Dendam Atas Nama Islam

Insiden penyerbuan dan tahanan ke atas sebuah sekolah di Beslan pada 1 September 2004 yang mengorbankan nyawa orang-orang awam, terutamanya kanak-kanak pasti menyentuh perasaan mereka yang mempunyai kemanusiaan dalam dirinya. Pemimpin pemberontak Chechen, Shamil Basayev, dilaporkan telah mengaku bertanggungjawab ke atas serangan berkenaan. Ini bukan kali pertama tindakan sedemikain dilakukan olehnya. Dalam insiden-insiden yag lalu, beliau menjustifikasikan tindakannya sebagai membalas dendam ke atas kekejaman tentera Rusia terhadap bangsa Chechen.

 

Dalam semua serangan pengganasan yang sengaja disasarkan kepada orang awam seperti di Beslan dan serangan 911, si pelaku menjustifikasikan tindakannya dengan hujah bahawa orang-orang awam berkenaan turut bertanggungjawab kerana membayar cukai dan mengundi pemerintah yang telah berlaku zalim. Namun, bagaimana boleh hujah berkenaan dikaitkan dengan kanak-kanak seusia tujuh tahun seperti yang berlaku di Beslan? Dalam bentuk apa kanak-kanak ini boleh dipertangunggjawabkan atas perbuatan pemerintah mereka?

 

Islam menganggap kanak-kanak pada usia sedemikian sebagai golongan yang bukan mukallaf. Iaitu kelompok yang belum lagi dibebankan dengan kewajiban-kewajiban agama dan tidak pula boleh dipertanggungjawabkan sepenuhnya ke atas tindakan mereka sehingga mencapai usia baligh dan berakal.

 

Dalama kes Beslan, perancangan rapi dan pemilihan sasaran oleh si pelaku pengganasan memberi petanda bahawa terkorbannya kanak-kanak bukanlah sebagai sesuatu yang tidak diniatkan atau ‘collateral damage’ kerana si pelaku pasti tahu bahawa di sekolah berkenaan sememangnya ada kanak-kanak yang tidak berdosa. Oleh itu, pemilihan sekolah berkenaan sehingga mengakibatkan korban yang besar dari kalangan orang awam dan kanak-kanak tidak lain dan tidak bukan merupakan sebahagian dari objektif biasa pelaku pengganasan iaitu untuk menarik perhatian dunia dan media.

 

Jika kita menilai pernyataan-pernyataan pelaku tindakan pengganasan, kita akan dapati bahawa nilai disebalik perbuatan mereka ialah untuk membalas dendam. Mereka semua bercakap dengan satu bahasa iaitu ‘kita akan membunuh kamu; lelaki, perempuan dan kanak-kanak sebagaiamana kamu telah membunuh orang-orang kami di Palesin, Afghanistan, Iran, Chechnya, Kashmir, Bosnia, Kosovo dan lain-lain’.

 

Usama bin Laden berkata dalam fatwa di bawah nama Fron Jihad Menentang Yahudi dan Kaum Salib (Al-Quds, 23 February 1998) “…setelah mengakibatkan kehancuran ke atas rakyat Iraq oleh pakatan Salib- Zionis, dan setelah mengakibatkan jumlah korban yang besar yang telah menjangkau 1 juta nyawa….. Amerika sekali lagi lagi mahu mengulangi pembunuhan-pembunuhan beramai-ramai seolah-olah mereka tidak berpuas hati dengan boikot ekonomi setelah berakhirnya perang (Teluk 1) yang mengkibatkan perpecahan dan kemusnahan Iraq… Atas dasar itu dan sejajar dengan perinah Allah taala, kami mengeluarakn fatwa kepada semua umat Islam, membunuh semua rakyat Amerika dan sekutunya, samada orang awam atau tentera, adalah menjadi kewajiban setiap Muslim yang boleh melakukannya di mana-mana negara yang membolehkan…”

 

Usama juga dilaporkan menulis surat kepada rakyat Amerika (The Guardian, 24 November 2002) yang mengandungi “Darah yang mengalir dari rakyat Palestin mestilah ditebus. Anda perlu tahu bahawa rakyat Palestin tidak menangis sendirian, wanita-wanita mereka tidak menjadi janda sendirian dan anak-anak mereka tidak menjadi yatim sendirian. Allah taala telah mengharuskan dan memberi pilihan untuk membalas dendam. Oleh itu, jika kami diserang, kami mempunyai hak untuk menyerang balik. Sesiapa yang menghancurkan kampung-kampung dan bandar-bandar kami, kami mempunyai hak untuk menghancurkan kampung-kampung dan bandar-bandar mereka. Sesiapa yang telah mencuri kekayaan kami, kami mempunyai hak untuk menghancurkan ekonomi mereka dan sesiapa yang telah membunuh orang awam kami, kami mempunyai hak untuk membunuh orang awam mereka.”

