Sekadar berkongsi – Temuramah dengan bekas anggota JI Singapura (2/2) (Berita Harian, 6 Okt. 2007)

………………. bersambung dari bahagian 1.

S: Apakah perasaan anda apabila anda memegang senjata itu?

J: Mulanya saya tidak perasan salahnya. Persepsinya jika tidak menggunakan senjata, anda mudah menjadi sasaran.

S: Jika diingatkan kembali, apakah yang anda fikirkan ketika terlibat dalam MILF?

J: Ketika itu, ia seolah-olah satu perjuangan. Kami tidak fikirkan tentang keluarga kerana ia satu perjuangan Islam. Kami melakukannya untuk membantu rakan Islam kami. Namun, kini saya sedar dan menyesal bahawa penglibatan saya dalam MILF bukan satu perkara yang betul. Mereka juga terlibat dalam rangkaian pengganasan.

S: Boleh anda beritahu kami tentang pengalaman anda dalam tahanan?

J: Saya ditahan hampir empat tahun. Ia satu tempoh yang amat sukar. Anda hilang kebebasan, terutama jika anda rapat dengan keluarga. Perpisahan dengan keluarga amat pahit. Saya tidak tahu bagaimana saya dapat melaluinya.

S: Apakah yang anda fikirkan semasa dalam tahanan?

J: Saya menyesal saya telah disesatkan. Apa yang saya lakukan adalah salah. Namun, saya tidak terus membuat diri ini terus tertekan kerana sudah terlambat untuk terus-menerus berasa menyesal. Saya telah ditahan dan hukuman telah pun dijatuhkan. Saya anggap ini sebagai satu pengajaran.

S: Bagaimanakah anda dilayani dalam tahanan?

J: Saya dilayani secara baik dan tidak menghadapi masalah. Pada sebelah pagi kami bersenam dan bersarapan. Selepas itu, kami pulang ke bilik penjara.

Saya meluangkan masa saya dengan mengaji dan membaca buku.

Saya juga menjalani kaunseling. Keluarga saya datang bertemu saya seminggu sekali untuk selama setengah jam.

S: Apakah bentuk kaunseling yang diberikan kepada anda?

J: Saya menerima kaunseling agama daripada sekumpulan ustaz. Saya tidak menghadapi masalah kerana saya memahami tafsiran Al-Quran. Saya faham dan boleh bertutur dalam bahasa Arab kerana saya pernah mempelajarinya semasa tinggal di Timur Tengah sekitar 1998.

Saya tinggal di sana bersama keluarga untuk hampir tiga tahun. Saya belajar di universiti. Anak-anak saya pun belajar di Timur Tengah.

S: Apakah reaksi isteri anda terhadap penglibatan anda dalam JI?

J: Isteri saya tidak tahu sangat tentang penglibatan saya dalam JI, tetapi apabila saya pergi ke Filipina, beliau berasa terganggu.

S: Apakah reaksi keluarga anda apabila anda ditangkap? Apakah perasaan anda ketika itu?

J: Saya berasa sungguh bersalah. Anak-anak saya tidak dapat menerimanya. Anak-anak saya yang lebih besar berasa kecewa dan tertekan. Mereka tanya isteri saya, mengapa saya lakukan ini semua. Saya berasa amat sedih. Mereka melalui tempoh yang amat sukar, tetapi mereka berjaya mengharunginya.

S: Apakah bentuk sokongan keluarga yang anda terima semasa dalam tahanan?

J: Isteri dan keluarga saya beri sokongan padu. Saya sedar kini isteri dan anak-anak saya adalah rakan-rakan saya yang sebenar. Mereka memberi saya perangsang dan berdiri teguh bersama saya. Semasa saya dalam tahanan mereka selalu berkata mereka tidak mempunyai masalah, tetapi saya tahu sebenarnya mereka menghadapi masalah.

S: Semasa dalam tahanan, adakah isteri anda pernah menyatakan beliau mahu meninggalkan anda?

J: Ia tidak pernah terjadi. Sebaliknya, beliau memberi sokongan kepada saya. Tidak sekali beliau menyatakan beliau mempunyai masalah. Semasa saya dalam tahanan, beliau terpaksa bekerja. Sebelum ini, beliau tidak pernah bekerja kerana saya tidak membenarkannya. Jika ketika itu beliau mahu meninggalkan saya atau mahu bercerai, saya tidak tahu bagaimana untuk menghadapi kenyataan tersebut.

