Artikel terkini – Pengganas terpinggir dalam gejolak Mesir (Berita Harian [Singapura], 14 Februari 2011)

14 Feb 2011


KOMENTAR


Pengganas terpinggir dalam gejolak Mesir

Oleh
Muhammad Haniff Hassan Dan Mohamed Redzuan Salleh

BANTAHAN meluas rakyat Mesir selama 18 hari akhirnya berjaya mendorong Presiden Muhammad Hosni Mubarak meletak jawatan pada Jumaat lalu.

Yang jelas bantahan yang dipanggil ‘kuasa rakyat’ atau ‘revolusi’ itu tampak bebas daripada unsur pengganasan bertopeng Islam yang digeruni Barat.

Pada mata Barat, Mesir sering dikenal pasti sebagai pusat bagi kumpulan pelampau Muslim yang menggunakan kekerasan untuk mencapai objektif politik mereka. Antara lain, di negara inilah lahir dua kumpulan utama pelampau Muslim – Jemaah Islamiyah Mesir (JIM) dan Tanzim Jihad Mesir (TJM). Kededuanya telah melancarkan kempen berdarah ke atas pemerintah Presiden Mubarak dalam dekad 1980-an sehingga akhir 1990- an.

Sebahagian mereka pernah bergabung dengan Al-Qaeda yang bertanggungjawab ke atas pelbagai insiden pengganasan antarabangsa.

Sebahagian besar anggota JIM kemudian merubah haluan pada 1997 – bertekad akan meninggalkan kekerasan serta menolak ideologi dan taktik pengganasan yang dijuarai AlQaeda.

Para pemerhati dan pengkaji bidang pengganasan sedang berhadapan dengan beberapa persoalan:

  • Adakah gejolak di Mesir akan meningkatkan ancaman kumpulan pengganas?

  • Sejauh manakah kumpulan ini berpengaruh dalam menentukan arus kebangkitan rakyat yang sedang berlaku?

  • Sejauh manakah pula kebenaran dakwaan beberapa pihak bahawa perubahan JIM untuk meninggalkan kekerasan hanyalah helah ‘membeli waktu’?

  • Benarkah telahan bahawa kumpulan pengganas akan mengambil peluang daripada keadaan semasa untuk mencapai objektif mereka pula?

  • Sejauh ini, didapati gejolak di Mesir belum meningkatkan lagi ancaman pengganasan. Terdapat beberapa petunjuk menyokong perkara ini:

    Pertama, kebangkitan rakyat di Mesir masih terhindar daripada unsur kekerasan walaupun terdapat korban akibat pertelagahan penyokong pemerintah dengan pembangkang serta tindakan kekerasan pihak keselamatan;

    Kedua, tiada bukti bahawa kumpulan pengganas berada di sebalik kebangkitan ini atau berperanan besar dalam kelangsungannya, dan

    Ketiga, dakwaan bahawa perubahan JIM hanyalah satu helah menantikan peluang kembali kepada kekerasan sama sekali tidak berasas.

    MOTIVASI KEBANGKITAN

    Sehingga kini, gejolak Mesir tiada kaitannya dengan Islam ataupun seruan jihad. Ia lebih melibatkan soal kebebasan dan periuk nasi rakyat.

    Bantahan rakyat Mesir sejak 25 Januari diilhamkan oleh gejolak serupa di Tunisia – secara tidak semenamena.

    Tuntutan utama kebangkitan Mesir ialah slogan: ‘Turun, wahai Mubarak!’ – tanpa motivasi kumpulan pengganas.

    Bahkan, pertubuhan Islam paling tersusun lagi berpengaruh tetapi diharamkan, Ikhwan Muslimin (ditubuhkan pada 1928), hanya bersikap ‘tunggu dan lihat’.

    Tiada sebuah pun parti pembangkang Mesir mendakwa bertanggungjawab mencetuskan bantahan meluas itu.

    Sesudah bantahan meluas, barulah Ikhwan dan beberapa parti pembangkang turut lantang menyokong ‘kuasa rakyat’.

    Pengatur dan perancang bantahan muda-mudi Mesir sehingga kini belum dapat dikenal pasti.

    Setakat ini hanya Encik Wael Ghonim, 30 tahun, pekerja syarikat Internet, Google, yang telah ditahan dan didera polis atas tuduhan menyemarakkan bantahan anak muda lewat ruang siber.

