Istiqamah Kita Dalam Perjuangan: Antara Si Kura-Kura Dan Si Arnab

Tentu ramai di antara kita masih ingat kisah kura-kura berlumba lari dengan si arnab. Kita menceritakan kisah ini kepada anak-anak kita untuk pengajaran bagi mereka. Namun jangan lupa pada kisah ini juga ada pengajaran untuk kita dalam amal dakwah kita.

 

Dari kisah ini timbul satu pepatah Melayu yang berbunyi biar lambat asal selamat. Kita perlu memahami pepatah ini dalam konteks si kura-kura iaitu ia adalah makhluk yang sememangnya dijadikan Allah taala bergerak dengan perlahan. Ia tidak boleh berlari. Sekiranya si kura-kura boleh berlari, pasti ia akan berlari untuk bersaing dengan si arnab.

 

Si arnab kalah dalam pertandingan ini bukan kerana ia berlari tetapi kerana kelekaan dan complacency nya.

 

Maka pendakwah yang bekerja dalam medan yang penuh dengan persaingan ini tidak seharusnya takut untuk berlari laju. Kita perlu berlari laju asal sahaja kita tidak leka disebabkan kesombongan dan keangkuhan atas kejayaan yang telah dicapai.

 

Kadangkala usaha dakwah kita lebih mirip kepada larian si arnab. Larian ini telah membawa kita pada tahap dan pencapaian tertentu. Mengambil pelajaran dari si arnab adalah penting, supaya ketika berlari kita tidak mengangkuhkan diri sehingga memandang remeh yang lain.

 

Apakah kita akan berubah kepada si kura-kura??????

 

Hidup ini berputar dan tertakluk kepada sunnah alam. Kita tidak mungkin akan berlari berterusan. Namun kita juga tidak boleh berhenti dari meneruskan perjuangan ini kerana terlalu banyak kerja yang perlu dilakukan dan terlalu ramai yang memerlukan.

 

Tidak mustahil kita akan berubah menjadi si kura-kura tetapi jika kita ingin menjadi seperti si kura-kura, kita akan menjadi seperti si kura-kura yang sejati.

 

Kita berjalan kerana tidak mampu lagi untuk berlari dan kita akan terus berjalan tanpa henti. Kita tidak akan menjadi seperti si kura-kura kerana kita malas berlari. Kita tidak lambat seperti si kura-kura kerana suka bertangguh. Inilah yang menjadikan si kura-kura pemenang dalam perjuangannya. Orang yang suka bertangguh dan leka dia akan kalah walau pun ia kuat berlari seperti si arnab.

 

Si kura-kura memenangi perjuangannya kerana dia beristiqamah dan si arnab kalah dalam perjuangannya kerana dia tidak beristiqamah.

 

Mengenai kemuliaan beristiqamah, Allah taala telah pun berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud

 

“Sesungguhnya mereka yang berkata tuhan kami adalah Allah kemudian mereka beristiqamah, malaikat-malaikat akan turun kepada mereka, bahawa mereka tidak akan berasa takut dan sedih dan berikanlah berita gembira dengan syurga yang kamu dijanjikan” (Fussilat : 30)

 

Melalui ayat ini, Allah taala menganjurkan kita untuk beristiqamah dengan keyakinan bahawa Allah adalah tuhan kita.

 

Hanya setelah beristiqamah, bantuan terhadap perjuangan ini akan diturunkan melalui para malaikat.

 

Natijah akhir dari istiqamah ialah kemenangan dalam perjuangan. Kemenangan dalam ayat ini dimanifestasikan melalui anugerah syurga dari Allah taala sebesar-besar kemenangan bagi seorang pejuang Islam.

 

Kembali kepada kisah si kura-kura dan si arnab, perkara yang merosakkan istiqamah kita ialah ketidakikhlasan, kesombongan, sikap meremehkan orang lain, leka, complacent, malas, suka bertangguh dan banyak lagi, yang kebanyakannya merupakan sifat-sifat yang keji yang bersarang dalam jiwa yang kotor.

 

Jiwa yang kotor dibersihkan pergaulan yang sihat, bimbingan yang baik dan amal-amal taqarrub yang berterusan.

 

Oleh itu, tiada kemenangan bagi pejuang yang tidak dibimbing dan tidak bertaqarrub pada Allah taala.

 

Janganlah kita menjadi pejuang yang takut untuk berlari dalam perjuangan ini dan kalau berjalan pula, tidak beristiqamah.