Hukum penyanyi wanita

Soalan

 

Saya ingin menjadi seorang penyanyi. Soalan saya ialah

 

a.       Adakah benar suara seorang wanita adalah aurat?

b.       Adakah salah untuk seorang wanita menjadi penyanyi?

 

Jawaban

 

Dr Wahbah az-Zuhaili dalam buku Fiqh Islam, bab Solat, topik Suara Wanita telah menulis bahawa suara wanita  di sisi kebanyakan para ulama bukan aurat kerana para sahabat sering kali mendengar suara isteri nabi untuk mempelajari ilmu-ilmu agama dari mereka. Namun mendengar suara wanita yang dengan sengaja dilunak-lunak dan didendangkan adalah haram, kerana akan menimbulkan fitnah.

 

Perkara ini dinyatakan oleh Allah taala yang bermaksud “Dan janganlah kamu (isteri-isteri nabi) melembutkan kata-kata sehingga berkeinginan orang yang ada penyakit dalam hati dan ucapkanlah kata-kata yang baik.” (Al-Ahzab : 32)

 

Seorang wanita Islam boleh menjadi penyanyi dengan syarat-syarat berikut;

 

1.       Lagu-lagu yang dinyanyikan adalah lagu-lagu yang dibenarkan oleh Islam iaitu lagu-lagu yang mengandungi nasihat yang baik dan bukan lagu-lagu yang mempromosi hiburan yang sia-sia, nafsu, memuja kekasih dan akhlaq yang keji yang dilarang oleh Islam.

2.       Dia menyampaikannya dengan gaya penyampaian yang menarik nafsu baik melalui suara atau lenggang lenggok tubuhnya dan tidak pula menyampaikannya di tempat-tempat yang bersyubahat kepada maksiat.

3.       Dia wajib menjaga tingkah laku sosialnya seperti pemakaiannya, adab hubungan antara lelaki dan penampilan di media-media sejajar dengan tuntutan Islam. Selain ini merupakan kewajiban peribadi baginya, ia juga bertujuan agar dia tidak menjadi contoh yang tidak baik kepada peminatnya. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud “Sesiapa yang mengajak ke arah kesesaatan maka di atasnya dosa sama seperti dosa orang yang mengikutnya, tidak sedikit pun berkurang dari dosa-dosa mereka.” (Riwayat Muslim)

4.       Dia hendaklah melakukannya atas niat yang baik seperti untuk menyampaikan nilai-nilai yang baik melalui lagu-lagunya, mendidik masyarakat dan berdakwah. Rasulullah s.a.w bersabda “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung pada niatnya.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim). Jika dia dapat memenuhi perkara 1, 2 dan 3 tetapi niatnya ialah untuk mencari nama dan berbangga dengan kebolehannya atau menunjuk-nunjuk, maka segala niat yang jahat itu akan membatalkan kebaikan dari lagu dan nyanyiannya. Namun, seorang yang berniat abaik tetapi melanggar perkara 1, 2 dan 3, maka niat baiknya itu tidak menjadikan perbuatannya halal di sisi Islam.

 

Jika anda tidak mampu untuk memenuhi perkara di atas, maka tinggalkanlah cita-cita untuk menjadi penyanyi kerana ditakuti akan jatuh dalam sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud

 

“Akan datang masanya di mana orang-orang dari kaumku akan meminum khamar (minuman keras) yang kemudian dinamakan dengan nama-namanya yang lain, diri mereka akan dihiburkan dengan rentak-rentak dan nyanyian-nyanyian para wanita, nanti Allah akan tenggelamkan mereka ke dalam bumi dan akan menjadikan mereka itu monyet-monyet dan babi-babi.” (Riwayat Ibn Majah)

 

Bagi maklumat lebih lanjut, boleh rujuk buku Halal & Haram Dalam Islam, bab Hiburan & Permainan oleh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi atau lawat buku berkenaan dalam bahasa Inggeris di http://www.witness-pioneer.org/vil/Books/Q_LP/index.htm

 

Wallahu A`alam.