cyBerita: Lelaman Internet Berita Harian Singapura (8 Sep. 2007)
Hilang kasih sayang timbul benci
Oleh Ustaz Mohamed Bin Ali
ISLAM sebagai ajaran lengkap dan menyeluruh dalam setiap aspek kehidupan manusia sejagat memiliki panduan yang ditetapkan Tuhan bagi menjamin kesejahteraan hidup umatnya di dunia dan akhirat.
Salah satu teras ajaran Islam dalam mengecapi kesejahteraan dan kebahagiaan hidup adalah dengan menanamkan sifat pengasih dan penyayang di dalam diri kita.
Dalam Islam, kasih sayang amat tinggi nilainya. Malah banyak masalah yang berlaku dalam dunia ini akan selesai jika setiap orang memartabatkan nilai kasih sayang yang sedia ada di dalam diri masing-masing.
Dalam dunia kita hari ini, kefanatikan dan kebencian sudah dikenal pasti sebagai sesuatu yang dapat menimbulkan permusuhan dan menjurus kepada keganasan.
Terdapat segelintir masyarakat yang terdiri dari golongan pelampau dan kumpulan tegar sentiasa cuba menanamkan bibit-bibit kebencian dan permusuhan dalam diri umat Islam. Inilah fenomena dan salah satu cabaran utama umat Islam hari ini.
Dengan menanamkan sifat kebencian yang buruk ini, mereka tidak berupaya hidup harmoni dan kasih sayang antara manusia. Di dalam keadaan masakini di mana ramai umat Islam yang hidup sebagai kaum minoriti di merata dunia, perasaan benci semakin mendalam terhadap mereka yang bukan seagama dan juga dalam sistem yang bukan kese luruhannya berpaksikan kepada sistem Islam.
Kenapa kebencian? Apakah yang membuat seseorang itu membenci?
Menurut kamus Oxford, benci sering terhasil daripada perasaan takut dan keinginan untuk melenyapkan mereka yang dianggap tidak sehaluan atau yang dilihat sebagai ancaman kepada kesejahteraan dan kebahagiaan kita.
Perasaan benci dalam diri manusia boleh dibahagikan kepada dua jenis, menurut Erich Fromm, seorang psikologis Jerman.
Jenis pertama merupakan kebencian yang bersebab atau rasional. Ia tercetus apabila seseorang itu merasakan dirinya, kebebasannya atau idea-ideanya terancam. Kebencian jenis ini bertindak untuk melindungi diri kita. Ia akan reda sebaik saja ancaman tadi ditiadakan.
Jenis kedua merupakan kebencian yang tidak rasional. Ia bukan merupakan tindak balas kepada sesuatu ancaman khusus tetapi lahir daripada perwatakan seseorang itu yang bersifat sentiasa sedia memusuhi orang lain. Mereka yang tergolong di dalam kumpulan ini sering menganggap bahawa hanya diri mereka serta buah fikiran mereka yang betul.
Dalam hal ini, ketua yang mendalangi doktrin kebencian memainkan peranan penting untuk menyemarakkan perasaan benci yang berapi-api di kalangan pengikutnya sehinggakan mereka gagal untuk melihat daripada perspektif kemanusiaan dan tegar melakukan keganasan yang melampaui batas.
Ini dapat dilakukan dengan lebih berkesan lagi ke atas golongan belia kerana lazimnya kumpulan ini belum cukup matang dan sering bertindak secara spontan dan beremosi.
PENGGANASAN DAN KEBENCIAN
Pengganasan adalah jenayah yang dilakukan atas dasar perasaan benci. Persekitaran yang memupuk sifat benci, pelampauan dan tiada toleransi akan membuahkan generasi mendatang yang berpotensi menjurus kepada keganasan.
Apakah yang membuat hati seorang pengganas terdorong untuk membenci?
