Oleh
Ustaz Mohamed Ali
SEKALI lagi, masyarakat Singapura dikejutkan dengan berita tiga anak muda di kalangan warga Singapura sendiri terlibat dalam perbuatan yang menjurus kepada pengganasan.
Mengapakah ancaman ini berterusan walaupun bermacammacam usaha telah dijalankan oleh pelbagai pihak?
Antaranya pihak pemerintah telah mengenakan perintah tahanan ke atas mereka yang terlibat.
Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) serta beberapa kumpulan Melayu/Islam telah melakukan kerja-kerja mendekati masyarakat dengan tumpuan diberikan kepada kelompok belia.
Namun, kita harus akur bahawa sememangnya masalah pengganasan serta ideologi songsang ini merupakan masalah rumit yang pasti memakan masa yang begitu lama untuk dihapuskan.
Ini disebabkan beberapa perkara.
Pertama, ideologi adalah masalah dalaman yang jika tidak dizahirkan, sememangnya sukar untuk dikesan.
Namun, jika ia telah sampai ke tahap hingga mereka sanggup melakukan sesuatu, itu bermakna ia telah menjadi pegangan atau prinsip yang telah tertanam di dalam jiwa sanubari bagi sekian lama, telah sebati dan tidak mudah dihapuskan.
Kedua, pergolakan dan permasalahan umat Islam semakin ketara dan meruncing di serata dunia.
Ini diburukkan lagi dengan usaha segelintir pihak untuk memusuhi Islam seperti penyiaran kartun Nabi Muhammad dan yang terbaru, video seorang ahli politik Belanda yang menghina Al-Quran.
Perkara-perkara sedemikian menjadi hujah yang kukuh untuk pengganas menyebarkan propaganda mereka serta merekrut pengikut.
Ketiga, pengganas merupakan kumpulan yang pintar dan mampu menggunakan teknologi terkini untuk memenuhi hasrat dan cita-cita mereka.
Mereka juga licik dalam mengatur dan menukar strategi mereka mengikut perubahan masa dan keadaan.
Satu kebersamaan yang terserlah di antara ketiga-tiga yang ditahan dengan Abdul Basheer yang ditahan tahun lalu adalah usia mereka yang muda belia.
Kita sedia akur pada usia sebegitu, seseorang itu sering bersikap idealistik iaitu bersemangat dan sangat bercita-cita hendak mewujudkan dunia yang lebih sempurna dan lebih baik.
Pada usia sebegitu juga, individu mula mencari kesempurnaan dalam diri mereka dan salah satu caranya adalah dengan menghayati agama mereka dengan lebih baik dan mendalam.
Namun, gandingan kecetekan ilmu agama serta semangat yang meluap-luap hendak menjadi Muslim yang baik serta membela Islam ini adalah formula yang sangat merbahaya.
Ia boleh menjerumuskan kumpulan remaja itu ke kancah pelampauan dan pengganasan jika mereka tidak bersikap hati-hati dan mudah dipengaruhi.
Mereka yang terlibat dalam ideologi ganas berpunca daripada banyak sebab.
Setiap individu mempunyai sebab dan pengalaman serta latar belakang yang berbeza.
Antara yang menyebabkan seseorang itu menjadi radikal adalah:
terpengaruh dengan ajakan dan fahaman kumpulan pelampau di Internet;
kurang atau tidak mantap asas agama sehingga mudah terpengaruh dan ambil bulat-bulat segala ajaran pelampau;
ketidakpuasan terhadap fenomena global yang melibatkan penindasan dan pembunuhan orang Islam;
kejahilan akan ideologi pelampau di Internet dan tidak rujuk kepada pihak yang bertauliah untuk mendapatkan penjelasan;
biasanya mereka yang terpengaruh ini tidak belajar agama secara formal; dan
perang ideologi harus diteruskan dengan lebih gigih dan dedikasi.
Kita harus terus berusaha menyedarkan kepentingan perang ideologi ini kepada pihak-pihak terlibat, terutamanya yang berterusan melakar strategi untuk menghapus atau memenjarakan sahaja tahanan-tahanan tanpa ada usaha untuk merubah minda dan tanggapan tahanan.
Tercetusnya pencerobohan ke atas Iraq dalam 2003 merupakan satu tamparan berat ke atas perang ideologi.
Antaranya ia menjadikan Iraq sebagai medan perjuangan, sama seperti Afghanistan satu ketika dahulu.
Oleh itu, Iraq dipercayai menjadi sarang pengganas untuk berkumpul, bertukar pendapat dan kemahiran serta menaikkan semangat juang mereka.
Oleh itu, penyelesaian terhadap krisis di Iraq adalah perkara terpenting untuk meredakan iklim pengganasan di serata dunia.
