(Nota: Artikel ini telah diterbitkan oleh Berita Harian, 11 Ogos 2008, dengan tajuk “Mencapai tahap pengasih, menggarap erti penyayang”. Artikel yang dibawah ini adalah teks asal.)
Yang pertama dalam beragama ialah mengenali tuhan. Demikianlah yang diajarkan oleh ustaz saya semasa di madrasah dahulu dan tertulis di muka pertama buku teks pelajaran Tauhid saya ketika itu.
Pernyataan itu mempunyai logiknya iaitu iman kepada Allah taala mestilah didasarkan atas keyakinan, bukan ikut-ikutan. Keyakinan pula tidak mungkin wujud, tanpa pengetahuan atau mengenali perkara yang hendak diyakini.
Orang kata “tak kenal, maka tak cinta”. Demikianlah juga cinta kita kepada Allah taala. Ia tidak mungkin bersemi dan subur, jika kita tidak mengenalinya dengan betul.
Lalu, bagaimanakah kita mengenali Allah taala? Disebabkan keterbatasan akal manusia, Allah taala mengutus para rasul dengan kitab suci yang tujuan utamanya ialah untuk memperkenalkan diriNya kepada manusia agar dengan itu mereka beriman kepadaNya dan mengikuti ajaranNya.
Bagi kita umat Islam hari ini, Al-Quran adalah sumber utama bagi mengenali Allah taala. Kajian terhadap Al-Quran dalam persoalan ini mengajar kita bahawa Allah taala boleh dikenali melalui sifat-sifat dan nama-nama yang diberikan kepadaNya oleh diriNya sendiri. Nama-nama dan sifat-sifat ini dikumpulkan dalam sebuah hadits berjumlah 99 nama.
Bukan tujuan saya di sini membicarakan mengenai keseluruhan nama-nama dan sifat-sifat Allah taala kerana ruang yang ada pasti tidak mengizinkan.
Apa yang ingin saya berkongsi di sini ialah pengamatan saya, bahawa di antara sekian banyak sifat Allah taala, satu sifat adalah yang paling signifikan dan penting kerana Allah taala amat suka dirinya dikenali dengan nama itu. Sifat berkenaan ialah sifat pengasih dan penyayangNya.
Sememangnya Allah taala juga bersifat Maha Agung (Al-`Azim), Maha Sombong (Al-Mutakabbir), Maha Pembalas (Al-Muntaqim) dan yang memiliki azab yang amat pedih. Namun, sebenarnya Ia suka sekali dikenali sebagai Maha Pengasih dan Maha Penyayang, bukan menonjolkan aspek kebesaran dan “kegarangan”Nya.
Pengamatan saya ini dapat disokong melalui perkara-perkara berikut:
· Ayat pertama dalam Al-Quran mengajar manusia untuk beriman kepada Allah taala sebagai tuhan yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
· Hanya berselang satu ayat, sifat ini dipertegaskan lagi dalam ayat ketiga dari surah Al-Fatihah.
· Allah taala mendahulukan pengenalan diriNya sebagai Maha Pengasih dan Penyayang sebelum memperkenalkan diriNya sebagai tuhan sekalian alam dan raja di hari pembalasan iaitu sifak keagungan dan kehebatanNya (Al-Fatihah: 2 dan 4).
· Untuk mengukuhkan lagi imej Allah taala sebagai Maha Pengasih dan Penyayang, kita dituntut pula untuk mengulang-ulangnya sebanyak 17 kali sehari dalam solat dan menyebutNya dalam bismillahir rahmanir rahim dalam tingkah laku kita.
· Di antara banyak-banyak sifatNya, satu-satunya sifat yang Allah taala wajibkan ke atas dirinya ialah sifat pengasih (Al-An`am: 12).
· Ini diperkukuhkan juga oleh sebuah hadits qudsi yang bermaksud, “Sesungguhnya kasih sayangKu mengatasi kemarahanKu.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
Sekiranya Allah taala suka ia dikenali dengan sifat pengasihNya, maka semestinya demikianlah juga tanggapan kita terhadapNya dan pendekatan kita dalam memperkenalkanNya kepada manusia serta imej yang terpancar dari agama ini dan dari setiap individu Muslim yang beriman dengan Tuhan Yang Maha Pengasih dan Penyayang.
Ini memperingatkan kita akan kecenderungan untuk menterjemahkan perkataan taqwa dengan pengertian takut kepada Allah taala dan sekaligus memperkenalkan Allah taala sebagai tuhan yang ditakuti, bukan yang Maha Pengasih dan Penyayang. Kecenderungan ini bukan hanya tidak sesuai dengan pendekatan Allah taala dalam memperkenalkan dirinya tetapi juga tidak tepat dari segi bahasa kerana menurut bahasa perkataan taqwa itu lebih dekat kepada erti sesuatu yang memelihara atau mendinding. Ulama dahulu pula menghuraikannya sebagai melaksanakana perintah Allah taala dan ini tidak semestinya dilakukan atas dasar takut kepada Allah taala.
Demikian juga kecenderungan sesetengah pihak yang lebih condong untuk menekankan aspek-aspek ancaman dalam penyampaian agama. Satu masa dahulu, tajuk-tajuk forum agama yang dianjurkan untuk orang ramai seringkali bernada negatif seperti Wanita Ahli Neraka, Anak Derhaka dan Pedihnya Siksa Kubur. Walaupun, tajuk-tajuk sedemikian sudah berkurangan hari ini, namun kecenderungan seperti ini masih lagi banyak kedapatan dalam majlis-majlis penyampaian agama yang lain yang sekali lagi menjurus ke arah memperkenalkan Allah taala dengan sesuatu yang negatif, bukan sebagaimana yang Dia sendiri mahu dikenali.
