Pesanan Dari Al-Quran #21 – Penentuan Syurga dan Neraka

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 2 April 2021, di sini. 

“Yang demikian ialah disebabkan mereka (mendakwa dengan) berkata: Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api Neraka melainkan beberapa hari sahaja yang boleh dihitung. Mereka (sebenarnya) telah diperdayakan dalam agama mereka, oleh dakwaan-dakwaan dusta yang mereka telah ada-adakan.” (Al Imran: 24)

Pelajaran

  1. Ayat ini mencela sikap kaum Yahudi yang mempunyai tanggapan bahawa mereka mempunyai hak istimewa untuk masuk syurga atau syurga hanya untuk mereka sahaja.

    Kalau pun mereka dimasukkan neraka kerana dosa-dosa yang dilakukan, ia hanyalah untuk sementara sahaja. Setelah itu, Allah taala pasti akan memasukkan mereke ke syurga, manakala mereka yang bukan Yahudi atau tidak beragama Yahudi akan kekal dalam neraka.

  2. Fahaman yang tepat ialah ayat-ayat sebegini bukan hanya untuk memberitahu tentang sikap tercela sebahagian kaum Yahudi, tapi ia juga untuk dijadikan pelajaran bagi Muslim agar tidak melakukan yang sama.

  3. Hal ini adalah kerana soal siapa masuk syurga atau neraka atau kekal selama-lamanya dalam neraka adalah hak eksklusif Allah taala semata-mata, bukan hak mana-mana manusia.

    Al-Quran memberitahu bahawa Nabi s.a.w pun tidak mempunyai hak untuk menentukan sedemikian, tanpa izin dari Allah taala (lihat Al Imran: 128).

  4. Al-Quran memang menyebut bahawa syurga adalah balasan bagi mereka yang taat dan patuh pada agama Allah taala, iaitu Muslim.

    Ayat-ayat ini berbicara secara prinsip umum. Namun, aplikasi kepada individu, kumpulan atau masyarakat tertentu secara pasti adalah berbeza kerana tiada manusia yang benar-benar tahu siapakah sebenar Muslim atau kafir di mata Tuhan. Hakikat ini hanya Tuhan yang tahu.

    Seorang itu boleh sahaja kelihatan amat soleh dan berilmu dalam agama, tetapi dia mungkin kafir di mata Tuhan, tanpa diketahui oleh sesiapa.

    Seorang yang lain pula mungkin kelihatan teramat jahat, zalim dan banyak bermaksiat, tapi dia ada lakukan beberapa kebaikan yang menyebabkan Allah taala mahu mengampunkan dosanya, hingga di Akhirat nanti dia dimasukkan ke syurga, tanpa disedari oleh sesiapa pun di dunia ini.

  5. Selain itu, manusia juga tidak tahu akan akhir hidup seseorang itu, samada baik atau buruk.

    Hadis ada melaporkan bahawa seorang yang soleh hari ini boleh mati dalam keadaan tercela hingga di masukkan ke neraka.

    Manakala yang jahat dan bermaksiat hari ini boleh berakhir hidupnya dalam keadaan terpuji hingga dimasukkan ke syurga. Oleh itu, selagi seorang itu masih hidup, peluang untuk ke syurga tetap terbuka dan risiko ke neraka tetap ada, walau apa pun keadaannya pada hari ini.

  6. Oleh itu juga, seorang Muslim yang faham akan amat berhati-hati apabila mendakwa syurga untuk dirinya dan neraka untuk orang lain, walau pun orang itu bukan Muslim.

  7. Seorang Muslim yang tidak tahu status dirinya secara pasti di mata Tuhan, wajarlah bersifat warak untuk buat dakwaan bahawa dia pasti masuk syurga, kalau masuk neraka pun hanya untuk sementara.

  8. Begitulah juga, seorang Muslim yang tidak tahu status orang lain di sisi Tuhan secara pasti hendaklah bersikap warak untuk menafikan syurga bagi orang itu atau menghukumkan dia kekal dalam neraka.

  9. Hal ini tidak bermakna seorang Muslim tidak perlu membuat pendirian moral terhadap sesuatu perbuatan samada ia salah atau betul. Namun pendirian ini tidak semestinya disertai dengan penentuan secara pasti (ta’yin) terhadap seseorang atau kumpulan, bahawa mereka ahli neraka atau syurga.