Artikel – Menolak fahaman jihad melampau ISIS dengan kisah Uwais Al-Qarni

Artikel ini diterbitkan oleh Komentar, Berita Mediacorp, pada 19 Jun 2018. Klik di sini untuk sumber asal.

KOMENTAR: Menolak fahaman jihad melampau ISIS dengan kisah Uwais Al-Qarni

Oleh Muhammad Haniff Hassan

BERITAMediacorp: Sejauh mana benarnya hujah-hujah kumpulan pengganas seperti ISIS bahawa seseorang tidak perlukan izin ibu bapa untuk pergi berjihad, atau ianya fardu ain? Sejauh mana pula kumpulan seperti ISIS mempunyai mandat sama ada jihad dalam sesuatu keadaan itu fardu ain atau fardu kifayah?

Itulah yang dikupas pakar pengganasan dari Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam (RSIS), Ustaz Dr Muhammad Haniff Hassan dalam KOMENTAR yang dikirimkan kepada BERITAMediacorp ini. Artikel ini cuba menangkis salah satu aspek penting dari diayah ISIS yang mempengaruhi ramai anak muda Muslim hari ini.

(Gambar hiasan: SAEED KHAN / AFP)

MASYARAKAT Muslim di merata dunia masih terus berhadapan dengan ancaman dari kumpulan pelampau ISIS dan yang sejenisnya. Walau ISIS ditimpa kekalahan teruk di Iraq dan Syria, ancamannya masih berbahaya kerana:

a) ISIS mempunyai kader-kader yang mempunyai iltizam tinggi di merata dunia yang akan berusaha untuk terus menghasut umat Islam di mana-mana supaya memberi sokongan dan melakukan apa jua tindakan pengganasan atas nama jihad yg kononnya diperjuangkan oleh ISIS,

b) antara sebab utama anak-anak muda Muslim yang kurang memahami agama terpengaruh dengan ISIS adalah ideologi yang didiayahkan yang disaluti oleh dalil-dalil agama dan pendapat para ulama silam, dan

c) walaupun kekalahan di medan perang memberi kesan pada usaha diayah ISIS, tapi ia tidak mematikannya kerana wadah penyebaran diayah itu berlaku di medan alam maya yang terbuka dan sukar untuk diselia kawal oleh mana-mana negara pun.

IDEOLOGI IS MASIH SERIUS 

Seriusnya ancaman ideologi ISIS dari gabungan ketiga-tiga faktor ini, bertambah dengan usaha ISIS untuk menjadikan kepulauan Mindanao di selatan Filipina pangkalannya – yang merupakan daerah konflik antara bangsa Moro dengan pemerintah Filipina sejak berdekad lamanya.

ISIS telah pun mempunyai ramai pejuang di sana, sebagai basis baru yang penting menggantikan apa yang telah terlepas dari tangannya di Iraq dan Syria.

Ini adalah rumusan para pengkaji ISIS hasil dari penelitian dokumen-dokumen yang disebarkan olehnya dan disokong dari konflik di Marawi. Walaupun IS telah dikalahkan tapi elemen-elemennya masih bersebaran dan aktif di daerah di sekelilingnya yang masih bebas dari kekuasaan penuh tentera Filipina.

Dengan ini daerah bagi sesiapa dari kalangan masyarakat Muslim di rantau ini yang ingin bergabung dengan ISIS menjadi lebih dekat berbanding Iraq dan Syria sebelum ini dan ini sesuatu yang membimbangkan.

(Gambar: REUTERS/Romeo Ranoco/Files)

HUJAH ISIS YANG MEMESONG 

Antara isi kandungan ideologi IS yang didakyahkan bagi mempengaruhi Muslim untuk melakukan keganasan bagi pihaknya dan bergabung dengannya di daerah di bawah kekuasaannya adalah dakwaan bahawa jihad memerangi orang kafir sekarang ini adalah fardu ain (kewajipan setiap individu).

Ia bagi membebaskan bumi umat Islam dari penguasanya yang kafir dan dari tentera negara kafir yang mendudukinya hingga tertegak kembali sebuah khalifah Islam.

Dalam situasi seperti ini, anak-anak muda yang ingin menyertai IS dengan berhijrah ke daerahnya tidak perlu kepada izin ibu bapa sebagaimana kewajipan solat. Oleh itu, tidak perlu berbincang dengan ibu bapa sebelum menyertai IS jika khuatir mereka tidak akan memberi keizinan.

Mereka juga tidak perlu rasa bersalah kerana membelakangi ibu bapa jika tidak diizinkan pergi kerana menunaikan kewajipan kepada Allah taala itu lebih utama dan cinta kepada Allah taala juga hendaklah diutamakan dari cinta kepada ibu bapa.

Inilah antara sebab utama ramai anak-anak muda menghilangkan diri secara tiba-tiba dan senyap tanpa pengetahuan ibu bapa. Ramai pula ibu bapa mengalami kejutan apabila mendapati anak mereka hilang secara tiba-tiba dan diketahui kemudian telah bergabung dengan ISIS di Iraq atau Syria.

Maka salah satu cara untuk meminimumkan pengaruh diayah ISIS ini adalah dengan mengemukakan hujah yang mendedahkan kesilapan pada dakwaan dan hujah IS tentang keharusan mengenepikan izin ibu bapa untuk melakukan jihad.

Dalam hal ini, kisah Uwais Al-Qarni mengandungi pengajaran yang amat ampuh bagi menangkis dakwaan dan hujah ISIS.

(Gambar: DADO RUVIC/REUTERS)

KISAH UWAIS AL-QARNI 

Nama penuh beliau ialah Abu Amr Uwais bin Amir bin Juz’ bin Malik Al-Qarni. Beliau hidup di zaman Nabi (s.a.w) tapi tidak dapat mencapai gelaran sahabat kerana tidak dapat bertemu dengan Nabi semasa hidupnya. Oleh itu, beliau hanya dikenali sebagai seorang tabi`in (Muslim yang sempat bertemu dengan sahabat Nabi).

Sebab beliau tidak dapat bertemu Nabi hingga terhalang mendapat kedudukan mulia sebagai sahabat adalah kerana beliau tinggal di Yaman ketika memeluk Islam dan tidak dapat berhijrah ke Madinah untuk bergabung dengan Nabi kerana menjaga ibunya yang tua.

Dilaporkan dalam satu riwayat, Uwais meminta izin ibunya untuk ke Madinah berjumpa Nabi kerana terlalu rindu kepada beliau. Ibunya mengizinkan Uwais pergi dengan syarat beliau segera pulang setelah bertemu Nabi.

Malangnya apabila beliau tiba di Madinah, Nabi tiada di sana kerana keluar berjihad. Setelah beberapa hari menunggu dan Nabi tidak pulang, beliau pun pulang dengan hampa ke Yaman kerana janji yang telah dibuat kepada ibunya.

TIDAK PERNAH DICELA NABI 

Walaupun Uwais tidak pernah berjumpa Nabi dan terlepas dari mendapat gelaran sahabat, tidak berhijrah kepada Nabi kerana ketaatan kepada ibunya dan tidak pernah pula berjihad dengan Nabi melawan musuh-musuhnya, Nabi tidak pernah mencelanya kerana telah melakukan maksiat, abaikan jihad, lebih utamakan ibunya dari Allah taala dan Nabi atau membelakangi kewajipan jihad.

Bahkan Uwais dipuji oleh Nabi kerana kesolehan dirinya dan kerana khidmatnya kepada ibunya yang sudah tua. Beliau diberikan kelebihan sebagai insan yang mana Allah taala pasti akan makbulkan jika dia berdoa memohon keampunan untuk sesiapa pun.

Oleh itu, Nabi berpesan kepada para sahabatnya agar mohon dari Uwais untuk doakan keampunan, jika bertemu dengannya. Kelebihan yang diberikan kepada Uwais ini tiada pada ramai sahabat Nabi yang hidup berjuang dan berjihad dengannya.

