Antara nikmat yang perlu kita bersyukur terhadapnya ialah nikmat hidayah Allah taala kepada kita. Hidayah yang bukan sahaja meletakkan kita sebagai golongan beriman kepadaNya tetapi hidayah yang meletakkan kita juga dalam barisan perjuangan untuk menegakkan agamaNya.
Masih ingat lagikah kita bagaimana kehidupan kita dalam kejahilan dahulu??? Lalu Allah taala mempertemukan kita dengan individu-individu yang menyampaikan Islam kepada kita. Dari usaha mereka, menyelinap hidayah untuk mengamalkan agama ini. Bertolak dari hidayah itu, kita terus mendalami Islam yang mulia ini, meyakini bahawa ia adalah satu cara hidup, lalu kita kita bertekad pula menyebarkannya kepada yang lain sebagaimana yang dilakukan oleh individu-individu tadi.
Ya, sesungguhnya kita terhutang budi kepada “Mereka Yang Terdahulu” dari kita, dalam beriman terhadap agama ini dan berusaha untuk menegakkannya.
Jika tidak kerana para pendakwah dahulu yang datang dari rantau lain yang jauh ke rantau Melayu ini untuk menyebarkan Islam…….. jika tidak kerana ustaz-ustaz yang pernah mengajar kita mengaji dan ilmu agama……. jika tidak kerana generasi awal aktivis dakwah yang mengasaskan badan-badan dakwah lalu mewariskan kepada kita…..jika tidak kerana “abang-abang” dan “kakak-kakak” yang pernah membimbing kita……….mungkin kita masih lagi dalam kejahilan…mungkin kita tidak berada dalam saf perjuangan.
Terhadap golongan ini, Allah taala mengajar agar kita memberi penghargaan kepada mereka. Allah taala berfirman yang bermaksud
“Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka berdoa Ya Tuhan kami, beri ampunlah kepada kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu dari kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman, Ya Tuhan kami sesungguhnya kau maha Penyantun dan maha Penyayang.” (Al-Hasyr : 10)
Walau pun ayat ini membicarakan mengenai sikap kita terhadap golongan Muhajirin dan Ansar, namun roh dari ayat ini memberi pengajaran bahawa adalah menjadi adab dan budi pekerti mulia bagi para pendakwah untuk sentiasa menghargai “Mereka Yang Terdahulu” dalam usaha ini, menghormati mereka atas jasa yang telah dibuat, mengakui kelebihan mereka sebagai golongan yang terdahulu, mendoakan kebaikan untuk mereka dan memelihara hati dari melakukan kejahatan terhadap mereka. Oleh itu, adalah wajar untuk kita merendahkan diri bersama mereka.
Sememangnya “Mereka Yang Terdahulu”, tidak terselamat dari kelemahan dan kesilapan. Setelah ilmu kita berkembang dan pengetahuan kita meluas, mungkin lebih banyak dan meluas dari “Mereka Yang Terdahulu”, kita mula sedar bahawa disebalik usaha mereka terdapat kepincangan yang perlu dibaiki. Kita mula sedar bahawa kita mewarisi usaha dakwah yang tidak sempurna.
Namun dalam kita menilai kelemahan-kelemahan “Mereka Yang Terdahulu”, jangan sampai kita terlupa jasa dan budi mereka. Sebab itulah Allah taala menganjurkan kita agar mendoakan keampunan terhadap kelemahan-kelemahan mereka dan memelihara hati kita dari melakukan kejahatan ke atas mereka. Adalah lebih wajar pula untuk kita memelihara lidah kita dari melakukan kejahatan ke atas mereka.
Dengan penuh keinsafan, kita harus menyedari walau setinggi mana pencapaian kita hari ini, namun jika tidak kerana usaha awal dari “Mereka Yang Terdahulu” kita mungkin tidak berada pada tahap ini.
Dalam kita menilai kehebatan usaha yang telah kita lakukan atau yang hendak kita lakukan dibanding dengan usaha “Mereka Yang Terdahulu”, jangan kita lupa bahawa, merekalah yang telah mewariskan usaha ini kepada kita. Dari situ kita membina usaha yang lebih baik. Jika tidak kerana mereka merangkul kita ke dalam usaha dakwah dan mewariskan usaha ini kepada kita, mungkin kita bersendirian, entah di mana.
Kita memohon perlindungan dari Allah taala dari me ‘Muawiyah’ kan Mereka Yang Terdahulu.
Muawiyah adalah seorang sahabat, yang walau pun pernah memerangi Rasulullah s.a.w dan lewat menganut Islam, namun mempunyai kelebihan di sisi Rasulullah s.a.w dan mempunyai jasa yang besar dalam Islam.
Rasulullah s.a.w pernah mendoakan kebaikan untuknya. Rasulullah s.a.w mempercayai beliau sebagai penulis wahyu. Umar r.a melantik beliau sebagai gabenor di Syam sehingga masa beliau wafat. Beliau mengasaskan tentera laut pertama Islam yang menyebabkan penyebaran Islam di Laut Mediterranean dan Eropah. Selama itu beliau sentiasa dipandang mulia sehinggalah berlaku perselisihan antara beliau dengan Ali r.a atas isu pembunuhan Usman r.a. Sehingga kini, umat Islam rata-rata memandang beliau dengan pandangan negatif dan lupa akan jasa-jasa baik beliau sebelum itu.
“Mereka Yang Terdahulu” tidak mewarisi dakwah ini dari generasi sebelumnya secara sempurna. Mereka juga mungkin telah tidak mewariskannya kepada kita secara sempurna. Kita sendiri, sebagai manusia, pasti tidak akan dapat mewariskan dakwah ini kepada generasi seterusnya dengan sempurna.
Tugas kita ialah untuk meneruskan usaha ini dan membaiki kelemahan yang sedia ada. Kemudian dari itu, dengan penuh azam, memastikan bahawa kita mewariskan usaha ini pula kepada generasi akan datang dalam keadaan lebih baik dari dahulu.
Untuk “Mereka Yang Terdahulu”………sekalung budi dari kita. Kenangilah mereka dengan ucapan
“Terima kasih abang-abang, kakak-kakak, ustaz dan ustazah. Semoga Allah taala memberi ganjaran yang baik atas usaha yang dibuat. Semoga Allah memberi keampunan atas dosa dan kesilapan. Semoga dapat beristiqamah dalam dakwah
Terima kasih abang-abang, kakak-kakak, ustaz dan ustazah….. sebagai membalas jasamu ini, kami berazam akan meneruskan usaha ini dan menyempurnakannya. Tekad kami ialah untuk mewariskannya kepada generasi penerus sebagaimana kamu telah mewariskannya kepada kami. Maafkan kami jika kami telah gagal untuk menghargai, menghormati dan membalas jasa yang menyalurkan hidayah kepada kami.”