Lebih penting lagi, adalah satu ironis untuk sesiapa pun berhujah perang yang membawa bersamanya kekerasan dan keganasan adalah alat utama bagi menjayakan misi Islam. Jika Allah taala mahu diriNya dikenali dengan sifat pengasih, bagaimanakah mungkin perang menjadi perkara yang paling penting yang dianjurkannya kepada umat Islam bagi memperkenalkan dirinya kepada dunia?
Akhir sekali, Allah taala tidak mengemukakan sifat-sifat dan nama-namanya semata-mata untuk memperkenalkan diriNya. Ulama berpendapat, kecuali sifat-sifat dan nama-nama tertentu yang hanya khusus untuk Allah seperti sifat Raja Pemerintahan (Malik Al-Mulk) dan Pengazab (Al-Mu`azzib), sifat dan nama yang lain merupakan contoh dan tauladan bagi kita umat Islam untuk diikuti dan dipupuk dalam diri kita.
Oleh itu, jika Allah taala lebih suka dikenali dengan sifat pengasihnya, maka demikian setiap individu Muslim. Hendaklah kita lebih suka dikenali oleh orang lain dengan amalan-amalan yang menonjolkan kasih sayang kita kepada sekalian makhluk Allah taala, bukan dengan kehebatan dan kebesaran diri dan darjat.
Mendahulukan sifat pengasih dari yang lain sememangnya bukan suatu perkara yang mudah bagi kita sebagai manusia. Namun, jika itulah yang dicontohkan oleh Allah taala kepada kita, maka hendaklah kita bermujahadah untuk mencapainya dan mengubah apa yang ada dalam diri kita yang tidak sejajar dengan contoh ini. Susahnya mengamalkan perkara ini juga sebenarnya satu petanda akan kebesaran Allah taala dan kelemahan serta kekerdilan kita sebagai manusia.
kopi kaw ustaz…..
kopi illay, achee… besok mari 🙂
Ustaz!!! Sungguh setuju dengan hujjah Ustaz!
Embun lalui suatu pengalaman yang sungguh menginsafkan sebelum sampai kepada huraian yang sama. Konon nak jadi fasilitator Usrah semasa kem untuk topik Hablumminallah, bab mengenali Allah, last-last faci yang sorang ni melalak sorang2 kat musollah sebab hati sendiri mencari huraian siapa Allah pada diri!
Tidak mungkin Allah bersifat seperti berhala2 Cina yang banyak terdapat di Haw Par Villa dulu atau di kuil-kuil dan Dia juga tidaklah 'all loving-loving, All shall be forgiven so long as you embrace XXX'.
Allah, walau Maha Pembalas, Maha Penyiksa, namun sifat2 pemaaf, pengampun dan penyayangNya jauh melebihi.
salam, embun
tak elok cakap pasal berhala cina dengan cara cam tu. dia mempunyai konotasi negatif dan meremehkan.
sebagai org muslim, kita sememangnya tak beriman dgn imej-imej tu sebagai imej tuhan, tapi ketika mengkomunikasikannya, kita harus berhati-hati agar tidak meremehkannya.
sebagaimana kita tak suka org bukan muslim yg tak beriman dgn allah memperkatakan mengenai allah dgn nada yg meremehkan, maka hendaklah kita juga memelihara diri dari yg sedemikian.
lihat al-an`am: 108.
mmg kadangkala bila kita berkomunikasi sesama kita, kita rasa seperti tak mengapa… tapi, tanpa disedari ia sebenarnya membina tabiat (habit), sehingga terbawa-bawa diluar circle kita. satu lagi, dengan keterbukaan dunia dan teknologi digital hari ini.. banyak benda yg dulunya terhad pada domain tertentu, dah tak boleh lagi.. manalah tahu satu masa nanti, baby, nak bertanding pilihanraya…. abih terbongkar semua oleh opponent ha..ha..ha..
salam
salam ustaz,
saya setuju dengan pendapat ustaz..bahawa dalam memperkenalkan Islam pada mereka yang di luar sana adalah dengan pendekatan kasih sayang. sebagaimana Rasulullah s.a.w sendiri menunjukkan sifat tawadhu'nya ketika menyampaikan dakwah di Mekah. walaupun dihina dan dicaci, Baginda tetap tabah menghadapinya. subhaanallah!
perjuangan Rasulullah perlu diteruskan walau apa pun rintangan. pendekatan Rasulullah perlu diamati dengan lebih mendalam agar kita dapat mencontohinya demi meluaskan lagi dakwah islam.
bagaimana pula pendapat ustaz mengenai dilema masyarakat Islam kita yang susah untuk menerima kebaikan yang dianjurkan islam?
looking forward to ur reply..
semoga Allah mempermudahkan urusan kita..amin!
salam
apabila dakwah rasulullah s.a.w ditolak di taif, beliau berdoa yg bermaksud, “oh allah, aku mengadu kepadamu kelemahanku dan kekurangan strategiku….”
pengajaran = instead of menyalahkah umatnya, beliau mengakui kelemahan dan kekurangan diri = introspeksi diri, sebelum menuding jari.
namun, masyarakat hari ini sebenarnya lebih baik kefahaman agama mereka dari masa lalu.
salam