Usaha masyarakat Islam Singapura untuk memulihkan tahanan Jemaah Islamiyah (JI) dan mendidik masyarakat selama ini adalah satu usaha yang dipuji.
Pelbagai usaha mendekati remaja dan pelajar juga giat diadakan memandangkan seriusnya fenomena ini.
Kita telah banyak belajar daripada pengalaman lalu.
Episod JI dan penangkapan Abdul Basheer tahun lalu telah banyak memberi pelajaran kepada kita.
Namun, memandangkan fenomena ini adalah sesuatu yang berterusan, lebih banyak usaha yang harus kita tingkatkan.
Namun, dengan penangkapan terbaru itu jelas menunjukkan bahawa usaha memerangi ideologi ganas masih jauh lagi dari kejayaan.
Apakah yang harus dilakukan seterusnya?
Antara pendekatan yang dapat diambil ialah:
mengadakan kajian khusus dan mendalam untuk mengkaji bagaimana golongan muda mudah terpengaruh dengan fahaman radikal.
Ini adalah sesuatu yang penting dan belum dilakukan di sini. Bagaimanakah kita hendak menangani masalah ini tanpa memiliki cara dan pengetahuan yang khusus?
meningkatkan lagi kesedaran akan bahayanya ideologi ganas di kesemua peringkat pendidikan iaitu sekolah rendah, menengah, prauniversiti, universiti dan selanjutnya.
Dengan adanya penerangan, dialog dan perbincangan dengan setiap golongan ini, barulah dapat kita memahami pemikiran dan kecenderungan mereka dalam isu-isu agama dan politik;
menambah laman web yang berbentuk antifahaman radikal.
Ini sangat kurang jika dibandingkan dengan jumlah laman web ekstremis.
Laman web seperti RRG, Muis dan blog Ustaz Muhammad Haniff tidak mencukupi.
Apa yang lebih penting adalah laman-laman web tersebut harus menarik dan mampu menarik perhatian golongan remaja, contohnya laman web yang dipenuhi dengan banyak ilustrasi, gambar, video, permainan dan sebagainya;
usaha penting yang belum dilakukan sebelum ini adalah bagaimana pakar teknologi dapat mewujudkan satu sistem atau cara agar laman-laman web itu dapat dihakis dan ditutup agar ia tidak dapat dilungsuri golongan remaja; dan
cara yang paling baik untuk menangani masalah ini adalah pendidikan.
Usaha pendidikan tentang bahayanya fahaman radikal di setiap peringkat dan lapisan masyarakat harus digiatkan dan menggunakan segala platform yang ada.
Di samping itu, kita harus menekankan kebolehan untuk berfikir secara kritikal serta tidak mudah menerima sahaja sebarang maklumat yang diberikan.
Fenomena berpengaruh dengan fahaman radikal secara sendiri kini menjadi ancaman utama bagi masyarakat kita.
Ancaman pengganasan mungkin berkurangan, tetapi ancaman fahaman radikal ini jelas meningkat.
Kita telah berjaya menumpaskan rangkaian kumpulan pengganas JI di negara ini. Namun, ideologi ganas yang disebarkan kumpulan pengganas dan pelampau di luar negara luas tersebar di Internet.
Amat penting untuk kita menilai usaha-usaha kita selama ini.
Kita harus bergerak mengikut keadaan dan perubahan.
Kelihatan, trend pengganasan seperti ini belum menemukan penghujungnya. Namun, walaupun perjalanan masih jauh dan sukar, ini tidak bermakna kita harus cepat berputus asa atau mengaku kalah.
Masih banyak usaha baru yang boleh kita terokai di samping membaiki dan melipatgandakan usaha yang sedia ada.
Yang jelas, yang bulat tak datang bergolek, yang pipih tak datang melayang.
Kejayaan itu tidak akan datang hanya dengan kita berpeluk tubuh, menuding jari antara satu sama lain dan mudah berputus asa.
Ia memerlukan komitmen dari segenap lapisan masyarakat, bukan untuk sehari dua, tetapi untuk jangka masa yang panjang.
Ini hanya akan dapat dikecapi dengan persiapan mental yang teguh serta semangat yang kental dan bersepadu agar kita dapat mengharungi setiap permasalahan dengan cara yang terbaik mungkin.
Yang terpenting, asetiap daripada kita harus menanam sifat ingin membela kemurnian ajaran Islam yang bersifat kasih sayang serta berganding bahu mewujudkan suasana negara yang aman sentosa dan selamat untuk didiami semua.
Nota: Penulis adalah zamil penyelidik pengganasan di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang, dan Anggota Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG).