Artikel – Pelajaran Kebapaan Dari Perintah Korban (Berita Harian [Singapura], 21 Oktober 2012)

Artikel dibawah adalah versi asli yang pernah diterbitkan oleh Berita Harian [Singapura], 21 Oktober 2012.

Atas masalah teknikal pada halaman web saya ketika itu, artikel ini tidak dipos di halaman ini sehingga disedari sekarang ini.

Moga kiriman ini memberi manfaat yang luas menjelang Eid Al-Adha tahun ini.

——————————-

fatheringEid Al-Adha akan datang lagi.

Janganlah dibiarkan kedatangannya hanya sebagai rutin tahunan tanpa iktibar kerana Islam menganjurkan umatnya agar selalu berfikir dan bertadabbur.

Dalam hal ini, penulis mengajak pembaca merenung ayat-ayat Al-Quran yang mempunyai kaitan langsung dengan Eid Al-Adha – ayat 102 hingga 111 dari surah Al-Saffat.

Tiada yang lebih utama untuk kita renung bagi pengajaran tentang Eid Al-Adha dari Al-Quran itu sendiri.

Inilah ayat Al-Quran yang mengandungi cerita nabi Ibrahim a.s. mendapat mimpi dari Tuhan agar menyembelih anaknya, Ismail a.s..

Setelah itu berlaku dialog antara nabi Ibrahim a.s. dan anaknya ketika beliau menyampaikan perintah itu pada Ismail a.s.

Dalam dialog ini, Ismail a.s. menunjukkan ketaatan yang tinggi pada perintah Tuhan.

Di akhir kumpulan ayat ini, Al-Quran menceritakan turunnya Jibril membawa seekor kambing bagi mengganti Ismail yang sudah pun berada di tempat penyembelihan sebagai ganjaran atas ketaatan kededuanya (untuk penghayatan yang lebih baik, sila rujuk Al-Quran bagi membaca kumpulan ayat-ayat ini).

Dalam merenung ayat-ayat ini, penulis memilih untuk tidak memberi fokus pada isu korban kerana telah banyak ulasan sedemikian.

Penulis akan cuba mencerna pelajaran bagi kebapaan (fathering) serta aplikasi pelajaran-pelajaran ini dalam bidang kehidupan lain.

Moga dengan cara ini, ia akan meluaskan perspektif kita terhadap kisah nabi Ibrahim dan Ismail a.s. menjangkau persoalan korban semata-mata.

Pelajaran Pertama

Al-Quran mementingkan kebapaan yang positif.

Hal ini dapat dilihat dari interaksi dan komunikasi nabi Ibrahim a.s. dan anaknya.

Persoalan yang perlu direnungkan ialah mengapakah nabi Ibrahim a.s. yang membicarakan soal korban, bukan ibu bagi nabi Ismail a.s.?

Lebih menarik lagi, sesiapa pun yang mengkaji Al-Quran akan mendapati bahawa semua dialog antara anak dan orang tuanya melibatkan si bapa, iaitu dialog antara Lukman dan anaknya (Lukman:12-9), Yaakob dan anaknya Yusuf (lihat seluruh surah Yusuf) dan Nuh dan anaknya (Hud:42-3).

Al-Quran tidak merakam walau satu pun dialog antara ibu dan anaknya.

Kesemua ini mengajar bahawa Al-Quran menganjurkan para bapa memainkan peranan aktif dan positif dalam pendidikan anak yang dimanifestasikan dalam komunikasi yang baik dan berkesan, walaupun tradisi Islam juga mengakui kepentingan ibu dalam pendidikan anak di rumah.

Ertinya juga, seorang Muslim yang baik bukanlah seorang bapa kerusi malas (arm-chair father) yang menyerahkan persoalan pendidikan anak di rumah kepada si ibu sahaja.

Pelajaran Kedua

Pendidikan yang baik bagi anak dan peranan kaum bapa dalam hal ini adalah penting.

Jika kita melihat respon nabi Ismail a.s. apabila diberitahu tentang perintah Tuhan, kita akan dapati bahawa beliau seorang yang beriltizam dengan agama dan sanggup berkorban untuknya.

Beliau juga seorang yang taat, hormat dan sopan pada bapanya.

Cara respon beliau juga menunjukkan kematangan yang tinggi sedangkan beliau hanya seorang “ghulam” (remaja) pada ketika itu.

Pastinya, segala sifat-sifat ini tidak akan ada pada nabi Ismail a.s. tanpa pendidikan yang baik oleh ibu bapanya.

Oleh itu, sesiapa yang ingin anaknya mencontohi sifat-sifat nabi Ismail a.s., tidak boleh tidak kecuali mencontohi pendidikan nabi Ibrahim a.s. terhadap anaknya juga – pendidikan yang berpandu wahyu Tuhan (Al-Quran).

Pelajaran Ketiga

Komunikasi yang baik dan berkesan oleh bapa (juga ibu) dalam berubungan dan mendidik anak adalah penting.

Hal ini dicerna melalui cara dialog nabi Ibrahim a.s.

Perkataan “ya bunayya” yang bermaksud “wahai anakku” (Al-Saffat:102) yang dituturkan nabi Ibrahim a.s. amat relevan di sini.

Dalam bahasa Arab, perkataan “bunayya” berbanding “ibni” menggambar kehalusan bahasa, sopan dan fokus pada sifat kasih sayang si bapa dan bukan otoritinya.

Gaya yang sama juga boleh didapati dalam dialog bapa dan anak dalam ayat-ayat lain yang dinyatakan di atas.

Pelajaran Keempat

Cara pendidikan anak bukanlah melalui pendekatan “dengar dan patuh” sahaja.

Hal ini dapat dilihat sekali lagi dalam dialog nabi Ibrahim a.s. dan anaknya.

