Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w memaklumkan kematian Najasyi pada hari kematiannya. Beliau keluar bersama para sahabat ke tempat solat, menyusun barisan dan bertakbir empat kali ke atas Najasyi. (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
Jabir meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w berkata pada ketika Najasyi meninggal dunia ‘Telah meninggal hari ini seorang lelaki yang soleh. Berdirilah kamu semua dan bersolatlah bagi saudara kamu Ashamah.’ (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
Anas meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersolat ke atas Najasyi ketika dimaklumkan mengenai kematiannya. Lalu dikatakan kepadanya ‘Wahai Rasulullah, adakah kita bersolat ke atas seorang hamba berbangsa Habsyah?’. Lalu Allah `Azza Wa Jalla menurunkan (yang bermaksud) ‘Sesungguhnya sebahagian dari kalangan Ahli Kitab ada yang beriman dengan Allah (Ali Imran : 199).’ (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
Pelajaran
1. Hadits-hadits di atas menjadi sandaran pandangan para ulama bahawa Najasyi, raja Habsyah beragama Kristian yang melindungi para sahabat yang berhijrah ke sana, memeluk agama Islam. Jika beliau bukan seorang Muslim, tidak mungkin Rasulullah s.a.w melakukan solat jenazah ke atasnya.
2. Apa yang menarik juga ialah Rasulullah s.a.w mensifatkan beliau sebagai seorang yang soleh dan beliau mendapat pujian pula oleh Allah taala sedangkan beliau tidak berupaya untuk melaksanakan Islam sepenuhnya sebagaimana umat Islam di Madinah disebabkan majoriti pembesar dan rakyatnya masih beragama Kristian.
3. Ini memberi pengajaran kepada kita bahawa konsep mengubah kemunkaran dengan tangan (kuasa) tertakluk juga pada kemampuan yang ada, kondisi yang membolehkan serta pertimbangan maslahat dan mudarat.
4. Walaupun Najasyi tidak melaksanakan syariat yang sempurna di negara yang diperintah oleh beliau sendiri, namun Rasulullah s.a.w tetap memuji dan mensifatkannya sebagai seorang yang soleh. Hal ini adalah kerana Rasulullah s.a.w mengakui akan keterbatasan dan hambatan yang beliau hadapi.
5. ‘Kekurangan’ beliau itu juga tidak menyebabkan Rasulullah s.a.w lupa akan jasanya yang melindungi para sahabat yang berhijrah ke negerinya.
6. Kisah ini juga mengajar kita bahawa Islam hanya menuntut umatnya untuk mengamalkannya setakat kemampuan yang ada dan mengikut kondisi yang membenarkannya.
7. Darjat seorang Muslim yang hidup di negara bukan Islam sehingga menyebabkan ia tidak berupaya mengamalkan Islam yang sempurna tidak semestinya lebih rendah di mata Allah taala dibanding dengan mereka yang hidup di negara Islam, asal sahaja ia terus berusaha untuk mengubah keadaan kepada yang lebih baik.
8. Seseorang itu mendapat syurga bukan kerana ia hidup dan mati di negara Islam tetapi berdasarkan amal yang ia lakukan untuk agamanya.
9. Mengakui akan keterbatasan diri dan hambatan realiti adalah sesuatu yang diakui oleh Islam dan ia adalah petanda kebijaksanaan seseorang. Berusaha diluar kemampuan adalah pelampauan. Tidak mengambil kira realiti boleh menyebabkan mudharat yang dicela. Kita hendaklah berhati-hati dalam persoalan ini dan memohon kepada Allah taala selalu agar diberi petunjuk yang benar dalam membuat penilaian.
10. Sesiapa yang mencontohi Najasyi dalam iman dan amalnya, maka keberadaannya di bawah sistem yang bukan Islam tidak menjadikannya tercela.
11. Insan seperti Najasyi wujud sepanjang zaman. Adalah menjadi kebijaksanaan kita untuk mencari dan memanfaatkan mereka.
Dipetik dari buku Sampaikan Daripadaku… Klik di sini untuk maklumat buku.