Abu Sa`id Al-Khudri r.a berkata “Saya telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda (yang bermaksud);
“Akan keluar di antara kamu satu kaum, kamu akan merasa rendah (sedikit) solatmu jika dibanding dengan solat mereka dan sedikit puasamu bila dibanding dnegan puasa mereka serta sedikit amalmu jika dibanding dengan amal mereka, mereka membaca Al-Quran tetapi tidak lebih dari tenggorokan mereka, mereka keluar dari agama bagaikan anak panah terlepas dari busarnya, jika dilihat di mata anak panah tidak terdapat apa-apa, juga di bulunya tidak terdapat apa-apa. Ia belumba-lumba dalam mencapai ketinggian.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim. Rujuk kitab Al-Lu’lu’ Wa Al-Marjan, hadits 641)
Ali r.a berkata “Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda (yang bermaksud);
“Akan datang di akhir zaman satu kaum, muda-muda usianya, kurang sihat berfikirnya. Mereka itu berdalilkan dari Al-Quran dan hadits. Mereka keluar dari dari Islam sebagaimana anak panah terlepas dari busarnya. Iman mereka tidak lebih dari tenggorokan. Maka di mana sahaja kalian mendapatkan mereka, bunuhlah mereka kerana membunuh mereka akan berupa pahala bagi pembunuhnya di hari Kiamat.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim. Rujuk kitab Al-Lu’lu’ Wa Al-Marjan, hadits 643)
Pelajaran
1. Hadits pertama mengajar kita bahawa kebenaran dakwah seseorang itu dinilai kepada kefahamannya terhadap agama yang diasaskan atas dalil yang betul serta metodologi pentafsiran agama yang diikuti oleh para ulama yang benar.
2. Kebenaran sesuatu dakwah bukan terletak kepada semata-mata keperibadian mereka yang menyampaikannya dakwah berkenaan dari sudut banyak dan elok amalannya kerana akan ada di satu masa golongan yang mempunyai amalan yang banyak dan keperibadian yang hebat tetapi dakwahnya adalah menyeleweng. Bahkan mungkin sahaja mengeluarkan seseorang dari agama selaju anak panah keluar dari busarnya.
3. Janganlah cepat kabur mata melihat kehebatan amalan seseorang, lalu terus mempercayainya. Jangan pula mudah hilang keyakinan untuk berdebat atas kesalahfahaman seseorang dalam agama kerana kehebatan amalannya.
4. Bukan tujuan di sini untuk mengatakan tidak perlu bagi aktivis dakwah untuk memperbanyakkan amalan. Aktivis dakwah bukan hanya perlu mempunyai kefahaman yang betul terhadap agama tetapi ia juga perlu untuk mencontohi Rasulullah s.a.w dalam memperbanyakkan beramal. Apa yang hendak dipertegaskan di sini ialah prinsip menta’silkan dakwah (mengasaskan dakwah atas dasar yang betul) iaitu dakwah yang pertama-tama sekali dita’silkan (didasarkan) atas ilmu dan hujah, bukan atas peribadi dan amal zahir.
5. Hadits-hadits ini juga sepatutnya menjadi peringatan kepada aktivis dakwah agar kekal merendah diri walau pun sebanyak atau sebaik mana amalannya kerana kesemua itu bukan hujah atas kebenaran kefahamannya atau ketinggian dirinya dari mereka yang dilihat seolah-olah kurang beramal. Aktivis dakwah semestinya menjadi contoh dalam beramal tetapi tidak menjadikannya sebagai hujah ke atas orang lain atau menyebabkannya merasa tinggi dari yang lain kerana hadits ini menyatakan secara jelas bahawa manusia yang banyak dan hebat amalannya pun boleh menyeleweng dan celaka di sisi Allah taala. Di dunia pula mereka layak diperangi.
6. Hadits kedua pula menjelaskan bahawa setakat berhujah dengan Al-Quran dan As-Sunnah dalam pendirian dan perbuatan juga tidak menjadikan seseorang itu benar kerana Al-Quran dan As-Sunnah itu bukan hanya setakat difahami begitu sahaja. Sebaliknya ia memerlukan kaedah-kaedah tertentu yang telah digunapakai oleh para sahabat dahulu dan dibangunkan oleh para ulama silam.
7. Jangan mudah berhujah dengan Al-Quran dan As-Sunnah dalam menegakkan pendirian tetapi pastikan samada istidlal (cara mengambil dalil) yang dilakukan itu benar sehingga menjadikan hujahnya juga benar. Oleh itu, jangan pula mudah terpedaya dengan sebutan ayat-ayat Al-Quran dan hadits dari mulut seseorang tetapi haruslah dipastikan samada dalil berkenaan benar, hadits yang dinyatakan itu sahih dan istidlalnya betul.
8. Oleh kerana hadits kedua ada menyatakan bahawa mereka terdiri dari anak-anak muda, maka berhati-hatilah para aktivis dakwah muda dan berhati-hatilah dengan semangat para aktivis dakwah muda.
9. Kesederhanaan itu terbina dengan gabungan semangat anak muda dan kebijaksanaan orang tua.
Dipetik dari buku Sampaikan Daripadaku… Klik di sini untuk maklumat buku.