Beliau tidak hanya menyampaikan perintah dan meminta anaknya untuk patuh tanpa banyal soal.

Beliau meminta anaknya berfikir melalui kata-katanya, “Maka fikirkanlah apa pendapatmu!” (Al-Saffat:102).

Ertinya, pendidikan anak dalam Islam haruslah menjurus pada pemikiran yang kritikal.

Ketaatan hendaklah berdasarkan keyakinan dan iman, bukan kepatuhan buta pada otoriti dan tradisi sahaja.

Hakikat ini disokong oleh contoh-contoh lain dalam Al-Quran iaitu,

  • Malaikat menyoal Allah taala tentang penciptaan Adaam sebelum akur padanya (Al-Baqarah:30-3)
  • Kisah Uzair yang menyoal bagaimana Tuhan dapat menghidupkan sesuatu yang telah mati (Al-Baqarah:259)
  • Kisah Ibrahim mencari kebenaran dan menerima perintah Tuhan dalam ayat-ayat Al-Baqarah:260, Al-An`am:75-9, Hud, 74:75.
  • Firman Allah taala tentang peranan ilmu dan kejelasan pada hujah dalam amalan agama di Yusuf:108.

Pelajaran Kelima

Musyawarah dalam hubungan keluarga adalah penting.

Hal ini dilihat juga dalam dialog yang sama dengan di atas yang mana nabi Ibrahim a.s. bersikap konsultatif sebelum melaksanakan perintah Tuhan, walaupun ketika itu beliau seorang nabi dan bapa dan anaknya hanya seorang remaja yang masih muda remaja.

Amalan musyawarah antara bapa dan anak (juga ahli keluarga lain) dapat disokong oleh pelbagai ayat-ayat Al-Quran yang lain (Ali Imran:159, Al-Syura:38).

Bahkan Al-Quran menganjurkan musyawarah antara suami dan isteri pada perkara sekecil soal penyusuan anak (Al-Baqarah:233, Al-Talaq:6).

Ertinya, kuasa yang dimiliki seseorang hendaklah tidak menjadikannya kuku besi ke atas bawahannya.

Pelajaran Keenam

Menguji dan menilai adalah aspek penting dalam pendidikan dan pembangunan diri.

Pelajaran ini diperolehi melalui ujian yang Allah taala kenakan ke atas nabi Ibrahim dan Ismail a.s..

Hal ini juga memberitahu Muslim bahawa bala, yang asalnya bermakna ujian (Al-Saffat:106), bukanlah semestinya berlaku sebagai hukuman ke atas dosa seseorang dan tanda kemurkaan, tapi juga sebagai satu rahmat dan tanda kasih Tuhan.

Pastinya, nabi Ibrahim dan Ismail a.s. bukan insan yang berdosa dan dimurkai Tuhan.

Sebaliknya mereka adalah nabi-nabi yang maksum dan kekasihNya.

Oleh itu, seorang Muslim tidak seharusnya cepat membuat kesimpulan setiap kali berlaku bala bahawa ia adalah kerana kemurkaan Tuhan, dosa atau azab.

Muslim hendaklah menilai bencana yang berlaku dari segala sudut.

Ujian yang dikenakan oleh Tuhan juga mengajar Muslim akan kepentingan penilaian bagi pencapaian seseorang kerana salah satu dari sebab ujian diturunkan oleh Tuhan ialah untuk menilai iman dan amal manusia (Al-Mulk:2), selain untuk mendidik.

Atas dasar ini, juga perlu bagi ibu bapa untuk menguji anak-anak mereka sebagai sebahagian dari proses pendidikan dan penilaian mereka.

Ujian dan penilaian tidak harus berlaku dalam pendidikan di sekolah sahaja.

Pelajaran Ketujuh

Berilah ganjaran setimpal, samada adalam bentuk hadiah atau pujian, apabila anak-anak kita berjaya dalam ujian yang dikenakan ke atasnya.

Dalam kisah yang dibicarakan, Allah taala memuji dan memberi ganjaran korban kambing kepada nabi Ibrahim dan Ismail setelah kededuanya berjaya dalam ujianNya (Al-Saffat:110-1).

Maka, jangan seorang bapa lokek memberi ganjaran kerana Allah taala amat pemurah apabila mengganjari kesolehan hamba-hambaNya.

Pakar-pakar psikologi mengakui peranan positif ganjaran dan pujian (positive stroking) yang munasabah dalam pendidikan anak-anak.

Kesimpulan

Jika diteliti dengan mendalam, kita akan dapati bahawa ketujuh-tujuh pelajaran yang dinyatakan boleh juga dijadikan amalan dalam bidang-bidang lain selain kekeluargaan, iaitu pelajaran:

  • kepimpinan dalam berurusan dengan pengikut di peringkat organisasi atau masyarakat
  • pembangunan sumber manusia dalam organisasi
  • bagi para pendidik di sekolah
  • tentang nilai-nilai kecemerlangan sebuah organisasi

Boleh juga disimpulkan kejayaan sesuatu unit, dari yang kecil seperti keluarga hingga yang besar seperti negara, memerlukan:

  • pemimpin yang baik (nabi Ibrahim a.s.)
  • pengikut yang baik (nabi Ismail a.s.)
  • sistem yang baik (pendidikan dan pembangunan sumber manusia, penilaian, komunikasi dan musyawarah dll.)
  • nilai yang baik (berfikiran kritikal, taat, hormat menghormati dll.)

Demikianlah tujuh pelajaran kebapaan dari kisah nabi Ibrahim dan Ismail a.s. yang boleh dijadikan renungan sempena kedatangan Eid Al-Adha nanti.

Ustaz Muhammad Haniff Hassan adalah Zamil di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang (NTU). Makalah ini adalah pandangan peribadinya.