Klik di sini bagi rujukan ke sumber asal.
Oleh Nur Humaira Sajat
Baru-baru ini, seorang pelakon setempat telah memuat naik video perbincangan beliau dengan anaknya yang berusia 10 tahun mengenai seks. Pencerahan beliau itu mendapat reaksi bercampur daripada warga Internet – ada yang mempersoal cara beliau, manakala ada pula yang menyokongnya. Berbincang mengenai seks dengan anak-anak adalah sesuatu yang perlu tetapi amat berat dilakukan ibu bapa, namun pakar menasihatkan keadaannya tidak seharusnya demikian. Malah, berbincang mengenai seks dengan anak-anak semasa mereka kecil, sambil menyelitkan unsur-unsur moral, boleh menyokong pembangunan anak-anak tersebut, supaya mereka melihat seks dan seksualiti sebagai sesuatu yang suci dan sihat. BERITA HARIAN melaporkan.
ISLAM tidak melarang pendidikan seks, malah menggalak ibu bapa untuk terlibat dalam menanam kefahaman betul berkenaan seks dalam diri anak-anak mereka.
Ia penting untuk ibu bapa menjadi ‘ejen’ utama yang mendidik mengenai topik ini menggunakan kaedah yang betul sambil menerapkan adab, kata asatizah yang dihubungi Berita Harian (BH).
Zamil Kajian di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Ustaz Dr Muhammad Haniff Hassan, berkata ibu bapa Islam tidak seharusnya bersifat malu atau memandang pembincangan mengenai seks ini sebagai sesuatu yang ‘taboo’ sehingga mereka mengelakkan diri daripada membicarakannya.
Menjauhi topik itu mengakibatkan remaja untuk mencari jawapan mereka sendiri dan boleh menyebabkan berlaku penyelewengan seks oleh anak-anak.
Ini boleh dikira sebagai pengabaian terhadap tanggungjawab dalam mendidik anak-anak, kata Ustaz Dr Muhammad Haniff, dalam satu tulisan yang pernah diterbitnya sebelum ini.
Naib Presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Ustazah Kalthom Muhammad Isa, pula berkata “dari zaman berzaman,” ibu bapa sudah dinasihatkan untuk belajar berkomunikasi dengan anak-anak tentang apa yang mereka pelajari di sekolah dan apa yang mereka hadapi di tempat kerja.
“Menjadi teman berbicara anak-anak adalah sangat baik untuk menerapkan pendidikan seks,” ujarnya.
Merujuk kepada Dr Nasih Ulwan dalam kitab karangannya ‘Tarbiyatul Awlad Fil Islam, Ustazah Kalthom berkata pendidikan seks adalah pengajaran, penyedaran, dan penjelasan terhadap anak sejak dia mula mampu menalar persoalan berkaitan dengan jenis kelamin, naluri (hasrat), dan perkahwinan agar ketika dia meningkat dewasa dan memahami pelbagai persoalan hidup, dia mengenali apa yang dibolehkan dan apa yang dilarang, dan dia menjadikan perilaku Islam sebagai akhlak sehari-hari.
Ustaz Dr Haniff pula menerangkan: “Tujuan pendidikan seks dalam Islam ialah untuk membimbing individu agar menyalurkan kehendak seksnya secara yang mulia, penuh tanggungjawab dan bagi memenuhi tujuan-tujuan lain yang lebih tinggi bukan sebagai satu hiburan atau keseronokan.”
Beliau berkata lagi bahawa seks di sisi Islam hanya dibenarkan antara lelaki dan perempuan yang sudah berkahwin.
Justeru, pendidikan seks dalam Islam menjurus pada pencegahan dari terjerumus dalam zina atau hubungan seks antara pasangan lelaki dan perempuan di luar ikatan perkahwinan dan pada pencegahan amalan seks di luar fitrah manusia seperti amalan homoseksual, mendatangi binatang, pelancapan dan menyetubuhi dubur.
Menurut Ustazah Kalthom, pendidikan seks dalam Islam diajar secara tidak langsung, dan diterapkan dengan adab.
Contohnya, Islam menyuruh anak-anak lelaki dan perempuan yang sudah baligh dipisahkan tempat tidurnya, dan tidak menggunakan satu selimut apabila tidur bersama adik beradik walaupun sama jantina.
Ustaz Dr Muhammad Haniff berkata amat jarang seks dibicarakan sebagai satu topik yang tersendiri, tetapi merupakan perbicaraan bagi satu topik yang lebih besar.
Umpamanya, mimpi basah, keluar mani dan haidh adalah sebahagian dari isu seks yang dibincangkan di dalam pendidikan seks.
Namun Islam membicarakannya bukan sebagai satu isu yang tersendiri atau semata-mata untuk membicarakan mengenainya. Sebaliknya ia dibicarakan sebagai tanda baligh, di mana seseorang itu sudah capai tahap di mana beliau menanggung dosa dan pahala sendiri.
“Pendekatan ini membolehkan anak-anak Islam memahami erti baligh pada waktu yang sama memahami isu berkaitan seks. Dengan cara ini pula isu-isu seks diikat dengan persoalan yang lebih besar dan fenomena seks dikaitkan dengan sifat tanggungjawab,” ujarnya.
APA TUJUAN PENDIDIKAN SEKS DALAM ISLAM?
“Tujuan pendidikan seks dalam Islam ialah untuk membimbing individu agar menyalurkan kehendak seksnya secara yang mulia, penuh tanggungjawab dan bagi memenuhi tujuan-tujuan lain yang lebih tinggi bukan sebagai satu hiburan atau keseronokan.”
– Ustaz Dr Muhammad Haniff Hassan, Zamil Kajian di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS).
JADI TEMAN BERBICARA ANAK-ANAK
“Menjadi teman berbicara anak-anak adalah sangat baik untuk menerapkan pendidikan seks.”
– Ustazah Kalthom Muhammad Isa, Naib Presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas).