Pesanan Dari Al-Quran #30 – Berkongsi Berita Tentang Nikmat Dari Tuhan

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 20 Ogos 2021, di sini.

“Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.” (Al-Dhuha: 11)

Pelajaran

  1. Ayat ini menjadi dalil akan keharusan seorang Muslim untuk memberitahu dan berkongsi kepada orang lain apabila mendapat nikmat tertentu dari Allah taala seperti kelahiran bayi, kenaikan pangkat, pekerjaan baru, perkahwinan, peluang melancong ke tempat-tempat yang menarik, kereta baru dan sambutan hari-hari istimewa.

    Bahkan ia boleh menjadi sumber pahala jika dilakukan atas tujuan untuk menunjukkan kesyukuran kepada Allah taala yang mengurniakan nikmat itu dan menggalakkan sikap yang sama di kalangan orang lain.

    Yang seperti ini sesuatu yang digalakkan agama kerana ayat anjuran dalam Al-Dhuha: 11 diungkapkan dengan mengguna “fi`il al-amr”, iaitu kata perbuatan perintah.

  2. Hal ini amat relevan dengan amalan orang ramai pada hari ini berkongsi gambar-gambar, video atau pemakluman tentang nikmat yang mereka perolehi atau dapat nikmati seperti yang dinyatakan di atas di media-media sosial.

    Pada dasarnya, amalan ini adalah harus jika ia bertujuan untuk menunjukkan rasa gembira dan, lebih utama lagi, jika disertakan kesyukuran terhadap kurniaan Allah taala itu.

  3. Yang tercela pada amalan ini ialah jika ia dilakukan atas tujuan untuk menunjuk-menunjuk, bangga serta sombong akan pencapaian dan nikmat yang ada di hadapan khalayak ramai di media sosial.

  4. Oleh kerana berkongsi nikmat kepada orang ada sandaran yang mengharuskan di sisi agama (Al-Dhuha: 11), tidak harus seorang Muslim dicela dan dikritik hanya kerana melakukannya di media sosial, kecuali jika di sana ada petanda atau bukti bahawa perkongsian yang dibuat itu mempunyai unsur-unsur tercela seperti ungkapan kata-kata atau kelakuan yang menunjukkan keangkuhan atau sombong atau mengejek mereka yang kurang berkemampuan atau tidak mendapat nikmat seperti dia.

    Ini pun hendaklah dilakukan dengan berhati-hati kerana sombong dan angkuh adalah sifat dalam hati yang hanya diketahui oleh Allah taala.

    Menghukum tingkah laku seseorang sebagai tanda sifat yang ada dalam hati pula memerlukan tafsiran yang kadangkala boleh tersilap.

  5. Jika tanda-tanda kecelaan tidak jelas atau lemah, sikap yang betul ialah untuk berbaik sangka, menjauhi prasangka negatif atau tidak menghukum apa-apa (Al-Hujurat: 12).

  6. Walau pun berkongsi nikmat di khalayak ramai pada dasarnya adalah harus, Muslim perlulah juga mengetahui bahawa perbuatan ini bukan tanpa risiko atau kesan negatif kerana Nabi s.a.w ada juga memberi amaran dan peringatan mengenainya, iaitu risiko hasad dan dengki oleh orang lain yang boleh mengakibatkan mudarat pada diri atau keluarga.

    Hal ini ada disebut dalam hadis;

    “Dapatkan bantuan bagi memenuhi hajat kamu dengan berahsia. Setiap yang mendapat nikmat itu akan ada yang berhasad terhadapnya.” (Riwayat Al-Tabarani dan Al-Baihaqi)

  7. Ulama berbeza pendapat tentang status sahih hadis ini.

    Kalau pun ia lemah, tapi makna dari hadis ini adalah benar bagi sesiapa sahaja memerhatikan realiti hidup. Oleh itu, ia tetap boleh dijadikan pelajaran.

    Pelajaran dari hadis di atas ialah perlu berhemah (prudence) sebelum berkongsi nikmat kepada khalayak ramai di media sosial, walau pun hukumnya harus dan dilakukan dengan tujuan dan cara yang baik.

    Sebaiknya berfikir dahulu samada perlu melakukannya kepada khalayak ramai atau hanya kepada kalangan tertentu atau pada wadah-wadah yang sesuai sahaja.

  8. Jauhilah sikap gopoh dan tergesa-gesa dan butlah penilaian akan kebaikan dan keburukan secara saksama.