui bercerita, hendaklah dia berhati-hati agar tidak tercebur dalam kesilapan menyebarkan cerita-cerita Israiliyat yang bercanggah dengan ajaran Islam dan bersifat bohong.
3. Perkara ini seringkali tidak disedari oleh aktivis dakwah kerana sebahagian dari cerita-cerita itu sudah amat popular diketahui sehingga disangka benar dan wajar dan sebahagian pula terdapat dalam kitab-kitab tafsir atau kisah-kisah nabi sehingga disangka sahih.
4. Walau pun hadits di atas membenarkan aktivis dakwah menyampaikan cerita dari Bani Israil namun keharusan itu tidak bersifat mutlak. Sebaliknya para ulama menggariskan batas-batas keharusan berkenaan iaitu:
a. Ia hendaklah bukan satu pembohongan. Oleh itu, ia hendaklah berdasarkan fakta yang benar kerana Islam melarang bercakap bohong dan melarang pula menyandarkan sesuatu yang tidak benar kepada Rasulullah s.a.w.
b. Cerita berkenaan tidak boleh mempunyai sesuatu yang bercanggah dengan prinsip Islam seperti prinsip kemaksuman para anbiya. Maka cerita kononnya nabi Daud pernah melihat seorang isteri pembesarnya mandi, lalu merasa ghairah terhadapnya sehingga dia mengirimkan pembesar berkenaan ke medan perang agar terbunuh dalam peperangan untuk mengahwini isteri berkenaan adalah haram kerana bercanggah dengan kesucian para anbiya.
c. Cerita berkenaan hendaklah bermanfaat dan menyumbang kepada kebaikan manusia bukan hanya untuk hiburan dan menyedapkan pendengaran seperti cerita saiz kapal nabi Nuh, jenis binatang-binatang di dalam kapal berkenaan. Apakah sumbangan cerita berkenaan dalam pembangunan agama seorang Muslim?
d. Disampaikan sesuai dengan konteks dan keadaan. Di dalam hadits di atas Rasulullah s.a.w menegur Umar r.a kerana membaca Injil yang mengandungi banyak Israiliyat. Para ulama mengatakan bahawa larangan berkenaan berlaku di awal Islam ketika iman umat Islam masih belum lagi mantap. Setelah keadaan berubah, lalu dibenarkan sebagaimana yang dinyatakan dalam hadits di atas juga.
e. Sekiranya cerita berkenaan berstatus Israiliyat ia hendaklah dinyatakan agar ia tidak disalahtangap sebagai satu hadits.
5. Sebenarnya umat Islam tidak memerlukan kisah-kisah Israiliyat untuk memahami agamanya, namun realitinya kisah-kisah berkenaan sering kali tejumpa di pelbagai media. Hatta di kitab-kitab tafsir dan buku-buku para ulama. Oleh itu, apabila pendakwah bertemu dengan cerita-cerita yang menarik mengenai para anbiya, umat-umat dahulu dan perkara-perkara ghaib pastikanlah akan status cerita berkenaan dan kesahihannya.
6. Menyampaikan cerita-cerita Israiliyat yang bercanggah dengan ajaran agama adalah dilarang kecuali dinyatakan kedudukan cerita berkenaan dan untuk tujuan pengkajian dan bukan sebagai hujah.
Dipetik dari buku Sampaikan Daripadaku… Klik di sini untuk maklumat buku.