Islam Melarang Pelampauan 3

(Nota: Artikel ini dikutip dari buku Kesederhanaan Dalam Islam Dalam Konteks Masyarakat Islam Singapura, terbitan Pergas, 2004)

Erti Pelampauan

Bagi menyempurnakan perbahasan mengenai erti pelampauan, dibawakan disini pandangan ulama mengenai erti pelampauan.

 

Ibn Taimiyah menulis;

 

“Pelampauan (Ghuluw) ialah melebihi batas seperti jika ditambah ke atas sesuatu, dalam memuji atau mencela seseorang yang layak atau seumpamanya.[1]

 

Ibn Hajar mengertikannya pula dengan;

 

“Melebih-lebih dalam sesuatu dan bertegas / keras dalamnya sehingga melampau had.[2]

 

Erti yang sama juga diberikan oleh Imam Asy-Syatibi[3].

 

Secara terperinci, pelampauan di sisi agama boleh dihuraikan sebagai berikut:

 

1.   Pelampauan ialah apabila seseorang itu mentafsirkan nas dengan tafsiran yang ketat dan memberatkan yang bercanggah dengan sifat syara’ yang mudah dan tujuan-tujuan syariat, samada ke atas diri sendiri atau orang lain.

 

2.   Pelampauan ialah apabila seseorang suka mendalami makna dan maksud wahyu yang tidak dituntut ke atas seorang mukallaf.

 

Kedua yang di atas termasuk dalam kelompok Al-Mutanattiun yang disebut dalam hadits.

 

3.   Mewajibkan atas diri atau orang lain apa yang tidak diwajibkan oleh syara dengan tujuan beribadah, walau pun dalam melakukan satu amalan yang dianjurkan oleh Islam.

 

Contoh seperti ini dapat dilihat dalam hadits tiga orang lelaki. Seorang mahu berpuasa dan tidak mahu berbuka, seorang pula mahu berqiyam dan tidak mahu tidur dan seorang pula mahu menjauhi perempuan dan tidak mahu bernikah. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud;

 

“Aku adalah yang paling takut kepada Allah taala dan paling bertakwa di antara kamu tetapi aku puasa dan berbuka dan aku solat dan tidur dan aku berkahwin. Sesiapa yang tidak suka dengan sunnahku, maka dia bukan dari kalanganku.” (Riwayat Al-Bukhari).

 

4.  Mengharamkan perkara-perkara baik yang dihalalkan oleh Allah taala atas niat beribadat sama seperti hadits di atas.

 

5.   Meninggalkan perkara-perkara yang dharuri seperti makan, minum dan tidur.

 

6.  Pelampauan bukan hanya dalam aspek melakukan sesuatu tetapi juga dengan meninggalkan sesuatu.

 

Walau bagaimanapun, yang berikut ini tidak dianggap pelampauan dalam agama.

 

1.  Melakukan sesuatu untuk mencari kesempurnaan. Pelampauan hanya berlaku jika ia menyebabkan kesulitan dan berat ke atas diri. 

 

2.  Berpegang dengan pandangan fiqh yang keras, jika ia dihasilkan oleh ulama yang mujtahid atau mengikuti seorang alim dalam agama. Sebagai contoh berpegang dengan hukum haram terhadap alat-alat muzik yang bertali dan tiupan. Jika pelampauan wujud dalam hal ini, biasanya ia bukan disebabkan oleh pandangan berkenaan tetapi terhadap sikap mereka yang berpandangan berlainan seperti jika seseorang itu mencerca mereka yang berpegang pada pandangan fiqh yang berlawanan. Maka dalam hal ini, pelampauan berlaku pada cercaan bukan disebabkan berpegang dengan pandangan fiqh yang keras.



[1] Dinukil dari Abdul Rahman b.Mu`alla Al-Luwaihiq, Al-Ghuluw Fi Ad-Din Fi Hayat AlMuslimin Al-Mu`asirah, ms 80. Lihat Ibn Taimiyah, Iqtidho’ As-Sirat Al-Mustaqim (tahqiq Nasir Abdul Karim), 1404H, juz 1, ms 289.

 

[2] Dinukil dari Abdul Rahman b.Mu`alla Al-Luwaihiq, Al-Ghuluw Fi Ad-Din Fi Hayat Al-Muslimin Al-Mu`asirah, ms 8I. Lihat Ibn Hajr, Fath Al-Bari, Al-Matba`ah As-Salafiah Wa Maktabatuha, Kaherah, 1380H, juz 13, ms 278.

 

[3] Dinukil dari Abdul Rahman b.Mu`alla Al-Luwaihiq, Al-Ghuluw Fi Ad-Din Fi Hayat Al-Muslimin Al-Mu`asirah, ms 80. Lihat Asy-Syatibi, Al-I`itisom, Dar Al-Makrifah, Beirut, 1405H, juz 3, ms 304.