    Namun selepas pembebasannya, beliau diwawancara di televisyen dan berucap di Lapangan Tahrir. Kehadirannya telah mengentalkan lagi bantahan rakyat Mesir.

    Internet, khususnya laman Facebook, Twitter dan hubungan telefon terus digunakan secara meluas untuk mencetus dan mengekalkan bantahan ramai terutama di Lapangan Tahrir, ibu kota Kahirah dan kota-kota utama Mesir.

    Setakat ini korban jiwa (dilaporkan sehingga 300 orang) dan kehilangan orang dikaitkan dengan tindakan pihak polis dan provokasi kumpulan pro-Mubarak.

    PENGARUH PENGGANAS

    Selama bantahan rakyat Mesir, jelas bahawa kumpulan yang lebih berpengaruh bukanlah kumpulan pro-Islam siasah (politik Islam) seperti Ikhwan. Bahkan penyokong Islam siasah seperti tidak mendapat layanan majoriti para pembantah.

    Jika Islam Siasah tidak mendapat sokongan, maka boleh dihujahkan bahawa kumpulan pengganas juga sukar mempengaruhi para pembantah.

    Bahkan sorotan media antarabangsa belum mendapati taktik kekerasan seperti pengeboman dan serangan nekad yang berlaku dalam gejolak di Mesir.

    Bahkan tidak banyak hasutan oleh kumpulan pengganas ditemukan dalam forum Internet. Para ketua kumpulan pengganas yang terkenal pula seperti Osama bin Laden dan Ayman Al-Zawahiri (kelahiran Mesir) tidak tampak mengambil peluang daripada apa yang berlaku.

    Hal ini memang aneh kerana lazimnya Osama bin Laden akan cuba mengambil kesempatan, hatta dalam isu panas jagat demi mengabsahkan pendiriannya menentang Amerika Syarikat.

    Namun terdapat satu kemusykilan dalam forum Minbar al-Tauhid wa al-Jihad – laman web terbesar para penyokong pengganasan: apakah hukum tunjuk perasaan dan bantahan di Mesir dari segi agama?

    Jawapannya ialah golongan Muslim seharusnya terlibat dan aksi pengeboman juga dibolehkan. Sehingga kini, jawapan berupa hasutan itu tidak mendapat sambutan di kalangan jutaan pembantah di Mesir. Terdapat juga perbualan di forum golongan pelampau dan propengganasan; namun tiada kesannya pada gejolak di Mesir.

    KAITAN JEMAAH ISLAMIYAH MESIR

    Apakah pula pendirian JIM yang pernah menggunakan kekerasan dan berpengaruh di lingkaran kumpulan pengganas, tetapi kini lebih merupakan badan dakwah dan sosial?

    JIM telah mengumumkan gencatan senjata sepihak tanpa bersyarat pada Julai 1997. Daya utamanya dianggap sesetengah pihak hanya sebagai helah semata.

    Namun, jika benar dakwaan itu, seharusnya JIM kini mengambil kesempatan menunjukkan taring demi mempercepat kejatuhan pemerintah Mubarak.

    Sebaliknya, JIM masih lagi tidak berpihak. Bahkan ia merakamkan rasa kecewa kerana tidak diundang menyertai dialog dengan pemerintah pimpinan Naib Presiden baru, Encik Omar Suleiman, yang dihadiri perwakilan Ikhwan dan parti-parti pembangkang sekular.

    KUMPULAN PENGGANAS DI PINGGIRAN

    Tampak mustahil bagi para penggerak bantahan dan rakyat Mesir membenarkan azam mereka diperkuda kumpulan pengganas, baik di Mesir mahupun yang berada di luar. Mereka semacam sedar bahawa penglibatan kumpulan pengganas akan mengeruhkan lagi keadaan, termasuk membunuh simpati dunia atau memberi alasan yang kukuh kepada rejim Mubarak mengambil tindakan keras bagi membenamkan kebangkitan tersebut.

    Hakikatnya, para pembantah di Lapangan Tahrir telah dapat bertahan dengan tidak mengambil pendekatan ganas walaupun berhadapan dengan provokasi.

    Maka terpapar hakikat bahawa gerakan pengganas bukan lagi unsur yang berpengaruh di Mesir, tetapi cuma berada di pinggiran.

    Nota: Ustaz Muhammad Haniff Hassan ialah zamil bersekutu dan Ustaz Mohamed Redzuan Salleh pula penyelidik kanan di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang.