Artikel ini diterbitkan di Wasat, no. 46 / Disember 2022.
Pautan alternatif di sini.
Oleh Ustaz Muhammad Haniff Hassan
Dakwah ialah usaha untuk mencetus perubahan, samada perubahan dari kejahilan kepada kefahaman Islam atau dari kebaikan kepada yang lebih baik lagi. Di dalam istilah tradisi dakwah, ia dinamakan ‘tajdid’ (pembaharuan) dan juga ‘islah’ (pembaikan) sebagaimana yang difirman oleh Allah taala, “Aku hanya ingin melakukan ‘islah’ (perbaikan) mengikut kemampuanku” (Hud: 88). Ayat ini adalah kata-kata nabi Syuaib a.s kepada kaumnya. Nabi Syuaib di sini mewakili para pendakwah dan ‘islah’ merupakan tugas yang hendak dilakukan.
Mengenai tajdid pula, Nabi s.a.w ada bersabda, “Sesungguhnya Allah taala mengutuskan untuk umat ini setiap seratus tahun orang-orang yang akan melakukan ‘tajdid’ (pembaharuan) agama ini (daripada segala penyimpangan).” (Riwayat Abu Daud dan Al-Hakim)
Oleh yang demikian bolehlah dikatakan bahawa peranan utama pendakwah dan institusi dakwah ialah sebagai ‘agents of change’.
Jika dikaji peristiwa-peristiwa sejarah yang mencetus perubahan-perubahan besar dalam sesuatu negara atau masyarakat, pasti akan didapati bahawa antara wasilah perubahan yang ampuh ialah perubahan melalui kuasa massa atau rakyat (people’s power).
Ini dapat dilihat dari peristiwa yang menjatuhkan kerajaan monarki Perancis, Czar di Russia, Shah Iran di Iran, Marcos di Filipina dan gerakan ‘Arab Spring’ yang melanda Libya dan Mesir sedekad yang lalu.
Namun yang penting dari perubahan melalui kuasa massa atau rakyat bukanlah massa atau rakyat itu sendiri tetapi adalah pendapat umum (public opinion) yang mendorong massa berkenaan. Tanpa pendapat umum yang dipegangi tidak mungkin ada gerakan massa yang mencetus perubahan.
Hari ini usaha untuk memahami perkara yang berkaitan dengan pendapat umum menjadi semakin penting. Industri komersil dan agensi pemerintah melabur jutaan dolar untuk mengkaji tren yang ada pada masyarakat untuk memahami pendapat mereka. Jutaan dolar juga dibelanjakan untuk mempengaruhi pendapat umum masyarakat melalui iklan-iklan dan program-program pendidikan awam.
Mohd Hamdan Hj. Adnan dalam bukunya Pendapat Umum (DBP 1995) menulis:
“Mereka yang ingin berkuasa atau terus berkuasa atau pun ingin berpengaruh perlu dapat membaca pendapat umum dengan tepat setiap masa. Mereka yang ingin berjaya dalam perniagaan terpaksa meninjau pendapat umum tentang keluaran atau jualan mereka untuk memastikan yang ianya disukai oleh para pengguna. Dengan dapat membaca pendapat umum secara tepat setiap masa dapatlah mereka yang ingin mendapatkan sokongan orang ramai atau khalayak sasarannya mengusahakan dengan berjaya.”
Abraham Lincoln, mantan Presiden Amerika Syarikat pernah berkata, “…public sentiment is everything. With it, nothing can fail; against it, nothing can succeed.” dan “Whoever can change public opinion can change the government.”
Walau pun demikian hakikatnya, persoalan mengenai pendapat umum masih lagi merupakan persoalan yang terabai dalam usaha dakwah hari ini. Rata-rata pendakwah dan institusi dakwah tidak peka terhadap persoalan ini. Oleh itu, tiada usaha yang gigih untuk mengkajinya, tiada perancangan yang jelas untuk mempengaruhinya dan institusi dakwah lokek untuk berbelanja kerana dan untuknya.
Aktivis Muslim perlu sedari bahawa dakwah bukanlah usaha untuk menangani gejala-gejala sosial semata-mata atau hanya untuk membaiki masyarakat Melayu Islam sahaja. Sebaliknya, dakwah adalah usaha untuk membawa semua manusia ke cara hidup yang selari dengan fitrah yang diciptakan Allah taala kepada manusia.
Sekiranya dilihat melalui perspektif ini, lalu dibandingkan dengan realiti yang sedang dihadapi, aktivis Muslim harus merasa betapa besar perubahan yang hendak dilakukan melalui usaha dakwah.