Sebenarnya, kebencian dan sifat pelampau ini terbentuk dalam suasana kehidupan yang terlalu mengongkong dan dipenuhi dengan larangan serta ancaman, bukan kasih sayang, dorongan dan semangat toleransi dan saling memahami.
Sebagai contoh, Dunia Islam kini bergolak dengan gejala pengganasan kerana pesanan-pesanan agama, khutbah-khutbah yang sering dipaksikan atas dasar menakut-na kutkan umat Islam mengenai perkara-perkara yang haram dalam Islam, penyeksaan di neraka serta menyebarluaskan propaganda kekejaman dan perancangan musuh yang bekerja keras untuk menjatuhkan Islam dan melemahkan umat Islam.
Golongan pelampau juga sering membenarkan perasaan benci mereka terhadap orang kafir dengan menggunakan firman-firman Allah swt dalam Al-Quran. Tanpa memahami maksud ayat yang sebenarnya dan merujuk kepada tafsiran para ulama, mereka telah salah memahami ayat-ayat dan menimbulkan permusuhan dan kebencian.
Telah menjadi lumrah dan kehendak Tuhan menciptakan manusia itu daripada berbagai agama, bangsa dan budaya. Namun, kepelbagaian ciptaan Tuhan ini tidak bererti manusia itu harus bermusuhan dan saling membenci kerana perbezaan.
Dalam Surah Al-Mumtahinah ayat 7, Allah swt berfirman: ‘Mudah-mudahan Allah menimbulkan kasih sayang antaramu dengan orang-orang yang kamu musuhi di antara mereka. Dan Allah adalah Maha Kuasa. Dan Allah Maha Pe ngampun lagi Maha Penyayang’. Ayat ini meneguhkan lagi keyakinan kita bahawa bukan setiap dari orang kafir itu adalah musuh kita.
Sifat kasih sayang juga dapat kita taruhkan terhadap mereka yang tidak seagama dan sehaluan dengan kita.
Pada ayat seterusnya dalam surah yang sama, Allah berfirman: ‘Allah tiada melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada meme rangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerangi kamu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan barangsiapa menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim’.
Dalam mentafsirkan ayat ini, ilmuan Islam seperti Imam Zamakhshari menegaskan bahawa kekata ‘Tuhan tidak melarang kamu’ merupakan satu perintah untuk berbuat baik dan berlaku adil kepada orang kafir yang tidak memusuhi orang Islam.
Ketiga-tiga ayat ini (7-9) daripada Surah Al-Mumtahinah meletakkan garis pandu dalam perhubungan orang Islam dengan orang bukan Islam. Secara keseluruhannya, selagi mereka yang bukan Islam tidak berlaku kejam atau memusuhi kita, selagi itu kita berkewajipan untuk memperlakukan mereka dengan penuh ihsan dan adil.
Dengan ini jelas bahawa adalah tidak berasas hujah mereka yang mengatakan bahawa setiap orang bukan Muslim itu harus dimusuhi dan ditentang.
Apa yang jelas ialah mereka sebenarnya telah merosakkan nama agama sendiri. Mereka telah menyebabkan sesebuah agama itu dipandang negatif di mata orang dan telah menanam rasa kebencian kepada yang lain. Akibatnya, setiap serangan keganasan yang dikatakan mewakili ‘agama’ dan didasari rasa permusuhan dan kebencian sebenarnya secara tidak langsung ‘memerangi’ agama mereka sendiri.
Sebenarnya kehadiran Islam jelas untuk memerangi nafsu manusia yang cenderung kepada permusuhan dan kebencian dan mengangkat mereka kepada darjat ihsan, kasih-sayang serta bersih hati dengan semua manusia, tidak kira samada yang Muslim atau bukan Muslim.
CABARAN HARI MUKA
Salah satu perkara kritikal yang harus kita ubah adalah cara kita mendidik, terutama sekali generasi muda, tentang Islam. Islam seharusnya digambarkan sebagai agama yang memudahkan, bukan membebankan; agama kasih-sayang bukan agama yang hanya berlandaskan hukum dan perintah.
Apabila sifat persefahaman dan saling mencintai itu subur, dengan sendirinya sifat pelampauan dan tidak bertolak ansur itu tidak akan ada lagi ruang di kalangan masyarakat umat Islam. Dalam hal ini, kita semakin melihat kepentingan untuk mengembalikan tradisi keilmuan Islam yang kaya dengan semangat saling mencintai sesama makhluk di dunia ini, baik manusia mahupun alam sekitar kita.
Aspek terpenting yang harus kita terapkan di dalam hubungan sesama manusia adalah kebersihan hati. Dalam perkara ini, ilmu Islam yang menjurus kepada penyucian rohani seperti ilmu tasawuf harus disuburkan kembali penjiwaannya di dalam masyarakat yang sekian lama sekian berjauhan daripada pengamalan ilmu ini dek pencemaran serta pelbagai tuduhan yang dilemparkan kepada para pengamal tasawuf seperti syirik atau pengamal ilmu mistik.
Selain memberi penekanan bahawa pengganasan itu adalah satu jenayah dan salah dari segi moral, kita juga harus berusaha menggagalkan agenda pengganas dengan memperlihatkan bahwa ia juga sia-sia dari sudut strategik dan politik. Umpamanya, kita harus menyedari bahawa strategi seperti operasi serangan nekad bukan sahaja salah dari sisi agama, tetapi ia sebenarnya merugikan umat Islam kerana ia menyempitkan, bukan meluaskan, pilihan huraian politik seperti di Palestin.
Di samping itu, umat Islam harus diberi peringatan bahawa dalam apa sekali keadaan, mereka berkewajipan menjadi contoh umat terbaik termasuk yang tinggi nilai akhlaknya. Terutama sekali dengan keadaan umat Islam hari ini yang begitu lemah dari segi kecanggihan peralatan mahupun sumber lainnya.
Kita harus sedar bahawa hanya dengan berpegang kepada nilai-nilai murni yang menjadi teras pengajaran Islam kita akan beroleh pertolongan Allah swt dan seterusnya berjaya dalam usaha-usaha kita.
Kesimpulannya, Islam mengaturkan hubungan antara sesama manusia, bangsa dan negara dengan diasaskan kepada konsep cinta pada kedamaian dan kesejahteraan, bukan permusuhan dan kebencian.
Bahkan agama Islam sendiri telah dikembangkan oleh Nabi Muhammad saw dengan penuh kesopanan serta membuat hubungan yang baik lagi mesra dengan semua umat manusia, baik orang-orang Islam mahupun orang-orang bukan Islam.
Islam menganjurkan kita bersatu dan menjaga keselamatan sesama manusia, orang Islam dan bukan Islam. Hakikatnya Islam adalah agama yang penuh dengan nilai-nilai suci, penuh dengan rahmat dan belas kasihan, kerana itulah Islam tidak akan sekali-kali membenarkan umatnya melakukan keganasan dan kekejaman.
Tujuannya supaya keselamatan dan kesejahteraan umat manusia akan sentiasa terpelihara. Malahan barangsiapa yang melakukan tindakan yang melampau batas akan dikenakan hukuman walaupun ia nya dilakukan terhadap orang-orang bukan Islam.
Inilah ciri-ciri keistimewaan ajaran Islam yang sentiasa memikirkan keadaan umatnya supaya dapat hidup di muka bumi ini dengan penuh aman dan kasih sayang. Benarlah apa yang dikatakan oleh para hukama bahawa kebencian tidak akan pernah berakhir apabila dibalas dengan kebencian.
Tetapi kebencian hanya akan berakhir apabila sifat kasih sayang itu kita suburkan walau dalam suasana yang penuh kebencian.
Nota: Penulis adalah seorang penyelidik pengganasan di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang, dan Anggota Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG).