Apabila Tidak Mematuhi Sistem

Islam menuntut umatnya untuk sentiasa mengambil pengajaran dari apa yang berlaku di sekelilingnya melalui proses tadabbur dan berfikir.

 

Perkembangan besar yang sedang berlaku di dunia hari ini ialah serangan Amerika ke atas Iraq. Adalah tidak wajar peristiwa sebesar ini dibiarkan berlalu tanpa kita mengambil pengajaran mengenainya.

 

Bagi umat Islam yang pro-keamanan, antara pengajaran penting dari peristiwa ini ialah sikap untuk sentiasa menghormati sistem dan aturan yang disepakati umum.

 

Kalau hari ini kita menghujahkan ketidakwajaran tindakan Amerika kerana tidak mendapat mandat jelas dari PBB dan tidak mengikut aturan dan saluran yang betul, maka prinsip yang sama juga  mestilah dipegangi dan dihormati oleh umat Islam dalam isu-isu antarabangsa, serantau atau tempatan.

 

Umat Islam tidak boleh membuat tindakan-tindakan yang menjejas masyarakat antarabangsa secara unilateral tanpa mengambil kira akan sistem antarabangsa yang sedang beroperasi dan pandangan masyarakat dunia sebagai sebahagian dari pemegang saham (stakeholder) dalam isu berkenaan. Dengan melakukan sedemikian, masyarakat Islam dengan sendirinya telah menyalahi diri sendiri dan tidak konsisten dengan pegangan mereka yang disuarakan dalam isu Iraq hari ini.

 

Keyakinan bahawa kita adalah pihak benar, agama kita benar, Allah taala adalah Tuhan kita yang Maha Kuasa dan kita mempunyai kekuatan untuk bertindak sendiri tidak memberi kita lesen untuk melakukan apa sahaja tanpa mengambil peduli sistem dan aturan yang sedang berlaku atau pandangan rasional umat lain. Jika masyarakat Islam melakukan sedemikian, maka jatuhlah dia sama seperti Amerika hari ini.

 

Penghormatan kita kepada sistem dan aturan antarabangsa yang berlaku bukanlah sesuatu yang tidak mempunyai dasarnya dalam agama. Rasulullah s.a.w pernah satu ketika menulis surat kepada para pembesar pelbagai negara untuk mengajak mereka memeluk Islam. Beliau kemudian dinasihatkan agar meletakkan mohor di surat yang dihantar kerana mengikut amalan protokol para pembesar masa itu, surat yang tidak bermohor tidak perlu diambil peduli. Beliau lalu menerima nasihat itu dengan menjadikan cincin beliau yang tertulis Muhammad Rasulullah sebagai cap mohor.

 

Melalui tindakan beliau s.a.w ini, Al-Marhum Sa`id Hawwa dalam bukunya Al-Asas Fi As-Sunnah dalam membicarakan kisah penghantaran surat kepada pembesar-pembesar menyatakan bahawa ia adalah petunjuk akan keperluan untuk menghormati protokol antarabangsa yang berlaku di sesuatu zaman.

 

Apabila kita meninjau ilmu Usul Fiqh yang menerangkan akan prinsip-prinsip mengeluarkan hukum maka kita mendapati bahawa para ulama dahulu mengakui akan adat, tradisi, kesepakatan umum dan yang seumpamanya sebagai salah satu dari pertimbangan dalam mengeluarkan hukum atau mengambil keputusan. Maka wujudlah kaedah yang berbunyi ‘Al-`Adatu muhkamah’ yang bermaksud adat adalah penentu hukum. Pastinya adat yang dimaksudkan ialah adat yang tidak bercanggah secara jelas dengan prinsip Islam.

 

Apabila sesuatu aturan yang munasabah dan mempunyai maslahat bagi kehidupan di dunia telah disepakati oleh masyarakat umum, maka  mematuhi ia adalah sebahagian dari keadilan dan melanggarinya adalah satu kezaliman. Sedangkan Islam adalah agama yang menyeru kepada keadilan dan melarang kezaliman.

 

Rasulullah s.a.w pernah satu masa dahulu sebelum menjadi rasul menyertai satu pakatan yang dinamakan Hilf Al-Fudhul. Pakatan ini berlaku kerana seorang Arab dari Yaman telah memberi hutang kepada seorang Arab dari satu kabilah Quraisy. Apabila masa membayar hutang tiba, si penerima hutang telah enggan membayar hutang berkenaan kerana merasakan dirinya lebih mulia dari Arab Yaman yang bukan dari kabilah Quraisy. Perbuatannya telah mendorong, si Arab dari Yaman untuk naik ke bukit dan berteriak menuntut pembelaan. Beberapa pemimpin dari kabilah Quraisy yang lain telah merasa marah kerana kezaliman yang memalukan yang dibuat oleh kabilah Quraisy yang lain. Mereka lalu membuat pakatan untuk membela si Arab dari Yaman dan sesiapa sahaja yang dizalimi sepertinya. Pakatan ini dikenali dengan nama Hilf Al-Fudhul turut disertai oleh Rasulullah s.a.w sebelum menjadi nabi.

 

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud;

 

“Jika aku dipanggil untuknya sekali lagi, nescaya aku akan menyahut.”

 

Di peringkat organisasi, dapatlah juga kita mengambil iktibar akan kepentingan sistem dan aturan dalam mengatur perjalanan organisasi agar wujud keseimbangan dan tiada penyalahgunaan kuasa oleh sesiapa pun. Tanpa sistem dan aturan yang mengatur keseimbangan kuasa, ditakuti akan berlaku seperti apa yang dikatakan orang absolute power, corrupts absolutely.

 

Oleh itu, amat penting bagi organisasi Islam untuk mewujudkan sistem dan aturan pengurusan dan kerja yang baik dan tidak bergantung kepada kebijaksanaan individu semata-mata. Apabila sistem dan aturan telah disepakati dan diwujudkan, maka perlulah ia dipatuhi, walau pun mungkin akan menyulitkan sedikit proses kerja.

 

Kalau hari ini kita tidak bersetuju dengan Amerika kerana tingkah lakunya yang tidak mematuhi aturan dan sistem yang ada, maka janganlah kita pula melakukan yang sama dalam organisasi yang kita berada di dalamnya.

 

Islam adalah agama yang sentiasa menganjurkan tertib dalam berwudhu, bersolat dan semua perkara.