Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 13 Mei 2022, di sini.
“Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberikan kepada [Nabi] Daud limpah kurnia dari Kami (sambil Kami berfirman): Hai gunung-ganang, ulang-ulangilah mengucap tasbih bersama-sama dengannya dan wahai burung-burung (bertasbihlah bersama-sama dengannya)! Dan juga telah melembutkan besi baginya;: (Saba’: 10)
“(Serta Kami wahyukan kepadanya): Buatlah baju-baju besi yang luas labuh dan sempurnakanlah jalinannya sekadar yang dikehendaki dan kerjakanlah kamu (wahai Daud dan umatmu) amal-amal yang soleh, sesungguhnya Aku Maha Melihat akan segala yang kamu kerjakan.” (Saba’: 11)
“Dan Kami kurniakan kepada [Nabi] Sulaiman kuasa menggunakan angin untuk perjalanannya: sepagi perjalanannya adalah menyamai perjalanan biasa sebulan dan sepetang perjalanannya adalah menyamai perjalanan biasa sebulan dan Kami alirkan baginya mata air dari tembaga dan (Kami mudahkan) sebahagian dari jin untuk bekerja di hadapannya dengan izin Tuhannya dan sesiapa dari jin itu yang menyeleweng dari perintah Kami, Kami akan merasakannya (pukulan) dari azab api Neraka.” (Saba’: 12)
“Golongan jin itu membuat untuknya apa yang dia kehendaki dari bangunan-bangunan yang tinggi dan patung-patung dan pinggan-pinggan hidangan yang besar seperti kolam, serta periuk-periuk besar yang tetap di atas tukunya. (Setelah itu Kami perintahkan): Beramallah kamu wahai keluarga Daud untuk bersyukur! Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hambaKu yang bersyukur.” (Saba’: 13)
“Dan [Nabi] Sulaiman mewarisi (pangkat kenabian dan kerajaan) [Nabi] Daud dan (setelah itu) (Nabi Sulaiman) berkata: Wahai umat manusia, kami telah diajar mengerti bahasa pertuturan burung dan kami telah diberikan serba sedikit dari tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan); sesungguhnya yang demikian ini adalah limpah kurnia (dari Allah) yang jelas nyata.” (Al-Naml: 16)
Pelajaran
- Semua ayat-ayat Al-Quran di atas membicarakan tentang dua insan soleh dan hebat, iaitu Nabi Daud a.s. dan anaknya, Nabi Sulaiman a.s.
- Kesolehan dan kehebatan kededua insan ini digambarkan oleh Al-Quran bukan hanya pada sudut kerohanian (iman, ibadah dan akhlak) yang tinggi dan murni tetapi juga dengan pelbagai ilmu dan kemahiran sains dan keduniaan.
- Nabi Daud a.s. menguasai ilmu dan kemahiran memproses besi hingga dapat menghasilkan teknologi dari manfaat besi untuk membangun tamadun bagi manusia di zamannya dan seterusnya (Saba’: 10-1).
Nabi Daud a.s. juga memiliki suara yang baik dan berkemahiran untuk melantunkan suaranya dalam bentuk irama yang dapat melembutkan dan menenangkan jiwa yang digunakan untuk memuji Allah taala hingga member kesan positif kepada alam sekitar juga (Saba’: 10). - Nabi Sulaiman a.s. pula dikurniakan ilmu dan kemahiran untuk menguasai dan memanfaatkan angin (Saba’: 12), tembaga (Saba’: 12), alam jin (Saba’: 12-3), “bahasa” binatang-binatang (Al-Naml: 16), ilmu binaan dan penghasilan pelbagai barang-barang yang berguna bagi kehidupan manusia (Saba’: 13).
- Muslim yang baik, dalam apa jua zaman, seharusnya berusaha untuk memiliki sifat-sifat yang sama, iaitu gabungan antara ilmu-ilmu dan kemahiran dalam bidang agama dan sains.
Dengan ini, kebaikan yang ada pada dirinya dan manfaat yang dapat disumbangkan kepada masyarakat Muslim dan manusia umumnya bukan hanya pada sudut kerohanian sahaja, tapi juga pada sudut tamadun manusia. - Hal ini juga mengajar Muslim akan konsep pembangunan dan pendidikan manusia dalam Islam yang sepatutnya menjadi teras bagi falsafah dan sistem pendidikan Islam yang kesannya tidak harus terbatas bagi umagt Islam, tapi manusia umumnya.
- Sejarah membuktikan bahawa pelajaran yang disebut di atas pernah menjadi kenyataan apabila ia berjaya membangun bangsa Arab yang pada asalnya sebuah masyarakat padang pasir, tapi kemudiannya menjadi pemangkin bagi tamadun Islam yang menerajui tamadun dunia selama ratusan tahun.
- Akhir sekali, apa jua ilmu dan kemahiran, hendaklah pula menjurus pada pemupukan nilai syukur dalam diri manusia, bukan angkuh dan takbur, kerana angkuh dan takbur adalah sifat Iblis, musuh manusia. Ini juga memberitahu bahawa syukur harus meliputi rasa rendah diri. Syukur yang paling utama pula ialah keinginan untuk akui akan “budi” Allah taala yang telah mengurniakan pelbagai nikmat yang mewajibkan manusia untuk tunduk padaNya (Saba’: 13).
Telah menjadi kefahaman yang universal, sesiapa yang tidak mengakui budi seseorang dan berterima kasih kepadanya adalah seorang yang sombong, angkuh dan takbur.
Jika sikap ini tidak sesuai diamalkan kepada manusia, lebih tidak sesuai untuk dilakukan kepada Tuhan.