Al-Miqdad bin Al-Aswad r.a bertanya kepada Rasulullah s.a.w “Apakah pendapatmu jika aku berhadapan dengan seorang lelaki kafir yang berperang. Dia menetak salah satu dari tanganku dengan pedangnya sehingga ia terpotong. Dia kemudian berlindung di belakang pokok dan berkata “Aku memeluk Islam kerana Allah.” Apakah boleh aku bunuh dia, wahai Rasulullah?” Jawab Rasulullah s.a.w “Jangan kau bunuh dia.” Al-Miqdad berkata “Tapi dia telah memotong salah satu dari tanganku, baru kemudian menyatakan keislamannya.” Rasulullah s.a.w bersabda “Jangan bunuh dia. Jika kau bunuh dia, nescaya dia akan mengambil tempat kau sebelum kau membunuhnya (Muslim) dan kau akan mengambil tempat dia sebelum dia menyatakan kata-kata yang ia ucapkan itu (Kafir).” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim. Rujuk kitab Al-Lu’lu’ Wa Al-Marjan, hadits no. 61)
Abdullah b. Umar dan Abu Musa Al-Asy`ari r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud;
“Siapa yang mengangkat senjata ke atas kami, maka dia bukan dari golongan kami.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim. Rujuk kitab Al-Lu’lu’ Wa Al-Marjan, hadits no. 63, 64)
Pelajaran
1. Kedua-dua hadits ini memberi hukum haram membunuh dan menumpahkan darah seorang Muslim tanpa sebab yang dibenarkan oleh syara’. Pembunuhan hanya boleh dilakukan berdasarkan sebab-sebab yang jelas dan tiada kesamaran atau keraguan ke atasnya sama sekali. Sehinggakan Rasulullah s.a.w memerintahkan agar kesamaran (benefit of the doubt) itu berpihak kepada seorang kafir yang memerangi seorang Muslim lalu mengucapkan keislamannya di bawah ancaman pedang. Dilarang seorang Muslim membunuh seorang kafir yang melakukan sedemikian, walaupun ketika berada di tengah peperangan dan baru sahaja tadi dia melukai si Muslim tadi.
2. Atas dasar memelihara darah seorang Muslim, maka tindakan mengangkat senjata ke atas seorang Muslim atau masyarakat Islam dalam apa jua konflik dan krisis adalah sesuatu yang amat ditegah oleh Islam sebagaimana yang dinyatakan dalam hadits kedua. Maka sebab itulah para ulama dahulu amat berhati-hati dan wara’ dalam persoalan perlawanan bersenjata ke atas kelompok Muslim yang lain samada dalam bentuk sebuah pemerintah, pemberontak, lawan politik dan lain-lain.
3. Kefahaman seperti ini amat penting pada hari ini yang mana saban hari kita berhadapan dengan insiden-insiden pengeboman dan penyerangan atas nama jihad dan Islam yang melibatkan nyawa umat Islam yang lain sebagaimana yang berlaku di Saudi Arabia, Turki, Moroko, Iraq dan satu masa dahulu di Mesir.
4. Sekiranya dalam situasi seperti yang dinyatakan dalam hadits pertama, manfaat keraguan perlu diberi kepada lelaki berkenaan dan sedikit kesamaran mengenai niat memeluk Islam dalam situasi yang ekstrem seperti itu tetap menjadi penghalang untuk membunuhnya, apatah lagi dalam situasi yang melibatkan orang awam yang tidak dikenali akan dirinya dan dalam situasi yang kurang ekstrem dari itu.
5. Tanpa bertujuan untuk mensabitkan perbuatan pengeboman dan penyerangan yang berlaku kepada mana-mana pihak, namun kefahaman terhadap kedua hadits di atas membantu kita untuk menilai pandangan mereka yang membenarkan perbuatan sedemikian dan dengan itu juga membantu untuk membuat pendirian samada untuk menyokong atau mengutuk perbuatan berkenaan.
6. Hadits pertama juga mengajar kita untuk sentiasa bersifat objektif dalam perjuangan dan tidak membenarkan emosi menguasai diri. Kita harus tetap akur untuk membebaskan seorang yang dahulunya kafir dan telah melukainya kerana telah mengucap keislamannya. Perjuangan tidak boleh dijalankan atas dasar marah dan dendam. Ini pastinya memerlukan disiplin yang tinggi dan sememangnya satu perkara yang sukar. Namun kita haruslah perihatin bahawa disiplin seperti ini adalah penting. Kegagalan untuk berdisiplin dengan sifat objektif akan menatijahkan kemudaratan yang besar kepada dakwah dan diri kita. Dalam hadits pertama, Rasulullah s.a.w menyatakan jika sahabat berkenaan terus membunuh lelaki itu, nescaya dia telah jatuh dalam ‘kekufuran’ kerana menumpahkan darah seorang Muslim. Apakah mudarat yang lebih besar bagi seorang Muslim dari mudarat jatuh dalam kekufuran?
Dipetik dari buku Sampaikan Daripadaku… Klik di sini untuk maklumat buku.