Pelaburan yang halal

Soalan

 

Sebagai orang Islam, kita hanya dibenarkan untuk melaburkan wang kita di syarikat yang bertaraf halal sahaja. Dalam sebuah sesi penerangan oleh agen pelaburan, saya dimaklumkan bahawa sebahagian syarikat yang dikatakan halal mempunyai sumber pendapatan yang haram tapi masih dibenarkan oleh para ulama untuk melabur dengannya. Saya memohon penjelasan dalam hal ini.

 

Jawaban

 

Islam menggalakkan umatnya untuk melaburkan wang lebihan yang mereka ada. Islam tidak membenarkan umatnya membiarkan harta mereka berada dalam keadaan idle – tidak produktif kerana harta itu akan berkurangan disebabkan oleh pembayaran zakat dan inflasi. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud “Barangsiapa yang mempunyai tanah hendaklah dia bercucuk tanam atau pun diserahkan tanah itu kepada saudaranya (untuk bercucuk tanam)” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

 

Hadits ini menganjurkan agar kita mengusahakan harta kita untuk berkembang dan produktif dan jika kita tidak mampu, kita boleh mengamanahkan ia kepada saudara kita dan jangan membiarkannya tidak produktif.

 

Walau bagaimana pun, harta berkenaan hendaklah dilaburkan melalui instrumen-instrumen yang halal. Rasulullah s.a.w bersabda pula yang bermaksud “Sesungguhnya Allah itu baik dan tidak menerima kecuali yang baik sahaja. Allah memerintahkan orang-orang beriman dengan apa yang Dia telah perintah para rasul, maka Allah taala berfirman ‘Wahai rasul-rasul! Makanlah yang baik-baik dan laksanakanlah amal soleh’ Dan Allah taala berfirman ‘Makanlah dari segala yang baik yang kami kurniakan kepada kamu’, Kemudian beliau (Rasulullah s.a.w) menyebut mengenai seorang lelaki yang jauh pelayarannya, kusut rambut dan comot pakaiannya sambil menadahkan tangannya ke langit (dan berdoa) ‘Tuhanku, Tuhanku’. Sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram dan dia suap dengan yang haram, bagaimanakah dia akan diperkenankan?” (Riwayat Muslim)

 

Untuk melaburkan harta, kita boleh memilih samada untuk membeli unit amanah saham yang telah disahkan status halalnya atau mendapatkan khidmat Pengurus Dana bagi mengurus harta kita untuk dilaburkan hanya kepada syarikat-syarikat yang halal atau dengan melabur langsung kepada syarikat yang memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh para ulama.

 

Kriteria yang masyhur dan digunapakai di peringkat antara bangsa bagi mengklasifikasikan sebuah syarikat itu berstatus halal ialah;

 

1.     Syarikat-syarikat yang tidak terlibat dalam perniagaan minuman keras, pengeluaran daging babi, perjudian dan khidmat kewangan konvensional. Untuk lebih teliti, syarikat-syarikat dengan hiburan (hotel, panggung wayang, muzik, pornografi dan sebagainya), tembakau dan persenjataan.

2.      Setelah itu, syarikat-syarikat yang memenuhi syarat di atas ditapis pula dengan tiga syarat berikut;

a. mempunyai nisbah hutang dan purata penguasaan terhadap pasaran dalam tempoh 12 bulan (total debt to 12 month average market capitalization ratio) tidak melebihi 33%

b. mempunyai nisbah wang yang akan diterima dan jumlah asset (account receivable to total asset ratio) tidak melebihi 45%

c. mempunyai nisbah antara wang tunai + sekuriti yang berdasarkan riba dan purata 12 bulan penguasaan terhadap pasaran tidak melebihi 33% (cash+interest bearing securities to 12 month average market capitalisation)
 

Adalah diakui bahawa kadar peratusan di atas bukanlah suatu yang disepakati oleh semua ulama tetapi ia adalah yang masyhur digunakan oleh pengamal pelaburan Islam. Prinsipnya ialah kadar peratusan itu haruslah serendah mungkin dan munasabah.

 

Dengan meneliti kriteria itu ia menunjukkan bahawa sememangnya berkemungkinan berlaku bahawa syarikat yang berstatus halal tetapi masih tetap mempunyai sumber pendapatan yang haram.

 

Ini dibenarkan oleh para ulama atas alasan bahawa haram yang sedikit itu dibenarkan atas alasan berikut;

 

1.      Ulama dahulu membenarkan lelaki memakai pakaian yang mengandungi sutera jika kadar sutera itu sedikit dibandingkan dengan bahan-bahan lain. Begitu juga dalam persoalan pemakaian cincin dari campuran emas dan perak – suasa.

2.      Ulama dahulu walau pun mengharamkan darah, tetapi menghukumkan ia sebagai najis yang dimaafkan jika kadarnya sedikit (tiada kesepakatan mengenai apa yang dikatakan sedikit). Maka solat orang yang bajunya terdapat sedikit darah nyamuk adalah sah.

3.      Akan menjadi terlalu menyukarkan jika kriteria mesti mempunyai 100% sumber pendapatan halal kerana realiti dunia ekonomi dan perniagaan hari ini sedangkan Islam adalah agama yang memudahkan bukan menyukarkan. Allah taala berfirman yang bermaksud “Allah tidak menghendaki untuk menjadikan ke atas kamu sesuatu kesulitan dalam agama.” (Al-Maidah : 78).

 

Wallahu A`alam