HUJAH KE ATAS ISIS 

Dari kisah Uwais ini dapat disimpulkan bahawa dakwaan sesiapa sahaja dari kalangan Muslim yang tidak bergabung dengan ISIS untuk berjihad sebagai tercela adalah tidak benar. Ia hanyalah usaha menakut-nakutkan anak muda Muslim yang jahil agama jika mereka tidak menyahut seruan ISIS.

Begitu juga dakwaan tidak perlu mengendahkan izin dan kebajikan ibu bapa untuk bergabung dengan ISIS bagi menunaikan kewajipan jihad. Ia hanyalah untuk memberi helah bagi anak-anak muda untuk berani membelakangi larangan ibu bapa mereka dari menyertai ISIS.

Helah ini amat berkesan bagi mempengaruhi anak-anak muda Muslim yang telah pun terdidik dengan didikan agama dan faham kewajipan mentaati ibu bapa. Tanpa helah ini, sukar bagi golongan ini untuk menyalahi ibu bapa mereka kerana takut menjadi derhaka.

Jika apa yang didiayahkan oleh ISIS benar, mengapa Nabi s.a.w tidak keluarkan arahan kepada Uwais untuk segera berhijrah kepadanya, tanpa peduli akan izin atau kebajikan ibunya?

(Gambar: REUTERS/Rodi Said)

DIPUJI KERANA TAATI IBU BAPA 

Jika mentaati ibu bapa hingga tidak dapat berhijrah dan jihad bersama Nabi satu maksiat sebagaimana dakwaan ISIS, mengapa Uwais tetap dipuji dan diberi status yang mulia dan tidak dicela pula oleh Nabi apabila diberitahu akan kunjungannya ke Madinah untuk bertemu beliau?

Jika hijrah itu wajib ke atas semua Muslim bagi mendokong khilafah Islam dan mengelak dari hidup di bawah negara bukan Islam, mengapa Uwais dibenarkan untuk kekal di Yaman bagi menjaga ibunya dan tidak dipersalahkan oleh Nabi.

Jika perbuatan Uwais itu salah, pasti akan ada teguran dari Nabi kerana beliau tidak boleh berdiam diri terhadap maksiat yang diketahuinya dan tidak memberi penjelasan kepada Muslim yang lain sikap yang betul.

Jika hidup di daerah luar dari khilafah Islam adalah satu celaan, menyebabkan seseorang itu rendah iman dan diancam kemurkaan Allah taala sebagaimana dakwaan ISIS, mengapa Uwais dapat mencapai tahap kesolehan yang tinggi hingga diberi kemuliaan yang tiada pada para sahabat Nabi yang berada di Madinah dan berjihad bersama Nabi?

Telah dilaporkan bahawa saidina Umar (r.a.) pun akur akan kelebihan Uwais dan memohon didoakan keampunan untuknya kepada Allah taala, apabila sempat bertemu dengan Uwais. Para ulama silam yang menulis biografi tokoh-tokoh di kalangan tabi`in pun menulis sejarah Uwais dengan pujian dan sanjungan tinggi.

Lihat pula sikap Nabi yang tidak mempengaruhi orang lain membelakangi ibu bapa mereka atas alasan kedudukan beliau sebagai Nabi lebih tinggi dalam soal hijrah dan jihad. Bandingkan pula dengan sikap ISIS, yang sanggup menyebabkan ramai anak muda melukai hati ibu bapa mereka yang telah bersusah payah membesarkan mereka atas nama jihad.

KONSISTEN DENGAN HADIS 

Kisah Uwais dan pelajarannya di atas ini konsisten juga dengan beberapa hadis:

Sesungguhnya seorang lelaki dari Yaman telah berhijrah kepada Rasulullah s.a.w (untuk berjihad) lalu baginda bertanya, “Adakah kamu mempunyai seseorang di Yaman?” Dia menjawab, “Ibu bapa aku.” Rasulullah bertanya: “Adakah mereka memberi izin kepada engkau?”

Dia menjawab: “Tidak.” Rasulullah bersabda, “Kembalilah kepada mereka berdua dan mintalah izin dari mereka berdua. Jika mereka mengizinkan engkau maka berjihadlah akan tetapi (jika tidak), maka berbuat baiklah kepada mereka berdua.” (Riwayat Abu Dawud)

Seorang lelaki telah datang kepada Nabi, lalu bertanya tentang amalan apakah yang paling utama, Nabi menjawab: “Solat.” Kemudian dia bertanya: “Lagi apa?” Nabi menjawab: “Jihad.” Dia berkata: “Sekiranya aku mempunyai kedua ibu bapa?” Nabi bersabda: “Aku perintahkan engkau supaya melakukan kebaikan kepada mereka.”

Dia berkata: “Demi yang telah mengutuskan engkau dengan kebenaran sebagai Nabi, aku akan pergi berjihad dan tidak akan sekali-kali meninggalkan mereka berdua.” Nabi bersabda: “Engkau yang lebih tahu.” (Riwayat Ahmad)

Dalam sebuah hadis, Nabi memarahi seorang anak muda yang berhijrah dalam keadaan ibu bapanya ditinggalkan menangis.

Beliau bersabda: “Kembalilah kepada keduanya, lalu buatlah keduanya tertawa sebagaimana engkau telah membuat keduanya menangis.” (Riwayat Abu Dawud)

HUJAH BOLEH DISANGGAH 

Mungkin para pendakyah ISIS berhujah bahawa segala hadis di atas merujuk pada situasi apabila jihad berstatus fardu kifayah. Oleh itu ia tidak sesuai dijadikan hujah bagi sekarang ini di mana mereka melihat jihad sebagai fardu ain kerana wujudnya bumi umat Islam yang terjajah dan tiada khilafah Islam?

Dakwaan ini boleh disanggah dengan hujah bahawa Makkah yang merupakan tanah suci dan wujud di dalamnya Kaabah, rumah Allah yang paling mulia, dikuasai (dijajah) oleh orang musyrik Quraisy.

Apakah ada bumi yang lebih mulia dari tanah haram di Makkah dan Kaabah untuk dibebaskan dari kekuasaan orang kafir hingga jihad patut menjadi fardu ain juga ketika itu? Jawapannya adalah tidak, tapi Nabi tetap tidak memberlakukan hukum yang didakwakan oleh ISIS.

(Gambar: Koh Mui Fong/TODAY)

Oleh kerana hujah ISIS tentang tidak perlu izin ibu bapa untuk berjihad berkait dengan hukum jihad hari ini ialah fardu ain, eloklah disentuh di sini juga bahawa kisah Uwais juga memberitahu bahawa soal sama ada jihad itu fardu ain atau fardu kifayah (kewajipan yang memadai ditunaikan oleh sebahagian Muslim sahaja) adalah urusan penguasa Islam yang sah seperti kedudukan Nabi di masa itu.

Ia bukanlah urusan kumpulan-kumpulan seperti ISIS, Al-Qaeda atau Jemaah Islamiyah. Kumpulan-kumpulan ini tidak mempunyai mandat untuk menentukan jihad dalam sesuatu keadaan itu fardu ain atau fardu kifayah.

BILA JIHAD MENJADI FARDHU AIN 

Dalam konteks hari ini, jihad bersenjata hanya menjadi fardhu ain, jika,

a) negara di mana sesebuah masyarakat Islam itu berada diserang secara tidak sah dan pemimpin negara melakukan kerahan umum ke atas rakyat dan

b) jika seseorang itu menjadi anggota profesional dalam pasukan tentera dan keselamatan (Risalah Soal Jawab Mengenai Jihad, 2007).

Ia tidak berlaku ke atas semua Muslim tanpa perintah dari penguasa yang sah yang berwenang atas kepentingan umum apatah lagi atas arahan kumpulan-kumpulan yang diragui kewibawaannya dalam urusan agama.

Pastinya ruang yang terhad bagi artikel ini tidak memadai untuk menjawab semua diayah ISIS tentang jihad. Namun diharapkan artikel ini dapat menjelaskan kelemahan pada satu aspek penting dari diayah ISIS yang telah mempengaruhi ramai anak muda Muslim hari ini.

MENGENAI PENULIS:

Penulis adalah Zamil di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang, Singapura.