 

Hakikatnya, penindasan dan kekejaman ke atas umat Islam bukanlah sesuatu yang baru. Ia telah berlaku banyak kali sepanjang sejarah di tangan Mongol dan kuasa imperialis Eropah. Namun adakah dendam merupakan satu-satunya pilihan bagi umat Islam dalam situasi sedemikian?

 

Jika umat Islam melihat sejarah, mereka akan dapati bahawa di sana terdapat pelbagai contoh-contoh yang lebih mulia dan tindakan-tindakan yang lebih terhormat oleh nabi Muhammad s.a.w dan pahlawan-pahlawan Islam yang lalu, walau pun menghadapi penindasan dan kekejaman.

 

Nabi Muhammad s.a.w dan sahabat-sahabatnya telah ditindas di Mekah selama tiga belas tahun, sehingga mereka terpaksa berhijrah ke Madinah. Semasa tempoh berkenaan, sebahagian dari para sahabat telah disiksa dan dibunuh. Sebahagian dari mereka dirampas hartanya. Permusuhan oleh Quraish di Mekah berterusan walau pun setelah berlaku hijrah. Umat Islam harus berperang dan nyawa pula terkorban dari kalangan mereka. Kota Madinah sendiri pernah dikepung oleh penduduk Mekah.

 

Namun apabila Rasulullah s.a.w berjaya menakluk kota Mekah, beliau tidak mengambil tindakan ke atas penduduk Mekah atas dasar dendam. Rasulullah s.a.w memaafkan Hindun yang telah memotong-motong tubuh pakciknya Hamzah semasa Perang Uhud sedangkan beliau amat bersedih ketika ditunjukkan kadaan tubuh pakciknya itu.

 

Kisah yang sama juga didapati apabila Salahudin Al-Ayubi menawan kembali Baitul Makdis. Dia melarang tenteranya dari membunuh penduduk kota itu, walau pun umat Islam sebelum itu telah dibunuh secara beramai-ramai dengan kejam oleh tentara Salib sebelumnya.

 

Pada dasarnya, Islam tidak mensyariatkan jihad untuk membalas dendam. Ia adalah untuk mempertahankan diri (Al-Baqarah: 40), membela mereka yang tertindas (An-Nisaa’:75) dan memelihara tempat-tempat ibadat (Al-Haj:40).

 

Semua agama, baik Islam atau yang lain, bersetuju bahawa membunuh manusia adalah satu tindakan yang pada dasarnya adalah keji kecuali jika terdapat alasan yang benar. Maka sebab itulah, Islam membataskan keharusan membunuh dalam jihad kepada mereka yang mengangkat senjata semata-mata.

 

Maka jika kita memahami roh agama ini, umat Islam sepatutnya berhat-hati dalam persoalan mengambil nyawa satu manusia yang lain. Namun, para pelaku pengganasan telah mengambil jalan yang berbeza. Mereka telah melonggarkan hukum asal untuk membunuh sesiapa sahaja yang menyumbang kepada perang ke atas umat Islam dengan merujuk kepada beberapa pandangan para ulama dahulu tanpa mengaitkannya dengan roh dari agama Islam itu sendiri.

 

Bagi para pengganas itu, oleh kerana rakyat Amerika membayar cukai yang digunakan untuk membayar gaji anggota tentera dan mengundi pemerintah yang telah berlaku zalim ke atas umat Islam, mereka dihukum sebagai turut bersalah sama seperti mereka yang mengangkat senjata. Sedangkan hakikatnya, rakyat yang berada di bawah pemerintahan Rom dan Parsi sejak dahulu telah membayar cukai kepada kedua empayar berkenaan. Namun, Rasulullah s.a.w tetap tidak membenarkan pembunuhan orang-orang awam.

 

Kesilapan dalam hujah kumpulan pengganas ialah, secara praktiknya, ia telah menghilangkan semua batasan-batasan yang diletakkan bagi menghadkan pembunuhan dalam perang. Tiada nyawa yang tidak boleh dibunuh demi perang. Mereke berpendapat tentera boleh dibunuh kerana penglibatan langsung, orang awam boleh dibunuh kerana penglibatan yang dinyatakan di atas. Jika ada nyawa umat Islam yang terkorrban atau kanak-kanak, mereka akan menganggap bahawa ia harus kerana maslahat umat Islam yang lebih besar atau kerana ‘collateral damage’ yang tidak dapat dielakkan.

 

Gaya pemikiran yang seperti ini, tidak syak lagi, bukanlah sesuatu yang sejajar dengan roh ajaran Islam yang memandangkang keji perbuatan membunuh dan sentiasa berusaha untuk menyempitkan keharusannya. Ia sebenanya adalah salah pentafsiran terhadap Islam.

 

Pelaku pengganasan Muslim mengkritik Barat kerana tidak mematuhi Konvensyen Geneva kerana telah mengakibatkan kematian ribuan nyawa orang-orang awam melalui operasi ketenteraan dan boikot ekonomi. Sedangkan mereka sendiri tidak mahu tunduk dengan konvensyen berkenaan kerana berpendapat bahawa ia adalah sesuatu sistem yang kufur dan tunduk kepada sistem berkenaan akan membawa kepada murtad dari agama.

 

Oleh itu, tiada sesuatu pun yang sebenanya membataskan tindakan para pelaku pengganasan seperti di Beslan dan 911. Mereka tidak mahu tunduk kepada konvensyen umum dan berlonggar-longgar pula dalam keharusan membunuh dari sudut syariah.

 

Ini tidak lain tidak bukan kecuali merupakan bukti akan penyelewengan dalam cara berfikir kelompok berkenaan. Oleh itu, umat Islam hendaklah berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh dengan rayuan emosi yang dibuat oleh mereka. Jalur pemikiran yang seperti ini sebenarnya bukan satu sumbangan untuk agama ini tetapi sebaliknya.

 

Sebenarnya, umat Islam sepatutnya menjadi umat yang akur dan patuh kepada undang-undang antarabangsa berkaitan perang. Walau pun ia dihasilkan oleh manusia tetapi ia sejajar dengan roh Islam yang memandang keji perbuatan membunuh manusia dan berusaha untuk membataskannya.

 

Namun menjadi satu kesilapan jika kita menyimpulkan bahawa Al-Qaeda dan pelaku serangan di Beslan hanyay didorong oleh perasaan dendam semata-mata kerana tindakan pengganasan umumnya wujud berlatarbelakangkan konteks tertentu.

 

Dalam banyak pernyataan yang dibuat, Al-Qaeda memaparkan dirinya sebagai pembela suarat umat Islam yang tertindas. Walaupun Al-Qaeda telah memilih kaedah yang ekstrem dalam menyuarakan suara umat Islam, namun sebahagian dari sungutan umat Islam adalah sesuatu yang bena dan diakui oleh masyarakat antarabangsa seperti penaklukan yang berterusan ke atas tanah-tanah rakyat Palestin, pencerobohan ke atas orang-orang awam Palestin, sikap Washinton yang tidak peduli terhadap pencabulan Israel akan resolusi dan konvensyen antarabangsa dan kekejaman pemerintah Rusia ke atas rakyat Chechen.

 

Insiden di Beslan pula berlatarbelakangkan situasi yang mana rakyat Chechen dipaksa menghadapi perang mutlak oleh musuh yang tidak berpuas hati kecuali setelah mencapai kuasa mutlak ke atas mereka bahkan juga mahu melihat kemusnahan total rakyat Chechen. Persepsi ini bukan tidak berasas sama sekali jika ditinjau pada sejarah penindasan ke atas bangsa Chechen yang panjang oleh empayar Tsar, regim komunis Soviet Union dan pemerintah Rusia hari ini.

 

Selama mana terdapat tindakan ganas dan pembunuhan kejam ke atas rakyat biasa oleh pemerintah yang ada, kumpulan militan akan pasti terus melakukan tindakan yang sama, bukan semata-mata kerana dendam, tetapi sebagai mekanisme untuk menyeimbangkan keadaan. Pada waktu yang sama pula, ia memberi alasan untuk menggunakan ‘perintah Al-Quran’ yang membenarkan kejahatan dibalas dengan kejahatan yang sama.

 

Selain itu, selama mana msarakat antarabangsa terus tidak mampu secara berkesan menawarkan penyelesaian terhadap segala sungutan ke atas kekejaman dan ketidakdilan, mereka yang tertindas akan berusaha sendiri untuk memberdayakan diri mereka sendiri bagi menjamin penakatan bangsa mereka.

 

Oleh itu, tindakan pengganasan seperti di Beslan tidak boleh dihentikana hanya dengan mengalahkan kumpulan yang terbabit. Masalah berkenaan juga tidak dapat diatasi hanya dengan menyanggah nilai disebalik perbuatan berkenaan atau ideology yang menjadi pendorongnya.

 

Dalam hal ini, masalaah ini wujud pada salah pentafsiran terhadap agama dan juga pada konteks yang membolehkan salah pentafsiran itu berlaku.

 

Oleh itu, jawaban bagi masalah ini juga terletak pada tangan mereka yang berkuasa untuk mengatasi sebab-sebab yang dipergunakan oleh kumpulan pengganas kononnya bertujuan untuk membela agama Islam.