Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud
“Seorang mukmin itu seumpama lebah. Dia tidak memakan kecuali yang baik dan tidak meninggalkan sesuatu kecuali yang baik pula.” (Riwayat At-Tobrani dan Ibn Hibban. Rujuk Sahih Al-Jami’ As-Saghir, no. 5847)
Pelajaran
1. Hadits ini mengajar satu nilai hidup dan sikap yang lahir dari nilai tersebut yang perlu ada bagi seorang mukmin iaitu cinta kepada kebaikan yang menatijahkan pula tindakan-tindakan yang menghasilkan kebaikan di mana pun dia berada.
2. Sesungguhnya seorang Muslim yang sepatutnya berperanan sebagai agen perubahan adalah kelompok manusia yang paling utama untuk menghayati anjuran dalam hadits ini.
3. Terdapat dua aspek dalam hadits ini. Pertama ialah nilai suka kepada kebaikan dan yang kedua ialah amal yang menatijahkan kebaikan. Di sini hanya aspek kedua yang ingin disentuh.
4. Ia menganjurkan sikap dalam diri kita agar menjadikan amal untuk dakwah sebagai imej yang kita bawa ke mana pun kita pergi. Ertinya, walau di mana pun kita berada, baik bersendirian atau berkumpulan, kita akan bekerja untuk dakwah tanpa diarah kerana sikap itu telah sebati dalam diri kita. Ia menjadi naluri dan tabiat semula jadi kita. Sama seperti lebah yang memainkan peranannya secara semulajadi (membantu proses pendebungaan bunga-bunga dan pokok-pokok dan menghasilkan madu).
5. Seorang Msulim hendaklah sentiasa fokus kepada amal, tanpa menjadikan polemik dan ‘politik’ menghambat usahanya. Apabila disebut sahaja namanya, dia dikenali sebagai seorang yang sentiasa membuat sumbangan yang bermakna dan berkesan, boleh dipercayai dan boleh diharap (reliable). Kadangkala, apabila dia tidak serasi dengan satu suasana, dia akan mewujudkan suasana yang lain atau mencari satu suasana lain yang membolehkan dia kekal efektik bagi tugas dakwahnya.
6. Meneliti dengan lebih mendalam, hadits itu juga seharusnya menatijah satu azam dalam diri kita untuk berusaha meninggalkan warisan yang unggul (legacy) di mana pun kita berada atau paling kurang satu seumur hidup kita. Konsep ihsan bukan hanya menuntut kita meninggalkan kebaikan tetapi kebaikan yang unggul. Selain itu, kita juga dituntut untuk berlumba-lumba dengan yang lain dalam meninggalkan kebaikan yang paling unggul, bukan kerana mencari nama dari usaha itu tetapi kerana penghayatan kepada nilai-nilai yang Islam anjurkan kepadanya.
7. Dari sini juga timbul satu gagasan penting iaitu Muslim yang ‘mencipta sejarah’ dengan sumbangan-sumbangannya yang bermakna.
8. Namun perlu juga diingat bahawa kualiti madu yang dihasilkan oleh lebah bergantung pada sumber yang menghasilkan madunya itu. Oleh itu, untuk meninggalkan warisan (legacy) dan ‘mencipta sejarah’, kita haruslah memastikan ‘sumber-sumber’nya; guru yang mendidik, ilmu yang diperolehi, pentarbiyahan yang membentuk diri kita, rakan-rakan seperjuangan yang bersama kita, jamaah yang kita bergabung dengannya dan lain-lain.
Dipetik dari buku Sampaikan Daripadaku… Klik di sini untuk maklumat buku.