Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 16 April 2021, di sini.
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar). Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.” (Al-Baqarah: 120)
“….Mereka tidak henti-hentinya memerangi kamu sampai mereka (dapat) mengembalikan kamu dari agamamu (kepada kekafiran), seandainya mereka sanggup. Barang siapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.” (Al-Baqarah: 217)
“Ahli-ahli Kitab itu tidaklah sama. Di antaranya ada golongan yang tetap (berpegang kepada agama Allah yang benar) mereka membaca ayat-ayat Allah (Al-Quran) pada waktu malam, semasa mereka sujud (mengerjakan sembahyang).” (Al Imran: 113)
Pelajaran
- Ayat Al-Baqarah: 120 dan 217 sering dijadikan dalil bahawa semua bukan Muslim mempunyai sikap asasi yang membenci dan memusuhi Islam.
Permusuhan dan kebencian terhadap Islam ini menyebabkan mereka sentiasa berusaha dan berkonspirasi terhadap agama Islam dan Muslim.
Sifat ini akan kekal sehinggalah Muslim itu meninggalkan Islam atau menjauhi ajaran Islam dalam kehidupan. - Disebabkan sifat asasi bukan Muslim yang dinyatakan, Muslim hendaklah sentiasa berwaspada terhadap golongan bukan Muslim, jangan mudah mempercayai mereka dan menjauhi mereka dalam pergaulan sosial.
- Fahaman ini perlu diperbetulkan kerana ia tidak menggambarkan sikap Islam yang tulen terhadap golongan bukan Muslim.
- Yang tepat ialah Islam tidak menganjurkan Muslim untuk melihat semua bukan Muslim sebagai sama, iaitu semuanya adalah pembenci dan musuh Islam.
Hal ini dapat dilihat secara jelas dalam Al Imran: 113 di atas yang menafikan bahawa semua bukan Muslim adalah sama.
Ada di antara mereka yang baik dan jujur dalam mengamalkan agama mereka. Bahkan ada yang memeluk Islam disebabkan kesolehan mereka semasa menganut agama asal mereka.
Terdapat banyak ayat-yat dalam Al-Quran yang memberi makna yang sama (lihat Al-Baqarah: 62, Al Imran: 10, Al Imran: 114-5, Al Imran: 119, Al-Maidah: 69 dan Al-Haj: 17). - Fahaman yang saksama ini dappt disokong oleh fakta dalam sejarah Nabi s.a.w yang melaporkan individu-individu bukan Muslim yang tidak memusuhi Islam, bahkan membantu perjuangan Nabi s.a.w seperti:
– Abu Talib (pak cik Nabi s.a.w)
– Najasyi (Raja Habshah yang melindung para sahabat yang berhijrah ke negerinya)
– Waraqah bin Naufal (kerabat isteri Nabi s.a.w Khadijah yang menasihati beliau ketika kali pertama menerima wahyu)
– Abdullah bin Uraiqit (penunjuk jalan ketika Nabi s.a.w berhijrah)
– Mut`im bin `Adiy (pemuka Quraisy yang bukan Muslim yang melindungi Nabi s.a.w ketika pulang dari dakwah di Taif dan berusaha membatalkan boikot ke atas keluarga Nabi s.a.w di Mekah). - Sejarah juga mencatat ramai bukan Muslim yang soleh hingga apabila mendengar tentang Islam segera menerimanya dan menjadi Muslim yang baik selepas itu seperti Salman Al-Farisi dan Abdullah bin Salam.
- Jika semua bukan Muslim anti Islam, individu-individu seperti di atas tidak wujud dalam sejarah Nabi s.a.w.
- Sikap menyamakan semua bukan Muslim sebagai jahat dan musuh Islam tidak beza dengan pandangan serong sesetengah bukan Muslim terhadap umat Islam – umat Islam adalah jahat dan pengganas.
Logik dan keadilan mengajar jika umat Islam tidak dapat menerima pandangan bukan Muslim bahawa mereka semua adalah jahat dan pengganas, umat Islam tidak seharus mempunyai sikap yang sama. - Sikap menyamakan semua bukan Muslim sebagai musuh dan jahat adalah prejudis yang dilarang.
Ia menggalakkan pemikiran stereotaip terhadap penganut agama lain dan menghalang kehidupan bersama atas dasar saling mempercayai.