Pelajaran 75 – Jangan Memaksa Selera Peribadi Ke Atas Orang Lain

Ibn Abbas meriwayatkan dari Khalid b. Al-Walid bahawa dia pernah masuk bersama Rasulullah s.a.w ke rumah ibu saudaranya, Maimunah binte Al-Harits. Dia telah menghidangkan kepada Rasulullah s.a.w daging biawak yang dibawa oleh ahli keluarganya dari Najd. Kebiasaan Rasulullah s.a.w ialah beliau tidak mahu memakan sesuatu sebelum mengetahui apa yang akan dimakannya itu. Kaum wanita yang ada ketika itu berpakat untuk tidak memberitahunya agar mereka dapat melihat bagaimana Rasulullah s.a.w merasa hidangan itu. Apabila beliau bertanya ‘Daging apa ini?’ dan beliau pun tahu, beliau membiarkan hidangan itu dan tidak menyentuhnya. Khalid bertanya ‘Adakan ini haram?’ Rasulullah s.a.w bersabda ‘Tidak. Ia hanya bukan makanan kaumku. Maka aku tidak memakannya.’ Khalid berkata ‘Aku lalu ambil hidangan itu dan memakannya sedangkan Rasulullah s.a.w melihat.’ (Riwayat Al-Turmuzi)

Pelajaran

1. Antara pengajaran penting bagi kita dari hadits ini ialah berkaitan sikap Rasulullah s.a.w terhadap makanan yang tidak memenuhi selera dan citarasanya tetapi tidak menghalang sahabatnya Khalid yang mahu memakannya.

2. Walau bagaimana sekalipun tinggi kedudukan seorang itu ia tidak mempunyai kuasa untuk mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah taala kepada manusia, walau pun perkara yang halal itu tidak memenuhi citarasanya. Sesuatu yang mubah itu hanya dihalang jika ianya membawa mudarat atau menjejaskan maslahat di sisi syara’.

3. Rasululullah s.a.w tidak memaksakan citarasa dan seleranya kepada Khalid dalam persoalan memakan biawak. Maka dalam membimbing masyarakat untuk melakukan dan meninggalkan sesuatu, kita hendaklah berhati-hati agar tidak menerapkan citarasa, selera dan nilai peribadi kita ke atas orang lain atau menuntut orang lain untuk menerima citarasa, selera dan nilai yang dipegang kita sehingga menjadikan sesuatu yang mubah di sisi syara’ menjadi seperti satu perkara yang terlarang atau satu kewajiban yang mesti dilakukan.

4. Hatta dalam perkara-perkara yang sudah pasti dianjurkan oleh syara’ sekalipun seperti melakukan puasa Isnin dan Khamis dan solat-solat nawafil (sunat), kita tidak boleh ‘impose’ kegemaran kita melakukan ibadah berkenaan ke atas orang lain. Apa yang ia boleh lakukan hanyalah targhib (galakan).

Apatah lagi dalam perkara-perkara yang harus seperti memakai songkok atau tidak, memakai baju Melayu atau baju kemeja. Mereka yang tidak memakai songkok atau lebih gemar memakai baju kemeja dari baju Melayu tidak boleh menjadikannya sesuatu yang piawai (standard) bagi orang lain, demikianlah juga sebaliknya.

5. Kita perlulah berhati-hati bahawa disebalik usahanya menuntut orang lain melakukan sesuatu yang dia inginkan atau meninggalkan sesuatu yang dia tidak suka, terselit disebaliknya sifat-sifat mazmumah seperti perasaan diri lebih baik dari orang lain, orang lain kurang wara’ darinya, dirinya lebih tahu manakala orang lain jahil, degil dengan pandangan sendiri, sempit dada dan lain-lain. Pepatah Melayu ada mengingatkan agar tidak ‘tepuk air di dulang, [sehingga] terpercik ke muka sendiri’ dan jangan ‘meludah ke langit, [akan] jatuh ke muka sendiri’ juga.

Dipetik dari buku Sampaikan Daripadaku… Klik di sini untuk maklumat buku.