S: Apakah pengajaran yang anda dapat pelajari daripada episod ini?

J: Pengajaran paling penting ialah untuk tidak mudah terpengaruh dengan salah tafsir agama. Apabila anda terlibat dengannya, adalah sukar untuk anda keluar.

Boleh dikatakan saya bernasib baik ditangkap. Jika tidak, saya mungkin boleh melakukan perkara lebih buruk dan serius lagi. Saya boleh melakukan perkara yang boleh mencederakan orang lain.

Bahkan, saya sendiri boleh dibunuh. Saya mungkin boleh dibunuh di Filipina dan ditahan di sana. Saya mungkin boleh menjadi pengebom nekad. Saya ingin berkongsi pengajaran ini dengan yang lain – jangan mudah terpengaruh tetapi sertailah arus utama kehidupan.

Mempelajari agama memang penting, tetapi yang lebih penting ialah di mana kita belajar agama itu. Apakah guru agama itu mempunyai kelayakan untuk menyampaikannya? Apakah kita belajar perkara yang betul?

Selama terlibat dalam JI, mereka menjalankan indoktrinasi dan menghasut anggotanya. Mereka menaikkan semangat hingga membuat kami simpati dan mahu membantu warga Muslim lain. Tapi apakah kita perlu lakukan apa yang mereka lakukan? Tuhan melarang kita membunuh orang lain. Konsep membalas dendam dan melakukan pengeboman bukan daripada Islam. Itulah pengajaran paling besar dan pahit yang saya lalui.

S: Apakah perasaan anda, oleh sebab penglibatan anda dan rakan-rakan anda dalam JI, Muslim di Singapura mendapat perhatian dan hubungan kaum terancam?

J: Perbuatan kami tidak adil. Oleh sebab tindakan kami yang minoriti, majoriti masyarakat Muslim di sini perlu melalui tempoh yang sukar.

Saya rasa sungguh bersalah. Masyarakat Singapura kita mudah goyah. Apa yang sudah kita capai hari ini adalah hasil kerja keras yang kita lakukan selama ini.

Dari pandangan agama, kita diajar supaya mencintai negara. Mencintai negara adalah sebahagian daripada Islam. Tidak kira agama atau kaum, kita mesti memainkan peranan untuk menjadikan negara ini aman dan rakyatnya menjalani kehidupan dengan selamat.

Jadi saya rasa amat bersalah. Oleh sebab tindakan sekumpulan minoriti – saya dan rakan-rakan saya – Muslim yang tidak bersalah menjadi perhatian dan nama baik mereka tercemar.

Kita harus lakukan apa sahaja untuk mendidik orang ramai tentang perkara ini.

S: Apakah nasihat anda kepada Muslim yang telah disesatkan dengan salah tafsir agama?

J: Pertama, mereka perlu banyak membaca dan meningkatkan ilmu pengetahuan. Sertailah arus utama masyarakat. Pergi ke masjid dan belajar dengan guru agama di sana.

Terdapat ramai ustaz yang berkelayakan di sini. Tanya mereka tentang pengertian sebenar jihad. Bertanyalah dengan ramai ustaz, bukan satu sahaja. Bertanya dengan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis). Mereka adalah orang yang paling layak untuk menjawab segala pertanyaan anda.

Saya juga ingin memberitahu para belia supaya jangan terpengaruh dan menjadi marah dengan pergolakan yang berlaku di beberapa negara Islam di luar sana.

Lihat pada diri kita, negara kita aman. Nasihat saya kepada para belia ialah supaya mereka sentiasa tenang, meningkatkan diri bukan sahaja dalam bidang agama tetapi juga duniawi, dan jadilah orang-orang yang berilmu pengetahuan.

S: Apakah yang membuat anda mahu berkongsi pengalaman anda bersama Berita Harian?

J: Saya berasa amat sedih mengenangkan rakan-rakan saya yang masih ditahan. Saya bertanggungjawab terhadap penahanan mereka kerana saya yang membawa mereka menyertai JI. Saya rasa sungguh bersalah. Saya mahu pengalaman saya dikongsi dengan orang lain supaya mereka tahu bahawa perkara-perkara yang saya lakukan dan kegiatan JI itu adalah salah.

Sebagai Muslim banyak lagi perkara baik yang boleh dilakukan di Singapura.