Namun apakah mungkin ia dapat dilakukan tanpa penglibatan massa? Jika tidak, bagaimana pula massa dapat digerakkan jika mereka tidak mendokong satu pendapat tertentu? Lalu bagaimana pula membentuk pendapat itu?
Tidakkah ini memberi gambaran kepada institusi dakwah kepentingan memahami persoalan pendapat umum dalam usaha dakwah?
Mempengaruhi pendapat umum
Floyd H. Allport dalam Public Opinion Quarterly (1923) merumuskan pendapat umum sebagai:
“The term public opinion is given its meaning with reference to a multi individual situation in which individuls are expressing themselves or can be called upon to express themselves, as favouring (or else disfavouring or exposing) some definite condition, person or proposal of wide spread importance, in such proposition of number, intensity and constancy as to give rise to the probability of affecting action, directly or indirectly toward the object concerned.”
Mencetus perubahan berkait rapat dengan kekuatan. Semakin banyak kekuatan yang dimiliki semakin mampu untuk kita mencetus perubahan. Sebab itulah Islam memerintahkan kita untuk mempersiapkan kekuatan sebagaimana yang difirmankan oleh Allah taala, “Dan persiapkanlah untuk mereka apa yang kamu mampu dari kekuatan” (Al-Anfal: 60)
Rasulullah s.a.w juga ada bersabda, “Mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dicintai Allah dari mukmin yang lemah.” (Riwayat Ibn Majah)
Dalam konteks mempengaruhi pendapat umum, antara kekuatan yang menjadi wasilah yang berkesan ialah,
1. Institusi pendidikan
Kepentingan pendidikan dalam konteks perubahan secara Islam dapat difahami dari wahyu yang pertama. Wahyu ini mengandungi perintah membaca (iqra’) dan anjuran belajar (lihat Al-`Alaq, 1-5).
Jika ditinjau sejarah perubahan yang berlaku di Eropah dari zaman kegelapan kepada zaman kemajuan, pembaca akan mendapati bahawa ia hanya berlaku setelah Eropah mengalami revolusi ilmu pengetahuan.
Apa yang dimaksudkan di sini ialah pendidikan sebagai satu institusi yang bersepadu yang meliputi seluruh strata dan demografi masyarakat dari peringkat kanak-kanak hingga ke peringkat dewasa dan pengajian tinggi sebagai satu alternatif kepada yang sedia ada.
2. Institusi perekonomian
Yang dimaksudkan dengan institusi perekonomian ialah yang meliputi sektor perniagaan dan kewangan.
Peranan besar institusi ini sebagai wasilah yang mempengaruhi perubahan dari perspektif Islam dapat dilihat dari perjuangan Rasulullah sendiri menunjukan bahawa beliau sentiasa dibantu dari sektor ekonomi yang diwakili oleh tokoh-tokoh perniagaan sahabat seperti Abdul Rahman bin Auf dan Othman bin Affan.
Meninjau dari sejarah pula, aktivis Muslim akan dapati bahawa tiada gerakan perubahan yang mampu menjayakan perjuangannya tanpa sokongan kewangan. Realiti hari ini juga membuktikan besarnya pengaruh institusi perekonomian.
Syarikat McDonald’s dan industri makanan segera telah mengubah bukan hanya cara pemakanan masyarakat bahkan gaya hidup mereka – gaya hidup serba pantas dan ingin segala perkara dengan segera. Syarikat Coca-cola dan Pepsi pula melalui kekuatan kewangannya menggunakan segala wasilah iklan untuk mempengaruhi masyarakat dari sudut gaya minum mereka kononnya sebagai minuman generasi masa kini sedangkan hakikatnya dari sudut kesihatan telah terbukti bahawa kedua-dua minuman itu hanya membawa kemudaratan kepada kesihatan. Begitu juga dengan rokok. Walaupun telah diketahui umum kemudaratannya, rokok tetap menjadi sebahagian dari gaya hidup masyarakat. Syarikat-syarikat rokok bukan hanya mampu mempengaruhi melalui jutaan dolar yang dibelanjakan untuk iklan bahkan secara tidak langsung mempengaruhi juga dasar kerajaan melalui pelaburan yang dibuat olehnya di negara berkenaan.
Semasa pilihanraya bagi jawatan Presiden Amerika tahun 1996, terdedah apa yang dinamakan sebagai skandal Riady – seorang tokoh perniagaan bernilai bilion dolar yang menyumbang kepada dana kempen pilihanraya Bill Clinton dengan tujuan untuk mempengaruhi dasar-dasarnya.
3. Institusi media massa
Media massa memainkan peranan penting dalam membentuk pendapat umum khususnya dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi.
Pengaruh media massa dapat dirasakan dalam insiden kejatuhan Richard Nixon, mantan Presiden Amerika melalui skandal Watergate yang didedahkan. Seorang ahli politik bernama Gary Hart yang berhasrat menjadi calon Presiden Amerika terpaksa dibatalkan setelah media massa mendedahkan mengenai peribadinya yang tidak baik.
Antara sebab yang menjadikan media massa berpengaruh ialah kerana naluri semula jadi manusia yang mahukan maklumat. Oleh itu, mereka akan sentiasa mencari jalan untuk memenuhinya.
Suatu contoh mengenai peranan media massa dalam mencetus perubahan besar ialah Revolusi Iran. Para pengikut Ayatollah Khomeini hanya menggunakan kaset ucapan beliau dan kecekapan dalam mengedarkannya telah menggulingkan Shah Iran pada tahun 1979.
Penutup – muhasabah bagi institusi dakwah
Tanpa bermaksud untuk meremehkan dan menafikan sumbangan dan peranan yang telah dimainkan oleh mana-mana pihak, soalan perlu ditanya secara jujur apakah yang dimiliki oleh institusi dakwah hari ini untuk memenuhi misi perubahannya?
Apakah wasilah dakwah pada hari ini yang benar-benar berkesan dalam membentuk dan mempengaruhi pendapat umum masyarakat Muslim dan masyarakat umum, dari segi institusi pendidikan, perekonomian dan media massa?
Dari aspek pendidikan Islam, baik di peringkat rendah dan menengah, masih jauh dari menjadi alternatif kepada yang ada. Pendidikan tinggi Islam pula masih tiada.
Dari aspek media massa pula, institusi dakwah hanya memiliki kuliah-kuliah ilmu, mimbar masjid dan, sejak beberapa tahun lalu, wadah-wadah digital. Namun, jangkauannya masih terbatas. Ia belum mampu menjangkau hampir majoriti masyarakat Islam, apatah lagi masyarakat umum Singapura. Walau pun kini terdapat ramai asatizah yang berpendidikan pasca sarjana seperti Master dan PhD, tapi penghasilan karya-karya ilmiyah yang dapat mempengaruhi pemikiran umum masih terlalu langka.
Dari aspek ekonomi, majoriti institusi dakwah masih tiada kemandirian kewangan (financial independence)dan masih lagi meminta-minta. Walau pun masyarakat Muslim Singapura mempunyai kemampuan kewangan, institusi dakwah hanya mampu memperolehi sebahagian kecil sahaja dari kemampuan itu. Potensi kewangan yang dimiliki oleh masyarakat dan sebahagian organisasi Islam terabai kerana hilang pertimbangan keutamaan.
Tidak dinafikan akan kepentingan akidah dan kefahaman Islam sebagai titik tolak kepada perubahan yang dikehendaki, tetapi ia tidak seharusnya menidakkan faktor-faktor lain yang tertakluk kepada peraturan sebab dan musabab Allah taala. Berdasarkan peraturan sebab dan musabab, pengalaman-pengalaman bangsa lain juga perlu dipelajari.
Pada tahun 1960an Soviet Union telah memeranjatkan dunia dengan kejayaannya menghantar angkasawan mengelilingi dunia melalui kapal angkasa. Sejurus setelah itu, John F. Kennedy, Presiden Amerika ketika itu terus mengeluarkan arahan bahawa Amerika mesti mampu menandingi pencapaian itu dengan mendaratkan manusia di bulan. Dalam tempoh yang pendek sahaja cita-cita itu menjadi realiti.
Para pengkaji yang mengkaji peristiwa ini telah merumuskan bahawa antara faktor penting yang memberi Amerika kelebihan ke atas Soviet Union ialah kemampuan pengurusan yang ditunjukkan oleh pasukan yang bertanggungjawab terhadap tugas ini dalam menyelaras seluruh usaha kajian yang dibuat di merata negara.
Hal ini sepatutnya mendorong aktivis Muslim untuk peka akan tanggungjawab dan cabaran yang dihadapi. Ia sepatutnya mendorong aktivis Muslim untuk bermuhasabah tentang usaha dakwah yang dilakukan. Adakah aktivis Muslim di lapangan masih terus ingin bergelumang dalam polemik usang dan menuding jari untuk menunjukan kelemahan orang lain dan membuktikan bahawa dia lebih baik, sedangkan hakikatnya semua masih dalam berkedaan lemah dan saling memerlukan untuk misi perubahan bagi